BIARLAH orang nak kata apapun, Siti Nordiana tak kisah kerana baginya Fikry Ibrahim adalah calon yang terbaik untuk beliau bekerjasama. Justeru itu, Siti Nordiana atau mesra dengan panggilan Nana, berkata, dalam fikirannya tidak ada senarai pelakon lelaki lain, selain Fikry. : KitaReporters
Nana bakal tampil dengan single baharu, Angkara pada 17 Julai ini.
Penyanyi itu mempunyai sebab tersendiri, kenapa beliau mahu Fikry muncul dalam video muzik Angkara, lagu baharunya yang dicipta oleh Sharon Paul, manakala lirik oleh Fedtri Yahya dan Nana.
Ini bukanlah kali pertama Nana dan Fikry bertemu di set penggambaran. Mereka mula bekerjasama sejak mengacarakan program Gema Gegar Vaganza pada 2017.
Melihat keserasian tersebut, mereka turut diberi peluang bergandingan dalam telefilem Cekelat Semanis Honey, Cekelat Tak Semanis Honey serta drama bersiri Cekelat Honey (2018).
“Terus terang, dalam fikiran Nana hanya ada nama Fikry, tak ada orang lain.
"Bila tengok balik skrip, yang banyak kali diubah itu, watak tersebut memang sesuai dibawa oleh dia. Pengarah, KH (Khairul Hazwan), pun sependapat dan kata watak itu padan dengan Fikry.
“Kata KH, wajah Fikry sesuai untuk watak ‘bad boy’ dan ala-ala ‘playgirl’ sebab video muzik itu berkisar tentang rumah tangga.
"Lagipun, lakonan Fikry memang tip top dan penjiwaannya bagus. Dalam drama pendek, ekspresi sangat penting nak bagi orang faham dalam masa lima minit.
“Sebab
itu, lakonan pelakon kena firm. Nana rasa yang paling sesuai adalah Fikry dan
Nana tak pernah fikir nak ambil orang lain bila rancang nak buat cerita pendek
ini,” jelasnya ketika dihubungi.
Masih memilih Fikry Ibrahim muncul dalam video muzik kerana Nana selesa bekerjasama dengan pelakon itu.
Tambahnya, menampilkan Fikry dalam video muzik Angkara selepas kemunculan pertama pelakon itu dalam Hatiku Milikmu (2018), beliau tak takut kalau orang gosipkan mereka berdua kerana awal-awal lagi Nana sudah bersedia.
“Sebenarnya, Nana tak takut pun orang gosip Nana dengan Fikry sebab Nana dah bersedia, lagipun kami dah biasa bekerjasama dan selalu digosipkan bersama.
"Nak kata apa kerana ini adalah realiti seorang penyanyi dan pelakon. Benda-benda ini, Nana tak boleh nak elak dan halang orang buat gosip Nana dengan Fikry.
“Kita orang memang rapat, Fikry adalah orang yang senang untuk bekerjasama. Lagipun sangat mudah panggil kawan-kawan.
"Nana boleh berterus terang apa yang Nana nak cakap dengan dia, apa yang Nana nak dia sampaikan. Benda itu lebih mudah, sebab itu Nana pilih Fikry.
“Kalau kena gosip Nana tak ada masalah pun. Selagi Nana tak kahwin, selagi itulah akan ada gosip.
"Lagipun Nana dah hadapi gosip-gosip begini sejak remaja dulu dengan arwah Achik lagi. Jadi, Nana rasa tak ada masalah, asalkan gosip itu tak berlebih-lebih.
"Apa-apa pun doakan yang terbaik untuk Nana dan Fikry,” harapnya.
Drama pendek untuk video muzik Angkara berkisar tentang rumah tangga.
Episod pengenalan drama pendek Angkara sudah ditayangkan pada saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada 3 Julai 2020 lalu.
Episod kedua ditayangkan, 8 Julai dan ketiga pada 13 Julai 2020 ini, pukul 9 malam.
Video muzik penuh bakal dilancarkan secara rasmi serentak dengan lagu Angkara, pada 17 Julai 2020 ini.
Nana harap Angkara dapat memberi kelainan kepada para peminatnya.
Selain itu, Nana juga sibuk menyediakan bahan untuk saluran YouTube peribadinya bagi mengisi masa lapang.
“Selain single ini, seperti biasa Nana ada program televisyen dan ada juga yang panggil show sikit-sikit.
"Selain tu lebih kepada menyediakan kandungan untuk YouTube Channel Nana.
"Dalam keadaan sekarang, kita kena buat perkara yang boleh mengisi kekosongan dan mendatangkan kewangan dari online dan sebagainya,” katanya. - KitaReporters