Amal jariah yang memberi kebaikan serta manfaat kepada penerima sudah tentu akan memuliakan kepada penyumbang atau penginfak apatah lagi apabila pahalanya akan terus mengalir walaupun pelakunya sudah meninggal dunia.

Azman Rasman memimpin seorang warga emas menaiki van sumbangan OPRMC76 untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan kesihatan susulan.
Dalam hal demikian ia amat menyentuh hati Old Putera Maktab Tentera Diraja (OPRMC76) apabila van ‘Toyota Hiace’ sumbangan ikhlas mereka kepada Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kegunaan warga emas di situ.
Wakil
OPRMC76, Jamaludin Takei, berkata inisiatif menyumbang van berkenaan adalah
hasil keprihatinan dan tanda simpati bekas pelajar pada tahun itu apabila
mendapat khabaran bahawa PJMM memerlukan kenderaan terutama untuk kegunaan
membawa warga emas mendapatkan rawatan di pusat kesihatan atau hospital.
Rentetan
itu, menurutnya, seorang individu memberi kesanggupan menghulurkan sumbangan
dana yang agak besar, manakala selebihnya diusahakan bersama-sama bekas pelajar dengan
mengumpul sumbangan kewangan daripada pelbagai pihak sehinggalah cukup untuk
membeli van baharu bernilai lebih RM80,000 lapan tahun lalu.
Tambahnya, penyerahan van kepada PJMM pada waktu itu menzahirkan rasa terharu dalam kalangan pelajar apabila dapat memenuhi hajat diri masing-masing untuk melakukan amal jariah kepada PJMM yang sekali gus meringankan bebanan kos pengangkutan mereka.

Jamaludin Takei menyerahkan replika kunci van sambil menerima bingkai penyataan penghargaan daripada Azman sambil diperhatikan Muhammad Syafiq Mohiadin dan Mohiadin Bahado.
Jelasnya,
dia turut berasa berbangga dan kagum dengan pengurusan PJMM kerana menjaga
dengan sempurna van berkenaan yang bukan setakat untuk kegunaan utama warga
emas ke klinik atau hospital mendapatkan rawatan susulan, malah menjadi
kenderaan membawa sukarelawan melakukan kerja amal kebajikan seluruh negara.
“Amal jariah
OPRMC76 ini makin berlipat ganda pahalanya apabila van itu mampu membawa
sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu dengan PJMM ke
lokasi komuniti yang memerlukan bantuan selepas ditimpa musibah seperti bencana
banjir.
“OPRMC76 akan meneruskan khidmat bakti untuk membantu golongan atau komuniti yang memerlukan bantuan termasuk warga emas yang mengalami pelbagai masalah meneruskan kelangsungan hidup seperti di PJMM,” ujarnya pada majlis Penyampaian Penghargaan Penyumbang Van OPMRC76 oleh PJMM pada 20 September 2025.

Jamaludin menyampaikan ucapan ringkas sambil menceritakan kronologi usaha dilakukan bagi menyumbangkan van kepada PJMM sebagai amal jariah OPRMC76.
Pada majlis
itu, Jamaludin melakukan gimik penyerahan replika kunci van kepada Pengerusi
PJMM, Azman Rasman sambil disaksikan oleh Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin; beberapa ahli OPRMC76 serta warga emas
yang berlangsung di Surau Hamidah PJMM.
Majlis sebelum itu dimulakan dengan perarakan sambil berselawat dari pintu utama masuk ke PJMM yang disertai warga emas dan orang ramai menuju ke surau untuk berselawat Badriah dan Tholaal Badru diketuai Ustaz Munhameer Yusuf bersama kumpulannya Soutul Jannah.

Pasangan pengantin baharu Muhammad Syazli dan Amalina Diana turut memeriahkan majlis berkenaan sebagai menggamit kenangan silam warga emas PJMM.
Sementara itu, Azman berkata, gimik penyerahan van berkenaan juga bersempena program Sambutan Maulidur Rasul 1447H PJMM di samping meraikan pasangan pengantin baharu Muhammad Syazli dan Amalina Diana yang memilih Laman Firdausi PJMM sebagai lokasi bersejarah mereka.
Tambahnya, majlis
itu juga membuka peluang kepada tetamu dan orang ramai yang hadir bagi
memeriahkan Sambutan Maulidur Rasul dan persandingan dua pengantin berkenaan
di samping dapat melihat van sumbangan OPRMC76 yang dipamerkan di tempat letak
kenderaan berdepan pintu utama PJMM.
Menurutnya,
sumbangan van itu juga menjadi tanggungjawab dan amanah PJMM untuk memanfaatkan
penggunaannya sebagaimana hasrat amal jariah OPRMC76 serta menguruskan
penjagaannya dengan sebaik mungkin supaya dapat terus digunakan untuk
kepentingan warga emas.
“Majlis penuh meriah itu juga memberi peluang kepada warga emas melihat pengantin bersanding di depan mereka yang membuka ingatan kepada anak atau cucu sudah lama tidak berjumpa mungkin sebaya pasangan berkenaan juga sudah mendirikan rumah tangga,” ujarnya. - KitaReporters

Warga emas bersama tetamu yang hadir berarak sambil berselawat menuju masuk pintu utama PJMM pada Sambutan Maulidur Rasul.

Jamaludin (duduk tiga dari kanan) bersama Azman dan Kumpulan Soutul Jannah merakamkan kenangan bersama warga emas dan tetamu yang hadir.