Insan & Komuniti 12 Dec, 2024

Video| Bila cinta bersemi, usia tak relevan! Datuk, 64, nikahi nenek, 89! Kasih berputik di kebun!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this


Berlaku satu lagi perkahwinan tular di Indonesia baru-baru ini yang melibatkan perkahwinan warga emas. Biasanya pengantin lelaki lebih tua, tetapi ini sebaliknya.

Pengantin lelaki, Ngatimin, 64, seorang duda, bernikah dengan seorang janda, Satinem, 89,  pada Selasa, 3 Disember 2024 secara sederhana di Pejabat Agama, Kecamatan Giritontro, Wonogiri, Jawa Tengah dengan mas kahwin cuma Rp500 ribu atau kira-kira  RM14.


Sebelum ini kedua-duanya sudah hidup membujang sekian lama. 

Ngatimin sudah menduda kira-kira 25 tahun, sementara Satinem pula sudah menjanda kira-kira 45 tahun setelah kematian suaminya. Dia pernah punya tiga anak, namun kesemuanya meninggal ketika masih kecil.

Ngatimin merupakan warga Jatirejo, Kecamatan Eromoko, manakala Satinem pula adalah warga Dusun Sawit Lor, Desa Pucanganom, Kecamatan Giritontro.


Cinta antara NgatimIn dan Satinem mula bersemi kira-kira dua tahun lalu iaitu pada 2022, bermula di kebun ketika mencari rumput untuk  ternakan kambing.

Ngatimin menjaga kambing milik jirannya yang kebunnya berhampiran dengan rumah Satinem. Sementara Satinem mencari rumput untuk kambing peliharaannya.

Timbul rasa simpati Ngatimin melihat wanita yang sudah lanjut usia itu menyabit rumput. Lalu dia sering membantu Satinem menyabit rumput.

Ngatimin dan Satinem menunjukkan kad nikah sebagai tanda sah sebagai suami isteri

Sering berdua-duaan di kebun membuat hati kedua-duanya turut tersabit perasaan cinta walaupun masing-masing sudah menjadi warga emas.

Perbuatan kedua-duanya sering berdua-duaan di kebun sudah menjadi bahan bualan orang-orang kampung. Lalu sejak beberapa bulan lalu, kedua-duanya bercadang  untuk menghalalkan hubungan mereka dengan bernikah.

Untuk tujuan itu Ngatimin terpaksa bekerja keras untuk mengumpul duit bagi membeli  barang hantaran bagi majlis lamaran dan bertunang.


Begitu juga dengan Satinem yang tetap ingin melakukan majlis resepsi sederhana dengan menjemput para jiran setelah selesai majlis akad secara sederhana di Pejabat Agama Kecamatan Giritontro, Wonogiri.

Pasangan pengantin warga emas ini meraikan malam pertama mereka dengan menghabiskan masa dengan berbual-bual mesra. Kedua-duanya berjanji untuk hidup bersama sehingga maut memisahkan.

Kehidupan Ngatimin dan Satinem akan terus menjadi perhatian masyarakat. Sejauh manakah hubungan kedua-duanya kekal? - KitaReporters

16
11
0
19
0
You will be interested