"BILA melihat gambar ini tular dalam media sosial semalam (20 Julai 2022) terus membuatkan hatiku tersentuh," komen Arif San seorang pengkarya di Galeri Sentuhan ArifSan ketika dia memberi komen mengenai gambar di atas tentang kisah seorang ayah yang membantu memapah anak saudara yang rebah ketika berkawad pada Khamis, 21 Julai 2022.
Arif San atau nama sebenarnya Muhammad Arif Asat yang muat naik komennya dalam Facebooknya (FB), berkata dia sangat terharu kerana gambar itu adalah momen yang sangat bemakna dan berharga, paparan kasih sayang seorang ayah sepanjang hayat untuk pedoman buat lelaki yang akan bergelar suami.
"Ia juga akan menjadi satu kesedaran bahawa kasih sayang ayah sanggup berkorban apa saja untuk anak-anaknya sebagai memabakar semangat dalam perjuangan hidup," katanya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan seorang ayah
Muhammad Arif Asat atau Arif San
Arif San (gambar) adalah pelukis dan pereka produk bagi mengetengahkan seni lukisan berunsur nasihat yang dikongsikan dalam laman media sosial beliau, Galeri Sentuhan ArifSan mengupas isu-isu semasa dengan seni kemanusiaan.
Sementara itu dalam komen dalam Facebok Arif San, Khairil Husni memberitahunya, gambar lakarannya turut menjadi tular dalam grup WhatsApp dan status media sosial, sambil memuji, "ArifSan, sangat touching art, keep up the good bro. ( Lukisan itu sangat menyentuh jiwa dan teruskan berkarya).
Malah netizen lain juga, Lydia Rosli dan Amir Mat Noh turut memuji karya oleh ArifSan yang memaparkan seorang pakcik, Abdul Aziz Ahmad Yaa'cob, 60, berdiri di tengah panas memapah anak saudaranya yang rebah ketika mengambil bahagian dalam acara berkawad sempena Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Maktab Penjara Kajang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi sekali lagi memuat naik kata-kata dalam FB pada Sabtu, 23 Julai 2022 dengan rasa hiba menulis, "Biar sedutan rakaman dron dari Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP ini berbicara, bahawa kasih dua insan ini boleh dijadikan pedoman buat kita semua.
"Meskipun kedua ibu bapanya sudah pergi mengadap Tuhan. Namun sudah tertulis kehidupan Nik Mohamad Adhar Nik Ismadi masih dilimpahi kasih dan sayang.
"Terima kasih Nforceteam KPDNHEP atas perkongsian video ini," katanya.
Dalam kejadian itu, Nik Mohamad Adhar, 22, seorang anak yatim piatu rebah dua kali sebelum 'abah' (bapa saudaranya) datang berlarian sehingga tercabut selipar untuk memapah dan menahan sambil berbisik memberi semangat kepadanya.
Detik hiba itu yang membuatkan jiwa rakyat Malaysia meruntun kerana peristiwa itu menjulangnya sebagai hero yang munculpada kala anak muda sekarang diuji pelbagai kesusahan sekarang dan sebagai bapa, dia akan sentiasa berada di sisi untuk membantu.
Nik Mohamad Adhar berkata dia dibesarkan oleh abahnya sejak umurnya tiga bulan selepas kematian ibu dan ayahnya. Abahnya melayannya seperti anak sendiri walaupun dia ada tujuh lagi anak.
Abahnya, Abdul Aziz berkata, dia sudah menerima Nik Mohamad Adhar sebagai anaknya sejak 22 tahun dari masa asalnya dan percaya semua bapa akan bertindak sepertinya kerana tidak akan sanggup melihat anak 'tewas'.
Dia datang untuk menyaksikan kawad bersama ibu saudaranya, Rosmawati Ismail dengan seorang anaknya dari Tumpat, Kelantan. Kini Nik Mohamad Adhar sebagai pegawai penguat kuasa di Tawau, Sabah.
Prof. Dr Haim Hilman. - Kredit foto: UUM.edu.com
Naib Canselor Uniersiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Haim Hilman Abdullah yang sering dipetik berucap motivasi, turut menjadi viral apabila dia suaranya menjadi latar belakang kepada kisah lelaki itu.
Di sebalik kata-kata 'Hargailah pengorbanan seorang ayah', Dr Haim Hilman sebak berpesan, "Mana mungkin sahabat, mana mungkin ketika mana dulu ayah kita mungkin di tengah bendang, kerana susahnya hidup, memadah tangan ke Tuhan, mohon kepada Allah, oh Allah, jangan teruskan kesusahan ini untuk anak cucuku." - KitaReporters