
Usaha memasak lemang bukan mudah. Ini kerana banyak persiapan diperlukan iaitu mencari buluh lemang
di hutan. Terpaksa meredah hutan dan menjadi mangsa gigitan pacat.
Selain itu, memilih
buluh lemang yang sesuai untuk membuat lemang. Ia mestillah tidak terlalu besar dan tidak
terlalu kecil.
Namun begitu, usaha ini dilakukan oleh sekumpulan 20 ahli jemaah Surau Diri Jumaat (SDJ) Surau Al-Ershad bagi mengadakan gotong-royong untuk membuat lemang di pekarangan rumah seorang penduduk berhampiran di Taman Kaya, dekat Taiping pada 17 Mei 2025.
Jurucakap
penganjur Nurzanan Ismail berkata, pihaknya menggunakan sebanyak 60 batang buluh
lemang, 15 kilogram beras pulut dan tujuh kilogram santan.
“Beras pulut
akan dibasuh sebelum dimasukkan ke dalam buluh lemang yang disediakan daun
pisang di dalam buluh.
“Beras yang dimasukkan ke dalam buluh lemang itu akan dimasukkan pula santan dan sedikit garam bagi menjamin kesedapannya,” katanya ketika ditemui pada majlis gotong royong itu.

Nurzanan berkata, api akan dinyalakan dahulu sehingga menjadi bara api dan buluh lemang akan diletakkan mengiring pada besi pancang bagi membolehkan buluh lemang terkena haba api yang panas, sekali gus membolehkan beras pulut dalam buluh menjadi masak.
Katanya,
pihaknya mengambil masa empat jam untuk memastikan lemang yang disediakan itu untuk boleh dimakan.
“Lemang yang dimasak itu akan dijamukan kepada jemaah bersama dengan rendang ayam pada malam ini (17 Mei 2025). Saya berterima kasih kepada jemaah yang sudi mengeluarkan wang untuk membeli barangan bagi tujuan tersebut,” katanya.
Tegasnya program ini telah dapat merapatkan hubungan ukhuwah antara satu sama lain, di samping memberikan pengalaman kepada ahli yang mahu mempelajari cara membuat lemang. - KitaReporters