Insan & Komuniti 25 Jul, 2024

Warga InQKA Prihatin UiTM yang memang prihatin! Bersama rakan strategik MYDIN santuni warga emas!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Dr Wan Hartini Wan Zainodin bertanya khabar dengan warga emas dalam program CSR InQKA Prihatin.


PROGRAM tanggungjawab sosial korporat (CSR) Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) Prihatin, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor merupakan antara kolaborasi terbaik dengan rakan strategi Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) dalam menyantuni masyarakat yang memerlukan pembelaan.

Institut pendidikan tinggi itu dan MYDIN yang merupakan syarikat ternama dalam perniagaan runcit sentiasa berusaha mendepani kerjasama serta prihatin untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat khusus komuniti yang memerlukan bantuan serta sokongan.

Pengarah Projek CSR InQKA Prihatin, Dr Wan Hartini Wan Zainodin, berkata kolaborasi itu memudahkan urusan pihak beliau untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan asas harian untuk diagihkan kepada komuniti yang memerlukannya.

Menurutnya, usaha kerjasama itu bertambah mudah apabila MYDIN turut mempunyai program prihatin serta food bank (bank makanan) mereka sendiri untuk turut sama menghulurkan sumbangan bersesuai dengan moto kerja amal kebajikan korporat iaitu ‘Zahirkan Kesyukuran, Semerakkan Keriangan’.


Dr Azizah Abdullah melakukan gimik penyerahan sumbangan barangan keperluan asas bernilai RM12,000 kepada Azman Rasman.


“Pihak InQKA akan terus memelihara kolaborasi terbaik ini dalam projek atau program prihatin demi memastikan ia mencapai matlamat sasaran khusus membela nasib mereka atau komuniti yang amat memerlukan bantuan bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya ketika ditemui pada program CSR InQKA Prihatin di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor, pada 20 Julai 2024. 

Turut hadir pada program itu Penolong Naib Canselor InQKA, Dr Azizah Abdullah; Pengarah Unit Jaminan Kualiti Akademik InQKA, Prof Madya Kamarularifin Abd Jalil; Pengarah Unit Pengurusan Kualiti, Inovasi dan Kecemerlangan Operasi, Prof Madya TS Dr Ing Sharul Azam Abdulah; Pegawai Bahagian Hal Ehwal Islam, UiTM, Shah Alam, Ustaz Mohd Shaffiaizad Amar Mohd Sabri; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin; dan warga InQKA.

Pada program berkenaan, selain beramah mesra dengan penghuni PJMM, warga InQKA turut menyampaikan cenderahati dan menyantuni mereka yang uzur serta terlantar di atas katil dengan menyerahkan sumbangan pelbagai barangan keperluan asas harian hasil kolaborasi dengan MYDIN bernilai RM12,000.


Muhammad Syafiq Mohiadin dan Dr Azizah (duduk di tengah) merakamkan kenangan bersama-sama warga emas dan warga InQKA.


Dr Wan Hartini, berkata program itu dapat meningkatkan kerja sosial warga InQKA apabila dapat menghulurkan bantuan serta sokongan moral kepada warga emas tersisih daripada ahli keluarga dan juga sanak saudara di samping keuzuran dengan menghidap pelbagai penyakit kronik. 

Jelasnya, program itu akan menjadi wadah kepada warga InQKA untuk terus memberi kerjasama bagi memastikan PJMM mampu terus beroperasi bagi menyantuni dan mengurus warga emas yang berlindung di situ sehingga akhir hayat.

Tambahnya, InQKA akan membantu menguar-uarkan serta mengedarkan risalah kepada komuniti setempat mengenai PJMM yang beroperasi tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada warga emas amat memerlukan bantuan dan sumbangan barangan keperluan asas.

“Pelbagai barangan yang disumbang InQKA ini pun adalah hasil infak komuniti setempat, alumni, warga UiTM dan InQKA yang prihatin apabila diuar-uarkan dalam media sosial selepas membuat perancangan untuk menganjurkan program berkenaan,” ujarnya lagi.


Warga InQKA mengagihkan cenderahati kepada warga emas sebelum menjamu selera bersama-sama.


Sementara itu, Dr Azizah pula menyifatkan program berkenaan membuka mata warga InQKA serta menitikberatkan nilai murni dalam mengasihi ibu bapa sendiri supaya tidak terleka sehingga mengabaikan mereka seperti yang dapat dilihat di pusat jagaan itu.

Jelasnya, jika warga InQKA berasakan mereka menunjukkan keprihatinan dalam program itu apabila dapat menyantuni warga emas adalah suatu membanggakan namun ia tidak dapat menandingi usaha murni dan ikhlas petugas serta sukarelawan PJMM membantu mengurus dan menjaga penghuni setiap hari.

Menurutnya, jadikanlah perkara itu sebagai suntikan motivasi serta semangat untuk sentiasa bersangka baik terhadap warga emas yang memerlukan kesabaran apabila melayani karenah mereka walaupun bukan ibu bapa sendiri tetapi dalam hidup bermasyarakat ia adalah tanggungjawab bersama.

“Program CSR ini juga boleh menjadi platform hubungan terbaik dengan komuniti masyarakat dan saya berharap InQKA dapat meneruskan usaha murni itu seperti ditunjukkan alumni UiTM, Muhammad Syafiq yang terbabit secara langsung dengan PJMM.

“Saya berbangga dengan beliau sebagai alumni UiTM yang dapat berbakti kepada masyarakat di PJMM kerana secara tidak langsung memberi contoh serta teladan baik terhadap keprihatinan mengurus serta membela golongan kurang bernasib baik,” katanya. - KitaReporters


Muhammad Syafiq memberi penerangan kepada Dr Azizah dan warga InQKA mengenai penghuni PJMM yang uzur dan terlantar di atas katil.


Dr Azizah dan Dr Wan Hartini menunjukkan barangan makanan ringan yang disumbangkan untuk dinikmati warga emas.

19
13
0
17
0
You will be interested