Insan & Komuniti 27 Nov, 2024

Ke arah Generasi Putrajaya Juara Kitar Semula! Usaha pupuk budaya 3R! Sasar kelestarian alam sekitar!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this

Pertandingan Fesyen Rekaan 3R memberi peluang pelajar sekolah rendah, menengah dan IPT menunjukkan bakat dalam menghasilkan rekaan daripada barangan kitar semula.


KARNIVAL Hari Kitar Semula Putrajaya 2024 mahu menjentik jiwa masyarakat terutama warga setempat betapa pentingnya memupuk kesedaran, cakna dan menggalakkan budaya kitar semula selain mengukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar khususnya dalam kalangan generasi muda.

Amalan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) perlu dititikberatkan setiap lapisan masyarakat kerana menguruskan sisa pepejal bukanlah tugas agensi kerajaan semata-mata, tetapi ia menjadi kewajipan rakyat supaya bumi terus dipulihara untuk generasi akan datang.

Ia juga sebahagian agenda pembangunan lestari Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi menyokong pelaksanaan Dasar Teknologi Hijau dan Dasar Pengurusan Sisa Negara dengan sasaran meningkat kadar kitar semula dan mengurangkan sisa ke tapak pelupusan. 

TPr Fadlun Mak Ujud (kiri) melawat reruai menjual pakaian, kasut dan barangan terpakai yang dijual dengan harga di antara RM1 hingga RM3 sempena Karnival Hari Kitar Semula Putrajaya 2024.


Pengarah Komunikasi Korporat, Perbadanan Putrajaya, Siti Fadilah Ramli, berkata penganjuran kali ini memberi fokus kepada pendekatan inovatif dan interaktif untuk mempromosi budaya kitar semula termasuk pameran teknologi hijau, aktiviti pendidikan, bengkel kreatif dan aktiviti penjualan barangan kitar semula.

"Karnival Hari Kitar Semula Putrajaya 2024 berperanan sebagai platform untuk menggalakkan kerjasama strategik antara pihak berkepentingan dalam usaha menjadikan Putrajaya sebagai bandar hijau yang mampan.

"Perbadanan Putrajaya berbesar hati dapat bekerjasama dengan rakan-rakan strategik antaraya SWCorp, Alam Flora Sdn Bhd. AFES dan Jabatan Pembangunan Wanita," katanya.

Bengkel Fabrik Terpakai Berasaskan Denim, peserta berjaya mengolah denim terpakai menjadi hasil karya yang unik dan versatil.


Karnival Hari Kitar Semula Putrajaya 2024 telah dirasmikan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.  Ia diadakan semula selepas kali terakhir diadakan pada 2019 berikutan pandemik Covid-19.

Antara aktiviti menarik ialah larian KITARun Putrajaya 2024 dan zumba di sebelah pagi, pertandingan mewarna kitar semula, bengkel seni kreatif pakaian terpakai, Jualan Preloved Mega Treasure Mega, pertandingan kreativiti kitar semula, pameran dan pemeriksaan kesihatan, cabutan bertuah, pameran interaktif 3R, reruai jualan kitar semula dan kaunter pandu lalu.

Dalam bengkel, “Upcycling Workshop: Transformasi T-Shirts Lama Menjadi Bakul Hiasan”, peserta menggunakan kreativiti  bagi mengubah baju-T lama menjadi bakul hiasan yang cantik. 

Begitu juga dalam Bengkel Fabrik Terpakai Berasaskan Denim, peserta berjaya mengolah denim terpakai menjadi hasil karya yang unik dan versatil. 


Persembahan Reuz Band yang dianggotai kakitangan SWCorp mencuri tumpuan pengunjung kerana mereka menggunakan barangan kitar semula seperti tong-tong yang rosak dan tudung periuk lama sebagai alat muzik.


Selain itu persembahan Reuz Band yang dianggotai kakitangan SWCorp mencuri tumpuan pengunjung kerana mereka menggunakan barangan kitar semula seperti tong-tong yang rosak dan tudung periuk lama sebagai alat muzik. 

Ini sekali gus meningkatkan kesedaran rang ramai bahawa barangan buangan boleh digunakan semula jika masyarakat kreatif. 

Dalam perkembangan yang sama, Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 17 (1) muncul juara bagi kategori sekolah rendah dalam Pertandingan Rekaan Fesyen 3R, manakala Sekolah Sultan Alam Shah memenangi bagi kategori sekolah menengah dan Widad University College bagi kategori Institut Pengajian Tinggi.Acara kemuncak ialah Anugerah Kitar Semula 2024 bagi menghargai mereka yang berpenat lelah menjalankan aktiviti bermanfaat ini untuk kepentingan masyarakat. 

Reruai Alam Flora Sdn Bhd menjadi tumpuan pengunjung sempena Karnival Hari Kitar Semula Putrajaya 2024.


Siti Fadilah berkata Karnival Hari Kitar Semula Putrajaya 2024 merupakan salah satu daripada beberapa inisiatif Perbadanan Putrajaya bagi melestarikan alam sekitar dalam menongkah arus cabaran pembangunan dunia moden yang sedikit demi sedikit mengikis dan memusnahkan sumber alam secara kekal.

"Tema karnival tahun ini, "Generasi Putrajaya Juara Kitar Semula" dapat membangkitkan semangat masyarakat untuk terus melaksanakan aktiviti kitar semula demi memastikan persekitaran yang sihat dan bersih.

"Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Perbadanan Putrajaya mahu menjadikan pusat pentadbiran negara ini sebagai contoh bandar hijau di negara ini selain memupuk kerjasama dalam kalangan komuniti supaya mereka bangga dan terus melakukan aktiviti kitar semula dan memelihara alam sekitar," katanya lagi.

Sementara itu, bagi memperkasa ekonomi komuniti, Jualan Rahmah yang dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan gerai jualan di bawah Usahawan Putrajaya (KUPPutra) turut menjadi tarikan sepanjang karnival ini. - KitaReporters




Pengunjung menyerbu gerai Jualan Rahmah untuk membeli barangan keperluan daput dengan harga murah sempena Karnival Hari Kitar Semula Putrajaya 2024.

14
10
0
17
0
You will be interested