Insan & Komuniti 18 Nov, 2022

Beri mandat kepada BN! Pembangunan projek lebih RM1b di Kuala Kedah dapat diteruskan! - Ahmad Bashah

@jamliah abdullah
Penulis konten & pemberita sambilan. Cintai alam semula jadi & makanan. Suka menulis untuk membantu yang memerlukan. Anda punyai kisah menarik untuk dikongsi, emelkan ke [email protected]

Share this


PENGUNDI di Kuala Kedah diseru memberi mandat kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan pembangunan projek di kawasan itu yang terhenti lebih 15 tahun dapat diteruskan. 

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, antara projek yang gagal dilaksanakan setelah pembangkang mengambil alih Parlimen itu adalah Pelabuhan Kuala Kedah yang bernilai RM1 bilion.


Lagi



“Sebelum Pilihan Raya Umum 2018, saya jadi Menteri Besar dan perancangan kita di Kuala Kedah membangunkan pelbagai projek besar di Kuala Kedah. Pertama kita nak bangunkan jeti untuk bagi pelancong ke Langkawi. 

“Kedua kita nak buat perumahan yang terbengkalai sehingga hari ini dan kita nak buat pelabuhan nak daratkan ikan terbesar di Kuala Kedah itu pun terbengkalai.  

"Begitu juga kita nak supaya di Kedah ini ada pelabuhan untuk ganti Pulau Pinang. Ini semua rancangan yang kita atur namun semuanya terhenti,” kata beliau kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Perjumpaan Bersama Masyarakat Cina di sini hari ini bersama calon BN, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Turut hadir, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah. Lebih 300 penduduk masyarakat Cina menghadiri program berkenaan.



Menurut Ahmad Bashah, pembangunan di kawasan itu sudah dimulakan ketika kerajaan negeri diterajui BN di bawah Syed Razak yang melahirkan pelbagai idea untuk memakmurkan penduduk di kawasan itu.

“Sewaktu Syed Razak menjadi Menteri Besar, saya adalah salah seorang Exco. Banyak yang beliau rancang untuk Kuala Kedah. Malang sekali apabila Kuala Kedah jatuh ke tangan pembangkang sejak tiga penggal PRU dahulu kesemua projek tersebut gagal dilaksanakan.

“Jadi, hari ini saya merayu agar pengundi di kawasan ini agar gagal membuat pilihan yang silap lagi. Calon BN ini sangat berwibawa kerana beliau mempunyai pengalaman sebagai Timbalan Menteri,” katanya.



Dalam pada itu menurut Dr Mashitah atau Mak Teh, dalam tempoh berkempen yang tinggal beberapa jam ini beliau sekali lagi merayu agar mandat diberikan kepada BN menjelang PRU15, esok, Sabtu, 19 November 2022.

“Sebagai anak didik kepada Syed Razak yang juga idola saya, saya berjanji untuk meneruskan projek yang beliau pernah rancang dahulu sekiranya diberi mandat ini," katanya lagi. 




Sebanyak 132,500 pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Hari Pengundian PRU15 untuk Parlimen Kuala Kedah pada 19 November 2022.

Dr Mashitah, 58, memenangi kerusi Parlimen Baling pada 2004 dan pernah dilantik sebagai senator pada 2008 serta memegang jawatan timbalan menteri di JPM.

Parlimen Kuala Kedah disandang oleh wakil rakyat PKR Dr Azman Ismail sejak 2013 dan kerusi itu dikuasai parti itu sejak 2008. 

Pada PRU15, selain Pakatan Harapan (PH), Dr Mashitah berdepan dengan pertembungan lima penjuru di mana kesemua lawannya adalah calon lelaki.

Dr Mashitah yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia sejak 2012 itu menggunakan slogan, Sirih Pulang Ke Gagang untuk berkempen di kawasan itu. - KitaReporters


15
17
0
12
0
You will be interested