Insan & Komuniti 17 Jul, 2021

Berita Terkini| Sesi persekolahan secara bersemuka! Bermula 1 Sept 2021! Berperingkat-peringkat

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@reporters.com

Share this


SESI persekolahan secara bersemuka ditetapkan mulai 1 September 2021 ini secara berperingkat-peringkat selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan memaklumkan dengan keputusan tersebut, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos 2021.

“KPM ingin memaklumkan bahawa sesi PdPR akan diteruskan sehingga 31 Ogos 2021 dan ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar KPM.

“KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu, 17 Julai 2021.

Sehingga 16 Julai 2021, seramai 253,366 guru dan pentadbir (61.3 peratus) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33 peratus) menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Mengambil kira kadar tersebut, KPM membuat ketetapan pembukaan sekolah dibuka secara berperingkat-peringkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September.

Bagaimanapun KPM akan mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut.

KPM dalam masa sama akan memaklumkan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah secara bersemuka selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka. - KitaReporters


0
0
0
0
0
You will be interested