
Penduduk Kampung Temerlok, di Trong dekat Bukit Gantang, Perak bertuah apabila kampung mereka dipilih sebagai Kampung Angkat Madani Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Pemilihan kampung itu disambut baik oleh penduduk yang rata-ratanya bekerja sebagai pekebun kelapa sawit, nelayan dan pekerja kampung.
Sebanyak
empat projek bernilai RM1 juta sedang dilaksanakan di kampung tersebut jelas memberikan imfak kepada keselesaan penduduk.
Ketua Kampung Temerlok, Mohamad Tahir Mohd Khalid berkata, dengan pemilihan kampung itu sebagai Kampung Angkat MADANI, pihaknya bersyukur dan menerima dengan baik.

Mohamad Tahir Mohd Khalid.
Katanya,
banyak permohonan penduduk di sini terpaksa menunggu lama dan dengan pemilihan
itu banyak permohonan yang tertangguh boleh dilaksanakan dengan cepat.
“Saya buat permohonan sebuah jeti untuk nelayan di kampung ini sejak 2014.
“Apabila rezeki
menjadi kampung angkat APMM, projek jeti itu sedang dilaksanakan memberi faedah
kepada penduduk terutama nelayan,” katanya ketika ditemui selepas majlis
peluncuran Kampung Angkat Madani APMM di
Dewan Terbuka Trong dekat Bukit Gantang.
Majlis peluncuran disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin Nasution Ismail (tengah) bertanyakan sesuatu mengenai seni tekat benang emas pada pameran di Trong.
Saifuddin
berkata, kampung ini menerima nafas baharu melalui empat projek pembangunan
utama bernilai RM1 juta yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat
setempat.
Katanya, antara empat projek tersebut ialah menaik taraf Jeti Nelayan Sungai Tok Lin dengan kos
hampir RM350,000, projek baik pulih Sekolah Agama Rakyat (SAR) Al-Mahmudiah (RM170,000),
projek menaik taraf Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Temerlok (RM330,000)
sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh dan projek pembaikan Masjid
Al-Mahmudiah (RM150,000), meliputi kerja mengecat, membaiki bumbung,
pemasangan jubin serta pagar kubur.
“Semua
projek ini adalah bukti jelas bahawa denyut nadi rakyat luar bandar sentiasa
dekat di hati kepimpinan negara.
“Ia juga menzahirkan kesungguhan Kerajaan Madani untuk memastikan kesejahteraan rakyat pada peringkat akar umbi,” katanya lagi.

Saifuddin
berkata, pendekatan ini bukan sekadar janji, tetapi tindakan yang nyata dan
memberi impak terus kepada kehidupan rakyat.
“Seperti
yang sering ditegaskan Perdana Menteri, tiada komuniti akan dipinggirkan
daripada arus pembangunan. Pembangunan desa mesti setara dengan pembangunan
bandar. Inilah maksud sebenar kerajaan bekerja, rakyat merasa.
“Saya telah
mengarahkan semua agensi di bawah KDN supaya mengenal pasti sekurang-kurangnya
sebuah kampung angkat untuk dijadikan platform menyalurkan bantuan secara
langsung.
“Usaha ini
akan meningkatkan keyakinan rakyat kepada Kerajaan, memperkukuh kerjasama
agensi kerajaan dan masyarakat serta menyemai semangat perpaduan demi masa
depan negara,” katanya.
Beliau
berharap, projek Kampung Angkat Madani di Kampung Temerlok ini menjadi contoh
terbaik bagaimana Kerajaan Madani menunaikan janji kepada rakyat. - KitaReporters