Insan & Komuniti 06 Nov, 2021

Kehilangan pakar penembak prone negara! Muslifah Zulkifli pemenang trio gangsa Sukan Asia 2014!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

 

MUSLIFAH Zulkifli menayangkan pingat gangsa acara raifal prone berpasukan 50m Sukan Asia Incheon 2014. - Kredit foto: FB Muslifah


DALAM sukan menembak, prone atau meniarap ialah posisi atletnya yang paling mudah dan tepat kerana tanah memberikan kestabilan tambahan.

Selain berlutut dan berdiri, prone juga menjadi kedudukan terbaik untuk menguasai asas menembak yang meliputi sasaran, kawalan pernafasan, tekan dan tarik picu serta gerak susulan.

Prone ialah ciri menembak acara raifal 3 posisi yang dikuasai Allahyarhamah Muslifah Zulkifli dengan baik,” kata gandingannya, Nur Suryani Mohamed Taibi.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan menembak

MUSLIFAH Zulkifli juga kerap mengalungkan Malaysia dengan pingat perak dan gangsa Sukan SEA 2007 hingga 2015. - Kredit foto: MSN


Diperkuatkan sikap saling mempercayai dan semangat sepasukan katanya, mereka termasuk Nur Ayuni Farhana Abdul Halim berjaya mengalungkan Malaysia dengan pingat gangsa Sukan Asia Incheon Ke-17 pada 2014.  

Mereka mencatatkan 1,853.6 mata raifal prone berpasukan 50m di Lapang Sasar Antarabangsa Ongnyeon, Korea Selatan untuk menaiki podium bersebelahan juara, trio tuan rumah dan China yang meraih perak.


NUR Suryani Mohamed Taibi  juga Olimpian London 2012 dan Tokyo 2020 (2021). - Kredit foto: MSN


Muslifah meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 pagi 6 November 2021 pada usia 35 tahun kerana komplikasi jangkitan paru-paru. Dia pernah didapati positif Covid-19 dan dimasukkan ke sebuah hospital di Pulau Pinang pada 17 September 2021 namun telah disahkan pulih oleh doktor.

Jenazahnya dari sebuah hospital di Pulau Pinang, dibawa pulang ke rumahnya di Batu Lancang pada sebelah pagi dan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak, Georgetown. 

Bekas penembak kebangsaan itu menyandang jawatan jurulatih Wilayah Persekutuan sejak 2020 bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) dan sebelumnya bertugas dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).


POSTER salam takziah buat keluarga Allahyarhamah Muslifah daripada MSWP. - Kredit foto: MSWP


Dia, Suryani dan Shahera Rahim Raja juga memegang rekod kebangsaan raifal prone 50m berpasukan dengan catatan 1,747 mata yang dilakukan di Lapang Sasar Subang, Selangor pada 2011.

Muslifah, anak jati Pulau Pinang dilahirkan pada 28 Disember 1985 dan berkahwin pada 2014.

Mula menyertai sukan menembak sejak 2002, dia juga pernah berada dalam Program Podium Institut Sukan Negara (ISN) dari 2015 hingga Februari 2017.

Pencapaian lainnya termasuk memenangi pingat gangsa raifal prone 50m raifal prone Kejohanan Asia di Kuwait pada 2014 dengan catatan peribadi terbaik, 620 mata.

Muslifah juga merupakan pemegang ijazah Pengurusan Sukan selepas bertukar daripada jurusan pengajian Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. 


MUSLIFAH mencuba membidik dengan senapang sebenar dalam posisi prone. - Kredit foto: FB Muslifah


SENARAI PENCAPAIAN SUKAN SEA OLEH MUSLIFAH ZULKIFLI

Sukan SEA Singapura 2015: 3 pingat perak raifal angin berpasukan 10m, raifal 3 posisi berpasukan 50m dan raifal prone berpasukan 50m

Sukan SEA Naypyidaw 2013: 1 pingat gangsa raifal prone berpasukan 50m

Sukan SEA Indonesia 2011: 1 pingat gangsa raifal prone 50m

Sukan SEA Laos 2009: 2 pingat gangsa raifal prone berpasukan 50m dan raifal 3 posisi 50m

Sukan SEA Korat 2007: 1 pingat perak raifal angin berpasukan 10m. - KitaReporters


MUSLIFAH beraksi di hadapan rak raifal yang digunakan bagi sukan menembak. - Kredit foto: FB Muslifah 


MUSLIFAH ketika sambutan Aidilfitri pada 2010. - Kredit foto: FB Muslifah

10
11
2
13
0
You will be interested