Insan & Komuniti 04 Nov, 2025

Kempen 1Rapi! 1 Rumah, 1 Pemadan Api! Bantuan kepada isi rumah kawal awal kebakaran dari merebak!

Share this

 

Kesedaran dan ilmu pengetahuan bermula dari rumah dengan penggunaan yang betul alat pemadam api oleh isi rumah mampu mencegah serta mengawal kebakaran kecil daripada merebak ke ruang lain di rumah. 




Kempen 1 Rumah 1 Alat Pemadam Api (1Rapi) mampu mencegah kebakaran awal yang berlaku di rumah mahupun premis perniagaan daripada merebak dengan lebih besar.

Menurut Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Muar, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) II Shahrizal Mokhtar, Program 1Rapi yang julung-julung kali diadakan di daerah Muar ini bagi mendidik dan memberi kesedaran mengenai peri pentingnya penggunaan alat pemadam api di rumah.

"Pihak Bomba Muar telah menyantuni tujuh buah rumah penduduk di Kampung Parit Kelat Darat dan Kampung Sungai Gersik Laut baru-baru ini dengan berkongsi ilmu penggunaan alat pemadam api.



"Tujuh buah rumah penduduk kampung yang terpilih ini terdiri daripada golongan asnaf, B40, ibu tunggal, dan warga emas di dua kampung terbabit.

"Program kempen keselamatan kebakaran yang dilakukan dari rumah ke rumah ini bertujuan untuk memberikan pendidikan tentang konsep asas pemadaman menggunakan alat pemadam api yang kita selalu ambil ringan.

"Selain itu, program ini juga salah satu program keselamatan kebakaran kebakaran pada musim perayaan terutama sekali Syawal yang bakal menjelma," katanya. 



Tambah Shahrizal, fokus pihak bomba kali ini lebih tertumpu kepada kawasan luar bandar dan mereka yg dipercayai kurang menerima pendedahan tentang keselamatan kebakaran.

"Program 1Rapi yang berkonsepkan 1 Rumah 1 Alat Pemadam Api ditambahkan dengan demonstrasi penggunaan alat pemadam api di setiap rumah yang menerima alat berkenaan.

"Ini adalah bertujuan supaya setiap penerima mempunyai pengetahuan dan menjalani latihan praktikal tatacara penggunaan Alat Pemadam Api (APA).

"Demonstrasi ini juga menarik jiran-jiran yang tinggal berhampiran agar dapat bersama-sama menimba ilmu keselamatan kebakaran ini yang memberikan manfaat kepada penduduk setempat. 

"Kita akan mengembangkan lagi program ini secara menyeluruh secara berperingkat-peringkat. Bagi yang berkemampuan, kita galakkan boleh beli sendiri alat pemadam api ini sebagai pencegahan awal jika sebarang kebakaran berlaku di rumah," katanya.



Sementara itu, bagi salah seorang penduduk, Suhaimi Sabit, 65, program 1Rapi ini adalah program ilmu yang boleh menyelamatkan nyawa apabila bencana kebakaran berlaku.

"Saya sangat teruja menerima kehadiran pihak bomba Muar dan mengajar saya serta jiran-jiran penggunaan alat pemadam api dengan betul. 

"Saya berterima kasih kepada pihak bomba Muar atas inisiatif ini membantu kami yang kurang berkemampuan mendapatkan alat pemadam api secara percuma dan ilmu yang dapat digunakan sepanjang hidup kami.

"Mudah sahaja cara menggunakan alat pemadam api ini sebenarnya tetapi jika tiada ilmu, kita memang tidak dapat berbuat apa-apa apabila panik berhadapan dengan kebakaran yang berlaku secara mengejut atau tiba-tiba.

"Saya atau salah seorang ahli keluarga mungkin boleh jadi penyelamat awal selepas ada ilmu penggunaan alat pemadam api ini sementara menunggu pihak bomba datang jika terjadi kebakaran di rumah atau kampung kami," kongsinya. - KitaReporters


11
12
0
10
0
You will be interested