Insan & Komuniti 29 Dec, 2025

Sembang-Sembang| Cerita komuniti! Mengutip momen manis melawat kampung! Penduduk desa memang special!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this

Kampung... Suasana yang sangat damai. Panorama alam yang cantik, hijau dan menyejukkan  mata
memandang. Berkesempatan masuk kampung untuk melunaskan amanah wakaf telekung menjadikan saya terfikir.

Antara lokasi menarik di Jungle Resort Nami.


Sejauh mana kita berjalan. Sehebat mana negara yang dikunjungi tidak akan sama dengan tempat sendiri. Ibarat pepatah, hujan emas di negera orang, hujan batu di negeri sendiri. Tentulah kita memilih negara sendiri walai hujan batu yang turun.
Kampung Nami Baru, Kampung Nami Lama, Kampung Kap dan Kampung Tanjong Piring di daerah Nami masih terpelihara khazanah alamnya.
Bukit bukau, sungai, kebun getah dan tanah pertanian masih relevan untuk penduduknya menikmati ketenangan.
Jalannya cantik bertar, kiri kanan ditumbuhi pokok-pokok besar yang telah berusia puluhan tahun.
Tentang masyarakatnya pula. Pada saya sangat special. Masih kekal dengan budaya dan kesopanan yang semula jadi.

Antara aktiviti penduduk kampung di Nami.


Kesempatan bertemu muka dengan mereka dalam satu program baru-baru ini melengkapkan tekaan saya, 
orang kampung tetap yang terbaik dalam menyantuni tetamu.
Keramahan dan tutur kata begitu tersusun walau sesetengahnya menggunkan loghat Kedah yang pekat. Senyum terukir mesra. Jujur terpancar dari hati. Seikhlas menyambut salam tetamu.
Ketika masa berborak, ramai antara mereka punya kisah hidup yang pelbagai rasa. 

Ada ibu tunggal yang terpaksa membanting tulang mencari rezeki untuk kesinambungan hidup bersama anak-anak. Ada suri rumah yang menggalas tanggungjawab berat di rumah. Kemudian berniaga menjual nasi lemak dan kuih muih di tepi jalan untuk membantu suami menyara keluarga.

Ada makcik yang tinggal seorang diri kerana tidak mahu membebankan anak menantu yang juga sempit hidup mereka. Namun semangat dan nawaitu mengatasi segala.

Tok Khadijah 74 tahun turut hadir.


"Tok lebih selesa dok sorang. Senang nak buat amal. Makan apa ada. Asal sihat dan tak kacau anak cucu tok bersyukur," kata Tok Khadijah, 75 tahun.
Masih segak orangnya kata oghang Kedah. Comei meniti usia. Masih lancar bercerita, telinga pun masih elok pendengarannya.
Ternyata wanita desa sangat hebat. Kuat dan tabah. Hubungan sesama mereka juga akrab. Penuh kasih sayang dan seperti adik beradik.
Sesungguhnya aturan Allah itu sangat cantik. Yang di bandar hidupnya mewah, serba serbi cukup. Walau ada yang susah masih boleh bertahan dengan cabaran.
Namun di kampung atau desa keadaanya berlainan. Sama ada kaya atau miskin mereka tetap
perlu bekerja di kebun, ladang atau berniaga di tepi jalan.

Noor Ashikin Abdullah. 


Menyantuni mereka baru-baru ini untuk menyampaikan hadiah telekung mengajar saya akan baik budinya orang kampung.
Seperti kata Noor Ashikin Abdullah, wanita Nami memang hebat saling bantu membantu dan aktif bermasyarakat.
"Mereka tak pernah gagal hadir  jika ada jemputan ke majlis atau aktiviti seperti kelas masak, kelas ilmu, dan sebagainya. Mereka suka dengan perkara berfaedah," katanya.
Memegang jawatan Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Ketua Jiran Wanita KRT, peranannya tentulah berat dan memerlukan komitmen yang tinggi.
Isteri kepada Abdullah Ismail dan 3 orang anak ini -- yang sulung Muhammad Khairul Hakimi; kedua, Nur Addina zulaikha; ketiga, Nur Auliya Qustina -- seorang yang aktif dan disegani semua pihak kerana keramahannya menyantuni orang kampung.
"Saya suka mellihat wanita di sini aktif dan menambah ilmu pengetahuan mereka tentang dunia luar. "Alhamdulillah... setakat ini semua memberi sokongan," kata anak sulung daripada 5 org adik beradik
ini.
Menurut Noor Ashikin aktiviti yang selalu ada ialah bacaan Yasin setiap jumaat. Aktiviti lain bergantung kepada keadaan.
"Dulu ada juga buat demo masakan bersama Kemas tapi sudah dihentikan. Insya-Allah akan diusahakan untuk diadakan semula," kata Noor Ashikin.

Siap sedia untuk bergotong royong.


Apapun empat jam bersama orang kampung mengutip komen manis yang sukar di lupakan. Benarlah, hidup ini satu perjalanan yang mengajar kita makna kehidupan sebenarnya.
Terima kasih orang Nami. - KitaReporters

Majlis serahan telekung untuk wanita Nami. 

12
11
0
10
0
You will be interested