Insan & Komuniti 09 Oct, 2025

Dulu, kini dan selamanya! Taman Tasik Taiping jadi kebanggaan! Nak laksana projek pemuliharaan taman!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Majlis Perbandaran Taiping (MPT) memerlukan pandangan dan cadangan serta kerjasama komuniti dan pemegang taruh dalam memastikan kesejahteraan sosial dan ekonomi bagi melaksanakan projek pemuliharaan Taman Tasik Taiping.


Pemandangan kehijauan dan air yang kebiruan di Taman Tasik Taiping.

Projek ini melibatkan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM10 juta. Peruntukan tersebut merangkumi pelaksanaan kajian dan penyelidikan awal, penyediaan kerja-kerja reka bentuk serta dokumentasi teknikal, di samping pembinaan fizikal yang akan dilaksanakan di tapak projek.

Skop projek ini bukan sahaja menekankan aspek pembangunan infrastruktur, tetapi juga memastikan setiap peringkat pelaksanaan menepati piawaian teknikal, berdaya tahan serta mampu memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat.

Yang Dipertua MPT Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, perjalanan projek ini secara rasmi dimulakan pada 10 Jun 2025 dengan tumpuan kepada kerja-kerja penyelidikan dan analisis awal.

Menurut beliau, fasa ini amat penting kerana ia melibatkan proses pengumpulan data, penilaian keadaan semasa, serta kajian terhadap aspek sejarah, ekologi dan landskap di kawasan terlibat.

Katanya, hasil analisis awal ini menjadi asas kepada cadangan strategi pemuliharaan yang lebih berkesan dan bertepatan dengan keperluan semasa.

“Seterusnya telah diadakan sesi pembentangan reka bentuk pemuliharaan bersama Jawatankuasa Reka Bentuk. Jabatan Landskap Negara pada 9 September 2025.

“Pembentangan ini merupakan platform perbincangan dan penilaian bersama pakar-pakar berkaitan, di mana pandangan serta cadangan penambahbaikan telah diberikan.

“Hasil perbincangan ini menjadi rujukan penting untuk memastikan reka bentuk yang dicadangkan bukan sahaja memenuhi piawaian teknikal, tetapi juga selari dengan matlamat pemeliharaan warisan semula jadi dan identiti Taman Tasik Taiping,” katanya dalam kenyataan pada sesi libat urus bersama komuniti: Cadangan Projek Pemuliharaan Taman Tasik Taiping di Taiping pada 3 Oktober 2025.


Pokok Hujan-Hujan yang mengelilingi Taman Tasik Taiping menjadi tarikan kepada pengunjung. 


Taman Tasik Taiping dibuka pada 1884. Bekas lombang itu mempunyai kawasan seluas 96.44 hektar. Ia kini menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah.  

Khairul Amir berkata, projek pemuliharaan ini merupakan hasil kerjasama erat antara Jabatan Landskap Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) selaku pihak pelaksana.

Khairul Amir berkata, usaha ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan warisan semula jadi dan sejarah Taman Tasik Taiping terus dipelihara serta diperkasa, bukan sahaja untuk dinikmati pada masa kini, tetapi juga demi kesejahteraan generasi akan datang.

Beliau berkata, Taman Tasik Taiping bukan sahaja mercu tanda kebanggaan warga Taiping, malah ia juga merupakan warisan semula jadi yang menjadi tarikan utama pelancongan negeri Perak dan negara ini.

“Sebagai tasik awam tertua di Malaysia ia menyimpan nilai sejarah, ekologi, rekreasi dan identiti bandar yang amat berharga.

“Justeru, usaha pemuliharaan ini amat penting bagi memastikan taman tasik yang berusia lebih seabad ini terus dipelihara untuk dinikmati generasi kini dan akan datang,” katanya.

Menurut beliau, projek pemuliharaan ini dirangka dengan mengambil kira keseimbangan antara pembangunan infrastruktur, kelestarian alam sekitar dan kepentingan masyarakat.

Beliau berkata, pendekatan yang kita gunakan adalah inklusif, di mana suara komuniti serta pandangan pemegang taruh akan menjadi asas dalam merangka pelan tindakan yang lebih menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau berkata, melalui sesi libat urus pada hari ini, pihaknya berharap agar setiap pandangan, cadangan dan kebimbangan yang disuarakan dapat didengar, diteliti serta diambil kira dalam proses pemurnian projek.

“Kita mahu Taman Tasik Taiping bukan sahaja kekal indah dan lestari, malah berfungsi sebagai ruang awam yang selamat, mesra pengguna, berdaya tarikan serta menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi bandar ini.,” katanya.


Kemudahan pondok untuk pengunjung berehat dan menikmati keindahan Taman Tasik Taiping.


Selepas ini, Khairul Amir berkata, projek akan memasuki fasa penting iaitu Proses Tender yang dijangka dibuka pada penghujung Oktober 2025.

“Insya-Allah, kerja-kerja pembinaan fizikal di tapak akan bermula pada pertengahan Disember 2025 dengan tempoh pelaksanaan yang dijangka mengambil masa selama 15 bulan.

“Sepanjang tempoh ini, pihak kontraktor yang dilantik akan melaksanakan kerja-kerja pembinaan secara berperingkat, dengan pemantauan rapi daripada pihak MPT bersama Jabatan Landskap Negara,” katanya.

Beliau berkata, projek ini dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2027, seterusnya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dan pelancong. - KitaReporters

4
14
0
14
0
You will be interested