Insan & Komuniti 18 Mar, 2020

WAHAI RAKYAT PAHANG! SILA DUDUK DI RUMAH!!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this
RAKYAT Pahang diminta akur dengan arahan yang dikeluarkan mengenai wabak Pandemik COVID-19 berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan seperti mana yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam hari Isnin, 16 Mac 2020. : KitaReporters


Perintah Kawalan Pergerakan kepada rakyat Malaysia bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020 yang dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sesuai dengan Warta Kerajaan Persekutuan P.U (A) 87 pada 17 Mac 2020 bertujuan mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka bagi mengelakkan penularan wabak Pandemik ini.  

Sehubungan itu, Kerajaan negeri Pahang mengeluarkan satu kenyaan bagi memudahkan rakyat negeri ini menyusun dan mengatur gerak yang lebih tersusun dan menyeluruh dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan virus COVID-19.

Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata Negeri Pahang telah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Sallehuddin Ishak dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah bagi membolehkan atur gerak yang lebih tersusun dan menyeluruh.

Sebahagian dariada teks ucapan Menteri Besar berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan kepada rakyat Pahang

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, keputusan berkenaan dibuat demi membendung gejala wabak COVID-19 daripada menjadi lebih parah hingga akhirnya menggugat nyawa kita dan anggota keluarga kita sekalian. 

"Saya tidak nafikan bahawa akan berlaku sedikit ketidakselesaan pada kehidupan seharian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac,  tetapi inilah pengorbanan yang harus kita lakukan bagi menghadapi situasi yang amat mencabar ini," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kuantan pada Rabu, 18 Mac 2020.

Ramai memuji tindakan dan komitmen yang diambil oleh Menteri Besar berkaitan virus COVID-19


Satu lagi hantaran di Facebook yang berterima kasih dengan informasi dan keprihatinan Menteri Besar dalam menangani virus yang sedang mengancam keselamatan rakyat Malaysia dan dunia.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri telah membuat beberapa keputusan yang selaras dengan Arahan MKN 20 yang antaranya menyarankan semua pejabat kerajaan dan badan berkanun negeri kecuali agensi penguatkuasaan dan perkhidmatan penting termasuk Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Pahang ditutup. 

Begitu juga dengan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Terminal Sentral Kuantan (TSK) dan Perkhidmatan Bas Domestik masih beroperasi. 

Bagaimanapun, premis-premis selain premis makanan di tempat tersebut akan ditutup.

Beliau juga berkata, semua urusan perbankan masih diteruskan tetapi penggunaan kemudahan perbankan Internet lebih digalakkan manakala operasi kilang-kilang bergantung kepada keputusan terkini kementerian yang berkenaan. 
Selain itu, semua pemegang permit atau lesen batuan, mineral dan balak dikehendaki menghentikan aktiviti pemindahan dan pengeluaran bahan mineral, batuan dan balak termasuk aktiviti memproses bahan tersebut. 
Katanya, semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah tidak akan diadakan selaras dengan titah perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah

Bagaimanapun, Muazzin masih dibenarkan melaungkan azan.  

Masjid dan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) pula hanya dibenarkan bagi tujuan pengurusan berkaitan dengan kematian sahaja.

Semua aktiviti pasar tani turut dihentikan sepanjang tempoh Kawalan Pergerakan  - Gambar Hiasan


Pasar raya dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Kawalan Pergerakan  - Kredit Foto : Ukomp 


Katanya lagi, pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian dibenarkan beroperasi. 

Bagaimanapun, pasar awam hanya dibenarkan beroperasi dari jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari bagi kemudahan rakyat mendapatkan bekalan keperluan harian. 

Semua aktiviti pasar tani dan pasar pagi, begitu juga pasar malam dan ‘car boot sale’ juga dihentikan.

"Semua premis menjual makanan boleh dibuka dengan syarat tidak dibenarkan makan di premis. Mereka hanya boleh dapatkan perkhidmatan membawa pulang (take away) dan pandu lalu sahaja dibenarkan.
Beliau juga meminta semua bentuk hiburan dan sukan termasuk taman tema, kelab sukan, kelab golf, pusat akuatik, gimnasium, dewan awam/orang ramai kerajaan serta swasta, pusat hiburan (disko, kelab malam, pub), mesin slot, arked hiburan keluarga (karaoke, snooker, panggung wayang, fun-fair dan seumpamanya), rumah kesihatan (spa, massage, sauna dan seumpamanya) ditutup sepenuhnya bagi membendung penularan virus berkenaan. 
Urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanyalah untuk mendaftar kelahiran baharu, pendaftaran kematian pendaftaran dan penggantian kad pengenalan. 


Wan Rosdy juga berkata, bengkel membaiki kenderaan, pusat servis dan kedai tayar akan dibenarkan beroperasi dengan had waktu dari jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang bagi kepentingan keperluan kecemasan. 
Bagi mengekang peningkatan virus, semua penghuni hotel, residensi dan asrama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) boleh kekal menginap di premis masing-masing. 
"Semua ‘coffee house’ di hotel tidak dibenarkan beroperasi kecuali untuk kegunaan tetamu yang menginap di hotel sahaja. 
"Semua kedai menjual makanan dan keperluan haiwan dibenarkan untuk beroperasi sehingga pukul 12.00 tengah hari sahaja," katanya.
Bagi mengelak kekeliruan dan kesulitan kepada ibu bapa bekerja pula, pusat asuhan kanak-kanak yang khusus untuk anggota perkhidmatan penting dibenarkan untuk terus beroperasi.
Sehubungan itu, katanya, pegawai penguatkuasa bersama iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membuat pemantauan di seluruh premis bagi memastikan pematuhan arahan yang telah dikeluarkan. 

Sebarang perlanggaran arahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua (2) tahun.

"Semoga dengan kita akur kepada Perintah Kawalan Pergerakan serta dengan langkah-langkah lanjutan yang Kerajaan Negeri ambil ini, kita dapat melalui tempoh sukar ini dengan hasil yang terbaik. 

"Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada para petugas kesihatan serta semua pihak yang terlibat dalam menangani wabak Pandemik COVID-19 ini," katanya. - KitaReporters

Kredit Foto: Unit Komunikasi dan Media Pahang (Ukomp)
6
1
0
0
0
You will be interested