Insan & Komuniti 13 Nov, 2024

Terbaiklah alumni SK Labis! 1k hadiri program reunion! Juga kumpul dana naik taraf surau sekolah!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this


Antara bekas guru SKL Labis yang hadir menjayakan Program Reunion Salam Keruk SKL bergambar kenangan bersama tetamu jemputan.


Lebih seribu alumni Sekolah Kebangsaan (SK) Labis (SKL), Johor hadir menjayakan Program Reunion Salam Keruk SKL yang berkonsepkan kenduri kahwin bagi mengisi Dana Tabung Surau SK Labis yang diadakan di sekolah tersebut pada 9 November 2024 lalu.

Guru Besarnya, Syakirin Saulani berkata, program tersebut selain menjadi platform terbaik untuk bekas pelajar bertemu merapatkan hubungan yang terputus selepas meninggalkan alam persekolahan dan turut memberi peluang kepada mereka yang hadir menyumbang semula kepada sekolah dalam bentuk wang ringgit mengikut kemampuan mereka.

Syakirin Saulani


"Apa yang membuat saya teruja adalah kehadiran bekas murid yang kini sudah berusia lebih 70 tahun selain tidak kurang juga terdapat dalam kalangan mereka yang sanggup datang dari luar kawasan seperti dari utara mahu pun Pantai Timur semata-mata mahu bertemu rakan lama.
"Dalam masa sama, saya lihat ramai bekas murid yang mengambil kesempatan merakam gambar kenangan di beberapa lokasi terutama bangunan lama bersama keluarga mereka kerana terdapat peristiwa atau kenangan manis semasa bergelar murid di sekolah ini suatu ketika dahulu," katanya ketika ditemui.

Bersesuaian dengan konsep kenduri kahwin program tersebut, rata-rata tetamu yang hadir mengayakan pakaian tradisional menjadikan majlis lebih meriah.


Menurutnya, dana yang disumbangkan oleh alumni sekolah tersebut akan digunakan untuk menaik taraf surau yang baru dipindahkan ke bangunan lama sekolah tersebut kerana surau lama di bangunan baharu sebelum ini digunakan untuk dijadikan bilik darjah 
Katanya, terdapat keperluan untuk menaik taraf bilik yang dijadikan surau itu kerana bilik tersebut dinaiki air semasa kejadian banjir sebelum ini  dan kerja-kerja meninggikan paras lantai perlu dilakukan bagi mengelakan timbul masalah jika berlaku banjir.
Sebelum ini pihak berwajib telah pun menjalankan kerja-kerja membaik pulih kerosakan bilik tersebut, namun tidak melibatkan kerja-kerja meninggikan paras lantai yang tidak dilihat sebagai satu keperluan mendesak ketika itu.

Warga SKL bergotong royong mencuci pinggan seperti yang diamalkan setiap kali majlis kenduri kahwin diadakan.


"Apa yang ingin saya maklumkan kos untuk menjayakan program ini termasuk jamuan adalah hasil sumbangan yang diterima bukan sahaja daripada bekas murid dan kakitangan sekolah ini, malah kami turut menerima sumbangan mereka yang tidak pernah menjadi sebahagian daripada keluarga besar SKL ini. 

"Tidak dinafikan ramai yang meminta agar program ini dijadikan sebagai program tahunan kerana mereka berpendapat program sebegini adalah peluang terbaik untuk mereka mengeratkan lagi hubungan yang terputus sejak sekian lama," katanya lagi.


 

Bekas murid yang baru sahaja meninggalkan SKL Labis untuk menyampung persekolahan di peringkat sekolah menengah teruja merakam gambar berlatar belakang hiasan seperti rumah kampung.


Menurutnya, program seumpama ini selain menjadi medan pertemuan semula bagi mereka yang pernah menimba ilmu di sekolah tersebut, tetapi turut membuka pelbagai peluang termasuk ekonomi dalam kalangan generasi baharu memandangkan latar belakang mereka ketika ini adalah pelbagai.
Katanya, ramai dalam kalangan bekas murid yang datang pada hari tersebut sudah berjaya dalam kerjaya masing-masing dan kahadiran mereka tanpa disedari turut membawa peluang kepada anak-anak rakan mereka yang sedang mengintai peluang dalam sektor perkhidmatan mahu pun perniagaan. - KitaReporters

Banyak yang ingin diperkatakan oleh dua bekas murid SKL ini apabila bersua muka selepas lama terpisah.


 

Antara bekas murid SKL yang datang bersama keluarga mereka semasa Program Reunion Salam Keruk SKL di Labis, Johor pada 9 November 2024 lalu.


Sebahagian alumni SK Labis, Johor yang hadir ke Program Reunion Salam Keruk SKL mengambil kesempatan merakam gambar kenangan bersama rakan selepas lama terpisah sebelum ini.

30
13
0
10
0
You will be interested