Insan & Komuniti 30 Sep, 2025

Video| Wanita Padang terkejut! Lelaki perempuan di Malaysia tak boleh salam! Berbeza di kampungnya!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Bagi sesetengah orang, berpindah atau mengunjungi tempat baharu sering membawa pengalaman budaya yang berbeza. Begitulah yang terjadi ke atas seorang wanita dari Padang, Indonesia. 



Dia berkongsi pengalamannya yang boleh dianggap culture shock (kejutan budaya) ringan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur.

Menurutnya, perbezaan yang dirasai bukanlah sesuatu yang terlalu mengejutkan, tetapi agak berbeza daripada kebiasaan di kampungnya. 

Ceritanya lagi, pada kunjungan pertama ke rumah teman mentua, dia disambut mesra, bersalaman, berbual sebentar dan pulang seperti biasa.



Namun,pengalaman lebih menarik berlaku pada kunjungan kedua, semasa rumah terbuka di mana suasana lebih meriah. 

Rumah tersebut menjemput jiran-jiran dan rakan-rakan anak, menjadikan suasananya sangat hidup.

Dia hadir bersama suami dan seperti biasa, bersalaman dengan tetamu yang kebanyakannya wanita dan ibu-ibu. 

Pada masa itu,tetamu tidak mengetahui lelaki di sampingnya adalah suaminya kerana belum diperkenal.

Ketika majlis berlangsung, dia dan suami menikmati hidangan yang disediakan. Apabila azan maghrib berkumandang, mereka menunaikan solat berjemaah di surau kecil yang disediakan di rumah tersebut. 

Sewaktu solat, ruangan tersebut hanya diisi oleh mereka berdua dan selepas selesai, tiba-tiba hadir beberapa tetamu wanita lain.



Setelah solat, mereka bersalaman. Namun, ketika berbual, tuan rumah bertanya, “Eh, ini kawan atau bagaimana?” Dia menjawab, “Oh, ini suami saya, kami suami isteri.” 

Reaksi tuan rumah membuatkan dia tersedar tentang perbezaan budaya tempatan. “Oh, patutlah sebab di sini perempuan dan lelaki bukan mahram tidak bersalaman.”

Menurut wanita tersebut, budaya orang Malaysia memang mengelakkan bersentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, termasuk lelaki yang lebih tua. 

Berbeza dengan kampungnya di Padang, kerana salam-salaman biasanya dilakukan sebagai tanda hormat atau menghargai sahaja, tanpa sebarang maksud lain.



Sejak pengalaman itu, dia lebih berhati-hati bertemu lelaki yang bukan mahram atau kawan suaminya. Paling tidak, dia hanya mengangguk, senyum atau memberi salam secara verbal sahaja.  Menurutnya, walaupun kecil, pengalaman itu memberi pengajaran tentang pentingnya menghormati adat dan budaya persekitaran baharu.

Namun, perkongsian wanita ini mengundang persoalan dan kritikan netizen kerana perkara tersebut adalah pengetahuan asas dan ia bukan budaya sebaliknya ajaran Islam.  

“Aik, benda asas Islam kot. Memang tak boleh salam bukan mahram pun. Di sekolah memang tak diajar ke?” tanya salah seorang netizen. 



Selain itu, ada juga netizen yang kurang faham dengan cerita yang dikongsi oleh wanita ini. 

“Tolong jawab pertanyaan saya, betul-betul ingin tahu. Akak ni cerita dia salam dengan suami dia kan. Kenapa tak boleh salam? Batal wuduk jela kan. 

"Fahamlah lelaki perempuan bukan mahram tak boleh salam. Tapi dalam konteks ini, mereka suami isteri,” soal netizen tersebut. Kemudian pertanyaannya telah dijawab oleh netizen lain.



Manakala ada netizen turut berkongsi pengalaman ketika berkunjung ke Indonesia. Menurutnya, dia terkejut kerana surau di sana bercampur antara lelaki dan perempuan.

“Lagi satu di Malaysia, musollah laki dan perempuan berasingan. Kalau di masjid ada penghadang.

Kali pertama datang Indonesia, terkejut sebab mereka solat sekali. Ingat salah masuk surau,” ceritanya. 



Cerita sebegini sebenarnya bukan perkara baharu. Amalan melaksanakan tuntutan agama di Malaysia dan Indonesia memang agak berbeza. 

Di Malaysia, amalan lebih mengikut garis panduan Islam, manakala di Indonesia, budaya kadang-kadang lebih dititikberatkanberbanding agama.

Pengalaman wanita ini menjadi pengajaran kecil namun bermakna, bahawa memahami perbezaan budaya dan adat tempatan adalah penting, walaupun ia nampak remeh bagi sesetengah orang. - KitaReporters



5
12
0
11
0
You will be interested