Insan & Komuniti 23 Apr, 2024

Rumah terbuka raya Misi Amal sederhana tapi meriah! Duit raya, raikan jemaah haji antara jadi tarikan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Kesempatan untuk bertemu adalah peluang yang dinanti-nanti sempena rumah terbuka Aidilfitri.


RUMAH Terbuka Aidilfitri Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor (Misi Amal) sederhana tapi meriah dengan kehadiran tetamu dalam kalangan ahli pertubuhan itu dan masyarakat sekitar selain meraikan jemaah yang akan menunaikan ibadat haji pada bulan depan (Mei 2024).

Program tahunan dan kali keempat diadakan itu membolehkan ahli mengeratkan ukhuwah dan persahabatan dalam kalangan mereka selain bermaaf-maafan dan bertukar pandangan mengenai aktiviti yang bakal diadakan selepas ini terutama bagi membantu mereka yang memerlukan.

Acara yang diadakan dari jam 9.30 pagi hingga 2.30 petang terpaksa dilanjutkan sehingga 5.30 petang berikutan ramai yang masih datang untuk memeriahkan rumah terbuka itu selain masing-masing membawa pelbagai hidangan menyelerakan bagi dikongsi dengan tetamu. 


Tetamu mengambil peluang bergambar kenangan bersama Biro Penggerak merangkap Bendahari Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor, Ustazah Norhayati Sulaiman (tiga dari kanan). 


Timbalan Pengerusi Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor, Tina Wardi, berkata program rumah terbuka itu dimulakan dengan tazkirah, tahlil dan doa selamat yang diketuai Ustaz Jailani Bahri sebagai halwa telinga dan ilmu kepada jemaah terdiri daripada ahli pertubuhan itu.

Beliau berkata, doa selamat juga bagi merestui tujuh jemaah yang akan menunaikan ibadat haji tahun ini (2024) dan menjadi tetamu Allah, semoga perjalanan urusannya sepanjang di Tanah Suci dipermudahkan, sihat walafiat dan mendapat haji mabrur  

"Saya antara ahli pertubuhan yang akan menunaikan ibadat haji tahun ini dan alhamdulillah semua persiapan sudah dilakukan termasuk kursus yang dilakukan syarikat pengendali haji. Doakan saya dapat melakukan ibadah di Tanah Suci dan haji saya diterima Allah,' katanya. 

Tina Wardi


Selepas doa selamat, tetamu berpeluang menikmati pelbagai juadah Aidilfitri yang sudah terhidang malah persiapan untuk rumah terbuka itu dilakukan secara gotong royong dan rewang sehari sebelum program itu termasuk memasak rendang, ketupat nasi dan kuah kacang.

Pelbagai lauk pauk termasuk mi rebus, bihun sup, kuih muih, kek, gulai ikan kering, sambal tempoyak, ikan kering dan sambal belacan membuatkan tetamu makan sehingga peluh dan terpaksa melupakan pantang untuk seketika.

Pelbagai jenis minuman yang disediakan berjaya menambat selera tetamu termasuk jus Jimi Asmara yang menerima sambutan luar dugaan dalam kalangan tetamu. Seperti kebiasaan, selain air mineral, pastinya ada minuman teh tarik bagi mengubat kerinduan mereka yang tidak mengambil minuman itu sepanjang Ramadan lalu. 

Ramai tetamu memuji makanan yang dihidangkan sempena rumah terbuka Aidilfitri sedap.


Antara jemaah haji yang diraikan sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor.


"Saya berterima kasih kepada ahli yang memberi kerjasama dan komitmen 110 peratus terutama persiapan dan gotong royong memasak ketupat nasi, rendang dan kuah kacang. Ramai yang mengeluarkan wang sendiri untuk membeli barangan mentah dan menyiapkan di rumah sebelum dihantar ke ibu pejabat untuk dimasak bersama.

"Ada ahli yang datang awal pagi bagi memetik pelbagai jenis sayur-sayuran di kebun pertubuhan ini dan memasak untuk hidangan tetamu. Semangat dan kesungguhan mereka saya amat hormati dan moga ia berkekalan sampai bila-bila.

"Kami turut memberi duit raya kepada kanak-kanak yang hadir bagi memeriahkan rumah terbuka itu dan ia memberi senyuman di kalangan ibu bapa juga yang bersusah payah membawa anak-anak mereka termasuk yang masih bayi," katanya. 

Ceria dan anggun, antara tetamu yang hadir.  


Bagi memastikan tidak berlaku pembaziran, pihaknya turut membenarkan tetamu membungkus makanan yang ada untuk dibawa pulang dan dimakan bersama keluarga di rumah. Ini juga membolehkan tetamu yang tidak sempat menikmati hidangan tertentu kerana terlalu kenyang mencuba di rumah.

"Rumah terbuka ini akan diadakan setiap tahun bagi meraikan perhubungan antara ahli kerana kami bukan tinggal di tempat yang sama, jadi inilah masanya kami berkumpul untuk beramah mesra dan lebih kenal mengenal antara satu sama lain," katanya. 

Seronok dapat berjumpa sahabat lama sambil menikmati makanan yang enak.


Gulai ikan kering dan sambal tempoyak antara menu yang mendapat sambutan tetamu.


Dalam perkembangan yang sama, orang ramai boleh mengikuti aktiviti pertubuhan itu melalui FB, Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor atau datang sendiri ke ibu pejabatnya di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor untuk melihat aktiviti perkebunan yang dilakukan ahli-ahli bagi menambah dana pertubuhan itu.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun, Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor, bernombor 562263560241 (Maybank). - KitaReporters

Kanak-kanak antara tetamu paling beruntung kerana selain dapat makan-makan, mereka juga mendapat duit raya.


Meja minuman sentiasa menjadi tumpuan tetamu terutama untuk menikmati air minuman Jimi Asmara.

27
12
0
7
0
You will be interested