Saya mengenal New Zealand bukan sebagai pelancong, tetapi sebagai seorang remaja yang sedang membina akar kehidupan.
Di situlah saya belajar menjadi manusia dewasa dari bangku sekolah menengah hingga ke universiti dalam iklim dingin yang menenangkan, di bumi selatan yang luas dan sepi, namun sarat dengan pengalaman yang membentuk pemikiran saya sehingga ke hari ini.

Tahun pertama saya di Tingkatan Tujuh mempertemu saya dengan satu pengalaman yang tidak pernah saya rancang, apatah lagi bayangkan.
Saya tinggal bersama sebuah keluarga angkat di Wainuiomata dan keluarga Freemason. Ia bukan sekadar tinggal serumah, tetapi hidup di tengah-tengah satu jaringan persaudaraan yang sering disalahfahami, dipolemikkan, dan dicurigai ramai, termasuk di tanah air saya sendiri.
Bapa angkat saya, Ian Smith, adalah figura penting dalam komuniti Freemasons di Wainuiomata. Malah, ketika itu, beliau merupakan ketua Freemasons bagi kawasan tersebut.
Pengetua kolej kami, Wainuiomata College, juga seorang ahli Freemason berpangkat tinggi. Lingkaran ini bukan kecil atau pinggiran; ia teras kepada struktur sosial tertentu di daerah itu.
Sebelum berpindah ke rumah Ian dan isterinya, Anne Smith, saya terlebih dahulu menetap di rumah arwah Dato’ Lela Diraja Alias Abd Karim di Lower Hutt.

Namun atas pertimbangan kebajikan dan pendidikan, guru besar kami, Trevor Langley yang kemudiannya saya ketahui juga seorang ahli Freemason mengatur agar saya dan Azmy Darlis tinggal bersama keluarga Smith.
Anne Smith, seorang wanita dalam lingkungan usia enam puluhan, berjiwa lembut dan penuh empati. Hubungan saya dengannya terjalin melalui minat yang hampir tidak disangka iaitu kesusasteraan Inggeris dan muzik sentimental era The Beatles.
Dalam rumah itulah saya belajar bahawa budaya dan emosi manusia sering bertaut melangkaui bahasa dan agama.
Ian Smith pula adalah lelaki yang berbeza. Pendiam, keras, dan hampir sentiasa dengan minuman keras pada tangan yang dari pagi sehingga ke malam, seolah-olah arak itu air kosong.
Namun di sebalik sikap luarnya, beliau sering berbicara panjang tentang Freemasons, tentang persaudaraan, tentang falsafah hidup yang melampaui sempadan bangsa dan kepercayaan.
Beberapa kali saya dibawa bertemu rakan-rakan Freemasons beliau. Mereka bermain golf, satu sukan yang tidak pernah benar-benar menarik minat saya. Saya lebih banyak memerhati, mendengar, dan mencatat dalam ingatan.
Kadang-kadang kami berkelah bersama keluarga Freemason, di luar Wainuiomata ke Masterton, ke Tasik Henley, dan ke beberapa lokasi lain.
Saya masih mengingati satu hujung minggu di Tasik Henley, Masterton, bersama puluhan ahli Freemasons dari seluruh New Zealand, kebanyakannya sudah berusia, berbicara perlahan tentang hidup, amal, dan masa.

Akhirnya, satu hari yang tidak saya jangka tiba. Ian mengajak saya ke Lodge Freemasons.
Saya masih ingat langkah pertama saya memasuki ruang itu. Ia tidak gelap seperti imaginasi ramai, tidak juga menyeramkan.
Yang paling mengejutkan saya ialah apabila melihat empat naskhah al-Quran tersusun kemas di dalam Lodge Freemasons Wainuiomata. Saya benar-benar terkejut.
Ian, seolah-olah membaca kegelisahan di wajah saya, menjelaskan bahawa beliau sendiri membaca terjemahan al-Quran, Bible, dan kitab-kitab suci lain.
Namun ayat yang paling melekat dalam ingatan saya hingga hari ini ialah apabila beliau berkata, dengan nada yakin dan tenang: “Freemason berada di atas semua agama.”
Ayat itu mengganggu fikiran saya.
Saya bertanya kepadanya, dengan rasa ingin tahu yang jujur, “Bagaimana seseorang boleh menjadi ahli Freemason?” Ian tersenyum kecil dan menjawab, “Seseorang tidak boleh memohon. Kami yang menjemput.” Dan ya, saya dijemput.
Beliau turut menyebut beberapa nama terkemuka termasuk nama Melayu yang menurutnya merupakan ahli Freemason. Malah beliau menunjukkan kepada saya sebuah buku senarai ahli Asia.
Saya membaca nama-nama itu dengan perasaan bercampur-baur: terkejut, hairan, dan resah.
Namun, undangan itu tidak pernah saya sambut.
Saya anak kepada tok kadi dan ulama. Sejak usia empat tahun, saya sudah mengenal huruf Jawi. Saya khatam al-Quran dalam usia yang muda. Islam bukan sekadar agama dalam keluarga saya; ia adalah akar, darah, dan nadi kehidupan.
Apabila saya mendengar bahawa Freemasons meletakkan diri “di atas semua agama”, saya tahu batas saya di situ.
Selain soal prinsip, saya juga pernah melalui kebimbangan awal tentang soal pemakanan halal, solat, puasa, dan ibadah lain. Namun Trevor Langley menjelaskan bahawa mereka memahami dan menghormati keperluan agama saya. Kebimbangan itu terlerai.
Tetapi Freemasons kekal sebagai kegelisahan ketiga bukan kerana apa yang saya lihat, tetapi kerana persepsi dan implikasinya terhadap akidah.

Walaupun begitu, saya tidak menutup mata atau fikiran. Saya mendengar, memerhati, dan belajar.
Daripada Ian Smith dan Trevor Langley, saya memahami bahawa Freemasons pada asasnya adalah sebuah persaudaraan aman yang tidak berlandaskan agama, etnik, atau politik.
Tiga prinsip utamanya sering diulang: persaudaraan yang bertoleransi dan ramah; kebajikan melalui kerja amal; dan kebenaran mengamalkan integriti serta standard moral yang tinggi dalam kehidupan harian.
Mereka menekankan bahawa Freemasons bukan sebuah agama. Tiada Tuhan Masonik.
Perbincangan agama dilarang keras dalam mesyuarat. Ahli bebas mengamalkan
kepercayaan masing-masing. Freemasons juga bukan organisasi politik, bukan
gerakan Zionis, bukan pemuja syaitan, dan bukan perintah dunia rahsia yang mahu
menguasai global.
Tiada satu badan pusat yang memerintah Freemasons sedunia. Ia adalah
rangkaian lodge yang berdiri sendiri, berdaftar dengan pihak berkuasa di negara
masing-masing. Di Malaysia sendiri, Freemasons berdaftar dengan Pendaftar
Pertubuhan.
Mereka telah menyumbangkan berjuta-juta ringgit kepada kerja amal tanpa
mengira kaum dan agama.
Namun pengetahuan tidak semestinya membawa penerimaan.

Saya memilih untuk tidak menyertai. Bukan kerana benci, bukan kerana takut, tetapi kerana saya tahu siapa diri saya dan dari mana saya datang. Ada jalan yang boleh difahami tanpa perlu dilalui.
Apa yang saya tuliskan ini bukan untuk mempertahan atau menyerang Freemasons. Ia hanyalah catatan seorang manusia yang pernah berada dekat, melihat dari dalam, dan membuat pilihan sendiri.
Jika pemahaman saya masih belum lengkap, saya mohon dimaafkan. Saya hanya
menulis apa yang saya lihat, dengar, dan alami di Wainuiomata, New Zealand pada
satu fasa hidup yang telah lama berlalu, tetapi terus hidup dalam ingatan. - KitaReporters