Insan & Komuniti 07 Nov, 2023

Jom Solat Subuh Berjemaah! SK Rantau Panjang pupuk nilai murni kepada murid! Eratkan hubungan warga!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Sebahagian ibu bapa bersama anak masing-masing menunaikan solat subuh berjemaah di SKRP.


RENTETAN slogan ‘Anak Soleh Keluarga Bahagia’ Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang (SKRP), Klang, Selangor, menganjurkan program Jom Solat Subuh Berjemaah membabitkan guru, murid dan ibu bapa sejak 25 Ogos 2023.

Program yang berlangsung di Dataran Haji Shaharuddin sekolah berkenaan pada minggu keempat setiap bulan itu membabitkan semua warga sekolah terutama murid Tahap Dua dan akan menjadi program sepanjang tahun. 

Guru Besar SKRP, Hazi Kadir yang mencetuskan idea itu, berkata selepas bertukar ke sekolah berkenaan dia membawa bersama beberapa program ke arah pembangunan pembelajaran dan modal insan dalam pelbagai segi bagi tujuan melahirkan kecemerlangan dan kegemilangan.


Hazi Kadir dan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SKRP, Mohd Razi Samsudin beramah mesra dengan ibu bapa yang hadir.


Jauh sekali untuk bermegah-megah sebaliknya menurut beliau, program solat subuh berjemaah itu adalah antara usaha yang dirancang begitu rapi untuk menyatupadukan seluruh warga SKRP selain dapat mendirikan ibadah bersama-sama.  

Tambahnya, program itu juga secara tidak langsung menepati amalan berikhtiar yang bermula daripada usaha dan berdoa termasuk selepas menunaikan solat seharusnya seiring bagi memastikan kejayaan akan berjaya dinikmati seluruh warga sekolah.

”Usaha murni solat subuh berjemaah ini disambut baik oleh semua pentadbir serta barisan Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab bagi memenuhi takwim aktiviti bulanan panitia suatu amalan banyak manfaat,” katanya.


Warga Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang (SKRP), Klang, Selangor, bersama-sama ibu bapa murid menunaikan solat subuh berjemaah di Dataran Haji Shaharuddin sekolah itu.


Hazi berkata, objektif utama program berkenaan adalah untuk melahirkan murid yang berpegang teguh dengan agama serta mewujudkan suasana keakraban, kemesraan, keseronokan serta kasih sayang antara guru dan murid.

Tambahnya, program itu juga dapat melahirkan warga sekolah yang memiliki sahsiah diri mulia, berbudi pekerti, berhemah dan cintakan ajaran islam melalui amalan solat berjemaah yang dianjurkan itu.

“Kehadiran 400 jemaah pada hari pertama program ini dilaksanakan menunjukkan ia mendapat sambutan memberangsangkan daripada dalam kalangan ibu bapa, murid dan guru yang membuktikan mereka menyokong usaha bermanfaat SKRP,” katanya lagi.


Sebahagian murid beratur untuk mendapatkan sarapan pagi selepas selesai menunaikan solat subuh berjemaah.


Sementara itu, beberapa guru memaklumkan murid begitu teruja apabila setiap kali dapat datang awal ke sekolah untuk bersama-sama guru, ibu bapa serta kawan mereka menunaikan solat subuh berjemaah.

Guru penyelaras program berkenaan, Ustaz Muhammad Syaharuddin Ibrahim, berkata bagi menambahkan lagi kemeriahan dan menggalakkan lebih ramai murid datang bersolat subuh berjemaah dia akan menukarkan menu sarapan pagi di samping memberikan wang saku kepada murid yang hadir.

”Saya akan berbincang serta mendapatkan persetujuan terlebih dahulu daripada guru pentadbir terbabit sebelum langkah ini dibuat kerana usaha itu adalah untuk kebaikan juga motivasi kepada murid,” ujarnya. - KitaReporters


Hazi menyampaikan ucapan ringkas pada Program Jom Solat Subuh Berjemaah SKRP.

26
14
0
16
1
You will be interested