Insan & Komuniti 09 Apr, 2024

Ceria sambut Aidilfitri! Surau Ittifaqiah Taman Delima santuni penduduk sakit, kurang berkemampuan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Azman Rasman (empat dari kanan), penceramah bebas, Ustaz Dr Azhar Mohamed (dua dari kanan) dan ahli jawatankuasa biro menunjukkan sebahagian peralatan kelengkapan perubatan.


SEBAGAI memenuhi tuntutan hidup dalam satu komuniti yang harmoni, Biro Kemasyarakatan dan Kebajikan Surau Ittifaqiah Taman Delima di Batu 13 Cheras, Kajang, Selangor, menzahirkan keprihatinan untuk menggembirakan hati penduduk yang berada dalam keuzuran bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Daripada maklumat yang diterima biro berkenaan mendapati lima penduduk di taman itu memerlukan bantuan peralatan kelengkapan perubatan bagi meringankan bebanan penyakit yang dihidapi selain untuk membantu pergerakan.

Pengerusi biro itu, Azman Rasman, berkata dengan pertolongan dan pelbagai usaha dilakukan oleh 28 ketua jalan yang dilantik akhirnya mereka berjaya mengumpul dana untuk mendapatkan katil perubatan, kerusi roda, tongkat, peralatan bantuan pernafasan, pampers (lampin pakai buang) dan sebagainya.


Sebahagian penerima bantuan beratur panjang mendapatkan bakul makanan.


Menurutnya, dalam kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri, penduduk yang uzur serta menghadapi masalah kesihatan tidak wajar dilupakan kerana mereka juga seharusnya disantuni supaya dapat turut gembira bersama anak atau cucu pada hari raya itu.

Jelasnya, hasil perbincangan yang diadakan bersama ketua jalan kami semua bersepakat untuk berikhtiar mendapatkan peralatan kelengkapan perubatan berkenaan dengan mengumpul dana atau meraih sumbangan daripada mereka yang prihatin.

“Alhamdulillah usaha gigih ketua jalan ini akhirnya membuahkan hasil apabila mereka berjaya mendapatkan kelengkapan perubatan yang sudah pasti turut menggembirakan keluarga penduduk yang uzur itu,” katanya ketika ditemui pada majlis Penyerahan Program Bakul Makanan, Peralatan Kelengkapan Perubatan dan Duit Raya Aidilfitri 2024/1445H, surau berkenaan pada 31 Mac 2024.

Azman yang juga Timbalan Pengerusi surau itu. berkata usaha tanpa mengira penat lelah ketua jalan terbabit juga berjaya mengumpul dana serta mendapatkan sumbangan pelbagai barangan makanan asas untuk diagihkan kepada 70 keluarga asnaf, miskin, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU)  di taman itu.


Penduduk yang menerima bantuan bakul makanan bergambar bersama-sama ahli jawatankuasa Biro Kemasyarakatan & Kebajikan dan Ketua Jalan, Surau Ittifaqiah Taman Delima di Batu 13, Cheras, Kajang, Selangor, 


Tambahnya, ketua jalan terbabit juga menjalankan bancian serta membuat penyiasatan mengenal pasti mereka atau keluarga yang terkesan berikutan kenaikan kos sara hidup termasuk ada yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan. 

Jelasnya, langkah itu perlu dilakukan supaya bantuan bakul makanan berkenaan sampai kepada sasaran di samping memastikan tiada mereka yang terpinggir, bagaimanapun jika masih ada penduduk berasakan mereka juga perlukan bantuan bolehlah maklum kepada ahli jawatankuasa masjid atau biro berkenaan.

“Di samping bakul makanan biro turut mengagihkan sumbangan duit hari raya kepada penduduk terbabit untuk menampung kos perbelanjaan mendapatkan keperluan lain,” ujarnya pada majlis yang turut dihadiri pengerusi surau berkenaan, Abdul Aziz Mohd Nawi. 


Ahli jawatankuasa surau dan biro kemasyarakatan dan kebajikan merakam kenangan selepas mengagihkan bakul makanan kepada penduduk.


Sementara itu, beberapa penduduk yang menerima bantuan bakul makanan menzahirkan rasa bersyukur dan gembira dalam suasana sekarang apabila harga pelbagai barangan melambung tinggi dan amat terkesan untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri. 

Seorang penduduk, Biru Zah Jamil, berkata dia tidak suka meminta-minta tetapi apabila tersenarai antara yang akan menerima bantuan itu beliau berasa amat terharu kerana dapat menampung kos belanja keluarga.

Katanya, itu adalah kali pertama menerima bantuan untuk menyambut Aidilfitri dan akan memanfaatkan barangan makanan asas yang diberikan untuk seluruh ahli keluarga dan dapat menyambut hari raya dengan penuh gembira.


Biru Zah Jamil


Manakala Zulkafri Mat Ali pula memuji usaha yang dilakukan oleh biro berkenaan dalam membantu penduduk yang kurang berkemampuan selain menghadapi masalah kesihatan supaya tetap ceria seperti orang lain menyambut Aidilfitri. 

“Dalam usia pakcik yang semakin tua sudah tidak mampu lagi untuk melakukan kerja berat bagi menanggung keluarga dan bantuan bakul makanan ini amat bernilai serta berasa bersyukur dengan usaha gigih ahli jawatankuasa biro mencari sumbangan dan dana,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk Mastura Abdul Fatah, berkata bantuan bakul makanan seperti beras, gula, tepung gandum, susu pekat, kicap, bihun dan sebagainya itu sudah amat cukup bagi menampung kos perbelanjaan harian.

“Saya berasa kagum dan menghormati usaha gigih ketua jalan dalam mengumpul dana serta sumbangan untuk diagihkan kepada penduduk yang ditimpa musibah dan kesempitan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya. - KitaReporters


Zulkafri Mat Ali


Mastura Abdul Fatah (kanan) bersama Azman selepas mengambil bantuan bakul makanan.

13
12
0
13
0
You will be interested