Insan & Komuniti 19 Aug, 2025

Pelik, aneh! Flat kos rendah! Rumah sekangkang kera! Tiba-tiba muncul JMB minta RM2k setiap rumah!

Share this

23 Blok Flat Taman Mesra di Bagan Lalang, Butterworth yang mempunyai 828 unit rumah kos rendah.
Rumah Flat Taman Mesra didiami oleh pelbagai kaum yang rata-ratanya adalah golongan B40.

Lebih 3,000 penduduk menghuni flat kos rendah di Taman Mesra, Bagan Lalang di Mak Mandin, Butterworth.

Sudahlah hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, rumah pula sekangkang kera, tiba-tiba muncul pula dakwaan yang mengaku sebagai Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang mahukan bayaran penyelenggaraan sekitar RM2,000 setiap rumah.

"Pelik, ajaib dan aneh sekali. Kami tidak tahu-menahu wujudnya JMB walaupun telah lama tinggal di flat yang hanya sebesar 576 hingga 600 kaki persegi.

"Lebih menghairankan rumah dua bilik ini tidak mempunyai sekuriti dan tidak berpagar pun. Rata-rata yang tinggal di sini terdiri dari pelbagai kaum dan majoritinya adalah golongan B40 yang mempunyai pendapatan isi rumah amat minimum sekali," jelas Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Taman Mesra (PPFTM), Latifah Varshay Ibrahim.


Latifah Varshay Ibrahim.


Tinjauan ke lokasi tersebut mendapati ia adalah flat kos rendah mempunyai 23 blok dengan 828 unit rumah serta keluasan amat kecil antara 576 hingga 600 kaki persegi.

Menurut PPFTM, mereka meragui kewujudan JMB yang didakwa tidak menjemput penduduk untuk jalankan mesyuarat agung penubuhan dan menjemput penduduk hadir Mesyuarat Agung Tahunan JMB.

"Pada tahun 2019, tiba-tiba semua penduduk menerima surat dan diarahkan untuk membuat bayaran yuran penyelenggaraan sekitar RM2,000 dan masalah ini masih berlarutan hingga kini.

"Penduduk kehairanan dan terpinga-pinga kerana diarahkan membuat bayaran kepada JMB yang diragui kewujudannya. Malah kami juga dimaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menjalankan projek perumahan baharu pula di kawasan kami tidak lama lagi. Ia menambahkan lagi kerisauan kami.

"Beberapa laporan polis telah dibuat oleh penduduk mengenai dakwaan kewujudan JMB dan perkara berkaitan. Aduan turut dibuat kepada Exco Perumahan, ADUN kawasan serta pihak berkuasa tempatan supaya dilema yang dihadapi penduduk dapat diselesaikan dengan segera," tambah Latifah lagi.


Penduduk berkumpul beramai-ramai menzahirkan ketidakpuasan mereka terhadap masalah yang berlarutan sekian lama.

Sehubungan itu katanya, penduduk amat berharap kerajaan negeri mahupun Exco Perumahan dan ADUN kawasan Sungai Puyu serta Ahli Parlimen Bagan dapat membantu menyelesaikan kemelut yang telah sekian lama menjadi dilema sehingga kini.

Malah tegas Latifah lagi, tindakan segera harus diambil oleh pihak kerajaan negeri membabitkan isu ini kerana adalah dibimbangi wujudnya unsur tidak sah dan tidak mematuhi undang-undang kerana ia melibatkan dana dan kutipan wang penduduk. - KitaReporters


Penduduk mendaftarkan diri sebelum dialog diadakan bersama PPFTM.

13
13
0
6
1
You will be interested