
Pemanasan global berlaku di seluruh dunia. Di negara beriklim panas bahang, keadaan itu tentunya semakin memeritkan, begitu juga d negara beriklim sejuk juga mula sudah tidak sesejuk biasa dan panas semakin terasa.
Kerana bahang semakin tinggi, pemandu teksi di Afghanistan menghadapi masalah untuk membaiki alat pendingin udara (air conditioning atau AC) dalam kenderaan kerana kosnya tinggi.
Keadaan itu mendorong pihak tertentu melakukan inovasi bagi memasukkan udara sejuk ke dalam teksi. Kini unit penyejat air atau air cooler dipasang di atas bumbung kereta secara manual termasuk menggunakan tali dan pita (tape).


"Sistem AC kereta ini tidak berfungsi, dan pembaikan terlalu mahal. Jadi saya pergi ke juruteknik, (dan) membuat penyejuk khas (penyejat udara)," kata seorang pemandu teksi kepada agensi berita AFP.
"Ini berfungsi lebih baik daripada penghawa dingin," kata pemandu lain. "AC hanya menyejukkan bahagian hadapan tapi penyejuk (penyejat) udara ini menyebarkan udara sejuk ke seluruh kereta."
Dengan suhu yang selalunya melebihi 40 darjah Celsius pada musim panas, pemandu teksi di Afghanistan perlu kreatif untuk memastikan penumpang sejuk dan penyejat udara ini telah terbukti sangat dipercayai dan murah untuk diselenggara. - KitaReporters