Insan & Komuniti 19 Sep, 2025

Rasa terbeban jadi warga emas? Karnival Minda Emas Putrajaya didik golongan tua jadi insan berkualiti!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

"Malaysia Dijangka Menjadi Negara Tua Menjelang 2030". Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penduduk berumur 60 tahun dan ke atas diramalkan melebihi 15 peratus menjelang tahun 2030.


Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia turut mengambil bahagian sempena Karnival Minda Emas Putrajaya. 



Statistik pada 2024 itu mendapati jumlah penduduk negara berusia 60 tahun ke atas sudah mencapai 11.6%. Malah, dijangka Malaysia akan menjadi negara tua dengan lebih 17% populasi berumur 60 tahun ke atas menjelang 2040

Perubahan demografi ini memberi impak besar terhadap pelbagai aspek dalam masyarakat seperti sosial, ekonomi,  dan kesihatan.

Banyak cabaran dalam menghadapi populasi usia emas ini, antaranya kesihatan dan perubatan berkaitan usia. 

Dalam usia 60 ke atas, warga emas berdepan risiko tinggi menghidapi penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi dan demensia. Pada 2015, NCD menyumbang 73 peratus kematian di Malaysia

Laporan WHO menyebut, kira-kira 15% warga emas di seluruh dunia  mengalami  gangguan kesihatan mental. Situasi ini meningkatkan risiko seperti kemurungan dan keresahan.


Dr Rozita Ab Rahman


Sehubungan itu, pelaksanaan program kesihatan warga emas yang holistik dan strategik menjadi sangat penting bagi memastikan kesejahteraan golongan ini terus terpelihara. 

Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Dr Rozita Ab Rahman berkata keselamatan kewangan dan persaraan juga tidak mencukupi. Ini amat membimbangkan.

Beliau berkata, majoriti rakyat tidak bersedia dari segi simpanan untuk menghadapi kehidupan selepas pencen, malah ramai warga emas masih bergantung kepada anak untuk bantuan kewangan

"Ini menyebabkan semakin banyak golongan tua menghadapi pelbagai bentuk ketidakselesaan seperti penipuan kewangan, penderaan fizikal atau psikologi selain rasa terasing dari komuniti. 

"Keadaannya lebih serius dalam kalangan warga emas yang hidup bersendirian.


Pelbagai makanan dan barangan dijual sempena Karnival Minda Emas Putrajaya.  


"Sehubungan itu, pelaksanaan program kesihatan warga emas yang holistik dan strategik menjadi sangat penting bagi memastikan kesejahteraan golongan ini terus terpelihara, " katanya ketika merasmikan Karnival Minda Emas Putrajaya: Minda Sihat, Penuaan Berkualiti di Dewan Putra Damai, Presint 11, Putrajaya.

Karnival itu dianjurkan oleh Klinik Kesihatan Presint 11, Putrajaya, Pejabat Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Putrajaya, Kospen Blok A & B Putra Damai dan Hospital Putrajaya.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena karnival itu, antaranya kaunseling dan pendidikan kesihatan mental, pemeriksaan kesihatan, fisioterapi, penyesuaian rumah untuk warga emas, pemeriksaan kesihatan mata, saringan pendengaran dan kanser.


Reruai menyediakan khidmat nasihat pemakanan dan nutrisi bagi membantu warga emas mendapatkan makanan sihat.


Forum Bahagia Pada Usia Emas, Melawan Sunyi & Depresi turut diadakan, yang menampilkan Pakar Perubatan Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Dr. Nor  Hakima Makhtar dan Pegawai Psikologi (Kaunseling), Hospital Putrajaya, Maznah Ibrahim.

Turut menjadi ahli panel ialah Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Presint 11, Zainal Abidin Yahya dan Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Kajang,  Dr. Zafferina  Zulghaffar sebagai moderator.  

Beliau berkata, objektif karnival itu bagi meningkatkan kesejahteraan keseluruhan warga emas di Putrajaya dengan memfokuskan kepada kesihatan mental, fizikal dan sosial.


Pemeriksaan kesihatan mata, saringan pendengaran dan kanser antara reruai yang disediakan sempena Karnival Minda Emas Putrajaya.


"Karnival ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan mental, memperkasa kesejahteraan psikososial, menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat selain membangunkan ekosistem sokongan yang komprehensif.

"Pada usia emas juga, pengurusan hidup perlu dilakukan secara bijak, jaga kesihatan, bergaul dalam komuniti, usah terlalu mengharapkan anak-anak memberi nafkah selain hak untuk hidup bermaruah, bukannya menjadi gelandangan," katanya.

Dr Rozita mengakui, peningkatan usia itu baik kerana ia memberi gambaran tahap kesihatan di negara ini memuaskan, cuma

warga emas perlu peka dengan diri sendiri seperti menjaga makan, melakukan senaman ringan, bertemu rakan-rakan dan terus mencari ilmu.


Dr Rozita bergambar kenangan bersama peserta dan pengunjung sempena  Karnival Minda Emas Putrajaya.  


"Saya menyokong usaha PAWE yang giat menganjurkan pelbagai aktiviti untuk ahli. Teruskan dengan usaha baik itu dan jangan menjadikan usia tua sebagai bebanan kepada orang lain.

"Saya juga berharap PAWE mendedahkan ahlinya kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) kerana ilmu itu perlu dipelajari bagi menyesuaikan diri dengan kehidupan semasa dan mengelak pelbagai penipuan di media sosial," katanya. - KitaReporters

20
10
0
13
0
You will be interested