Insan & Komuniti 11 Dec, 2025

Anugerah Landskap Shah Alam! Bagi pupuk keharmonian persekitaran! Hidup yang ceria, hijau, lestari!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

Keindahan sesebuah bandar bukan sekadar dilihat pada bangunannya yang tinggi dan megah, tetapi ia juga dipamerkan pada kehijauan persekitaran yang dijaga dengan baik, bunga yang mekar segar dan tangan-tangan komuniti yang ikhlas memelihara persekitaran. 





Kreativiti landskap daripada mangkok tandas. Ini antara rumah peserta yang bertanding. - Gambar-gambar ihsan Jabatan Landskap MBSA.



Itulah semangat yang diraikan dalam Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Landskap Shah Alam (ALSA) 2025, yang berlangsung penuh meriah di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13 pada 9 Disember 2025.

Majlis penuh keceriaan itu dirasmikan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim. 

Anugerah ini menjadi simbol penghargaan kepada usaha warga Shah Alam, daripada pemilik rumah biasa sehinggalah kepada pengusaha stesen minyak, yang gigih menjaga kehijauan dan kecantikan persekitaran masing-masing. 

Pertandingan dwitahunan ini melibatkan penilaian teliti oleh juri profesional dan merangkumi dua kategori utama iaitu Landskap Terbaik Kediaman Individu dan Inisiatif Landskap Terbaik Stesen Minyak.


Pemenang ALSA Kategori Rumah Banglo dan rumah sesebuah.

Kategori  Rumah Semi D Berkembar.

Kategori Rumah Tradisional. - Gambar-gambar ihsan Jabatan Landskap MBSA

Dalam ucapannya, Mohd Fauzi berharap ALSA terus menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk bersama-sama memupuk budaya landskap yang mampan dan berkualiti. 

“Anugerah ini bukan sahaja meraikan pemenang, malah mengiktiraf semua yang menyumbang kepada persekitaran hidup yang lebih ceria dan lestari,” katanya. 

Datuk Bandar juga menyentuh mengenai kecantikan dan kehijauan landskap Stesen Minyak. Katanya stesen minyak umpama RnR atau pusat rehat bagi pemandu yang letih memandu seharian.  

Dengan kewujudan stesen minyak yang bersih dan hijau persekitaran serta tandas yang bersih, ia dapat memberi ketenangan pada mereka yang singgah di stesen minyak sambil melepaskan penat  lelah kerana menghadapi kesesakan jalan raya. 


Kategori Rumah Teres

Barisan pemenang Landskap terbaik Stesen Minyak di Shah Alam. - Gambar-gambar ihsan Jabatan Landskap MBSA 

Beliau juga berpesan pada kepada semua warga Shah Alam bahawa "bandar yang indah bukan kerja dan usaha pihak MBSA semata-mata, tetapi juga adalah hasil kerjasama dari semua pihak. 

"Oleh itu jagalah kebersihan kawasan rumah, tanam sedikit pohon pohon hijau di laman, hargai pokok-pokok di tepi jalan, jangan membuang sampah sesuka hati. 

"Mungkin semua ini kecil pada pandangan kita, tapi besar maknanya untuk keharmonian hidup manusia sejagat." 


Juri-juri Professional dari ILAM ( Institute of Landscape Architects Malaysia) dan UiTM.

Antara peserta yang hadir pada majlis berkenaan.

Mohd Fauzi mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan peserta dan berharap semoga semangat mencantikkan Bandar Raya Shah Alam terus hidup dalam jiwa warga Shah Alam. 

Beliau juga berharap setiap sudut kejiranan di Shah Alam dapat dihijaukan, sentiasa dibersihkan agar hidup menjadi tenang dan harmoni.  - KitaReporters


Staff MBSA dari Jabatan Landskap yang berusaha menjayakan ALSA 2025. Gambar-gambar ihsan Jabatan Landskap MBSA

9
13
0
13
0
You will be interested