USAHA gigih memerangi rasuah termasuk dalam angkatan tentera, mempamerkan komitmen
tinggi kerajaan membanteras rasuah tanpa mengira pangkat dan kedudukan.
Sehingga ini beberapa pegawai tertinggi angkatan tentera sudah didakwa di mahkamah. Beberapa orang lagi dijangka menyusul dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.

Pejabat SPRM Cawangan Daerah Manjung di Sitiawan, Perak.
Usaha ini amat dihargai kerana rakyat pasti tidak mahu barisan benteng yang mempertahan kedaulatan negara dicemari dengan perbuatan keji yang boleh mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Sehubungan
itu, dalam usaha menjalin persefahaman dan kerjasama menangani rasuah, Markas
Pangkalan Lumut, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), membuat kunjungan hormat
ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Daerah Manjung, di
Sitiawan, Perak pada 20 Januari 2026 lalu.
Kunjungan
hormat tersebut diketuai Ketua Staf Markas Pangkalan Lumut TLDM, Kapten
Shaiful Fazli Ismail. Turut hadir ialah Komander Syaiful Akbar Shahroni, Lt
Komander Hazali Che Rose dan Lt Kolonel Ahmad Zubir Zawawi dari Kor Agama
Angkatan Tentera (KAGAT).
Menyambut ketibaan mereka ialah Ketua Cawangan SPRM Daerah Manjung, Penguasa Sharizal Abdul Rahman.

Shaiful Fazli Ismail (duduk) menandatangani buku lawatan sempena kunjungan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Cawangan Daerah Manjung 20 Januari lalu. Berbaju biru ialah Sharizal Abdul Rahman. Turut hadir Syaiful Akbar Shahroni (dua dari kanan) dan Hazali Che Rose (kanan). Kiri sekali Ahmad Zubir Zawawi.
Antara perkara utama dibincang dalam pertemuan dua hala tersebut ialah berhubung perancangan dan pelaksanaan Program Pencegahan Rasuah di Markas Pangkalan Lumut.
Termasuk
dalam perancangan ini ialah penyelarasan peranan serta tanggung jawab oleh
pihak-pihak terlibat selaras dengan dasar, arahan dan prosedur yang sedang
berkuat kuasa.
Memetik
Shaiful Fazli, dalam perbincangan tersebut beliau menyatakan hasrat pihak
Markas Pangkalan Lumut (MPL) TLDM menjalin kerjasama strategik dan kolabrasi
bersama SPRM Negeri Perak bagi memperkukuh kerjasama pencegahan rasuah dalam kalangan warga TLDM.
Yang diharap melalui inisiatif ini ialah memupuk budaya integriti dan menolak sebarang bentuk rasuah.
Untuk itu usaha juga akan dibuat bagi menyebar dengan meluas mesej pencegahan rasuah kepada seluruh warga TLDM tanpa mengira peringkat, bangsa dan agama.
Kunjungan hormat Markas Pengkalan Lumut TLDM itu memberi ruang mempererat kerjasama strategik dengan SPRM peringkat daerah, sekali gus ini menyokong usaha memperkasa tadbir urus dan integriti dalam perkhidmatan.

Rombongan Markas Pangkalan Lumut TLDM mengadakan perbincangan dan bertukar pandangan dengan Sharizal (baju biru) di Cawangan SPRM Daerah Manjung di Sitiawan 20 Januari 2026 lalu.
Sebagai
respons kepada hasrat TLDM itu, Sharizal menegaskan pihak SPRM Negeri Perak
amnya, dan Cawangan SPRM Manjung khususnya memberi jaminan akan terus komited
memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan dalam usaha membanteras rasuah
serta membudayakan integriti demi kepentigan negara.
Langkah
yang diambil oleh MPL TLDM Lumut dan SPRM Manjung bersama-sama mahu mencegah
rasuah merupakan tindakan proaktif yang wajar dipuji.
Sebagai orang Islam khususnya, wajar difahami bahawa rasuah adalah dosa besar.
Mahukah kita menyara diri, isteri dan anak-anak serta kaum keluarga dengan hasil rasuah sehingga menjadi darah daging? - KitaReporters