Insan & Komuniti 07 Feb, 2026

Ceria menjelang Ramadan! Penduduk ganding bahu bersihkan tanah perkuburan Kg Rinching! Demi ukhuwah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Aktiviti bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan antara tradisi kemasyarakatan yang masih kekal malah diamalkan di kebanyakan komuniti penduduk sehingga sekarang supaya kawasan kubur itu bersih daripada semak samun malah saujana mata memandang.



Tugasan yang dilakukan secara sukarela komuniti penduduk setempat serta berdekatan itu membabitkan kerja membersihkan rumput, kepok pusara yang terbiar, pembuangan sampah sarap dan sebagainya akan menjadi tanah perkuburan berkenaan kelihatan bersih serta mendatangkan keselesaan kepada pengunjung. 

Ia juga secara tidak langsung mengeratkan ukhuwah antara penduduk pelbagai peringkat umur malah mampu menjadi contoh kepada generasi muda untuk memupuk amalan baik kemasyarakatan itu supaya hubungan baik hidup dalam satu komuniti terus terbela. 


Sebahagian penduduk melakukan kerja pembersihan di sekitar kawasan perkuburan.


Mengambil inisiatif sejak bertahun-tahun lalu, kariah Masjid Kampung Rinching Hulu, Masjid Bandar Rinching, Grup Kubur Rinching, Kampung Rinching Tengah, AMK Hulu Langat, Taman Pelangi Semenyih 1 dan 2, Bandar Rinching Seksyen 5 serta 6 termasuk Bandar Tasik Kesuma berganding bahu dalam gotong-royong yang diadakan di tanah perkuburan Kampung Rinching, pada 1 Februari 2026.

Ketua Kampung Rinching Tengah, Abu Seman Hassan, berkata lebih 100 penduduk dalam komuniti terbabit hadir bersama-sama dalam gotong-royong itu bagi melakukan pelbagai kerja pembersihan tanah perkuburan berkenaan yang sudah wujud sejak 100 lalu.

Tambahnya, selain membersihkan kawasan perkuburan berkenaan, aktiviti itu juga antara langkah bertepatan untuk mengeratkan hubungan persaudaraan dan ukhuwah kariah serta waris yang turut hadir menyantuni komuniti memberi pusaran ahli keluarga mereka.


Penduduk mengaminkan doa sebelum memulakan kerja gotong-royong.


Menurutnya, usaha itu juga sebagai memberi gambaran dan sikap ambil peduli penduduk bagi memastikan kawasan perkuburan Islam bersih dan ceria disamping memberikan keselesaan kepada pengunjung yang mungkin datang dari luar daerah bersempena menjelang atau sepanjang bulan Ramadan.

“Gotong-royong yang berlangsung selama lima jam bermula 7.30 pagi itu menyerlahkan semangat permuafakatan dalam kalangan penduduk apabila berkerjasama serta berganding bahu menyelesaikan tugasan pembersihan fizikal iaitu memotong rumput, persekitaran kawasan perkuburan disamping merapi atau memolekkan kubur lama,” ujarnya.


Hambali Parjan (duduk dua dari kanan) berehat bersama-sama penduduk selepas penat bergotong-royong.


Sementara itu, Nazir Masjid Kariah Kampung Rinching Hulu, Hambali Parjan, berkata aktiviti bergotong-royong yang selalu diadakan khusus menjelang Ramadan memberi kesedaran kepada sesetengah penduduk untuk mengambil berat kawasan perkuburan supaya kelihatan terurus.

Jelasnya, walaupun sesetengah tempat sudah ada petugas yang diberi tanggungjawab melakukan kerja pembersihan supaya kelihatan cerita, namun bukan suatu yang membebankan untuk penduduk berganding bahu dalam aktiviti gotong-royong diadakan.

“Paling menarik jika tanggungjawab ini dipikul bersama serta sentiasa ringan tulang khusus untuk turun padang jika ada aktiviti kebersihan dan sebagainya di kawasan perkuburan kerana sudah pasti hubungan mesra ukhuwah terpelihara,” katanya. - KitaReporters


Sebahagian penduduk menunjukkan isyarat bagus selepas menyertai gotong-royong membersih tanah perkuburan Kampung Rinching.

13
11
1
13
0
You will be interested