YANG di-Ppertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta rakyat Borneo masih lagi belum kebah kerana dilanda demam, rindu antara raja dan rakyat jelatanya dan dalam masa yang sama, mereka merafak sembah menjunjung kasih agar keluarga kedua-dua Seri Paduka dapat melawat rakyat Sabah dan Sarawak walaupun tidak lagi mengetuai negara.
"Walaupun Tuanku tidak dapat sambung menjadi Yang di-Ppertuan Agong kami, Tuanku tetap 'Raja yang baik' di hati kami. Semoga Tuanku, Raja Permaisuri dan kerabat yang lain dipanjangkan umur dan sihat selalu," demikian kata dedexx3844's.
"Malah penduduk di Borneo masih demam Tuanku, hari-hari kami menanti posting dari Royal Pahang kerana Tuanku masih merindui kami di sini, " demikian kata Qeeoo@ dalam Instagram Istana Negara.
azlyn.aziz.h pula menulis dalam Instgram yang sama dengan memuat naik kata-kata, "Daulat Tuanku.. semua mengalami sindrom "east malaysia withdrawal".
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Raja Permaisuri, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, berkenan berangkat menyertai Kembara Kenali Borneo (KKB) selama 11 hari yang bermula pada 3 September hingga 13 September 2023 lalu.
Jumlah jarak melibatkan lebih daripada 2,154 km yang melalui laluan jalan darat Lebuh Raya Pan Borneo yang merentasi Sabah, Brunei, dan Sarawak.
Seri Paduka sempat mengucapkan terima kasihnya yang tidak terhingga kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengilhamkan lebuh raya itu.
Kembara yang mendapat sambutan luar dugaan itu turut diiringi putera dan puteri Seri Paduka adalah dalam siri merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang itu dan rakyat jelata sebelum menamatkan perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Seri Paduka berdua dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong pada 31 Januari 2019.
Sementara itu Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dalam Instagramnya memuat naik hantaran dengan kapsyen berikut:
"Good People, Good Times and Great Memories - That's what life is all about. (Rakyat baik, masa terbaik dan memori hebat - Itulah makna kehidupan sebenarnya)"
Tengku Mahkota dan adiknya, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah tiba-tiba menjadi "rebutan" rakyat di dua negeri itu dan sanggup membahagikan negeri itu kepada kedua-dua putera supaya menjadi Sultan mereka. Ibu-ibu dan gadis pula menggambarkan mereka bak hero dalam filem Hindustan.
Lucunya angau anak-anak gadis itu membuatkan lelaki di Sabah dan Sarawak mengusik mahu membawa diri, lari ke Filipina kerana kedua-dua putera itu sudah menawan hati anak-anak dara di Borneo.
Avery Faith18 menyifatkan kedatangan Tuanku berdua dan keluarga diraja itu semasa KKB amat bermakna bagi rakyat Sabah dan Sarawak.
"Bukan hanya ketampanan Putera dan Puteri Tuanku menjadi kegilaan gadis Sarawak dan Sabah, tetapi sifat rendah hati dan tinggi budi perkerti Tuanku sekeluarga sangat disanjungi kami di sini.
"Sesungguhnya, kami di sini sentiasa merindui dan sangat mengalu-alukan kedatangan Tuanku dan keluarga pada masa akan datang. Daulat Tuanku!"
Begitu juga kata Bbieyana, "Tuanku dan keluarga sudah cipta memori yang paling mahal dan indah di hati borneo..kami akan selalu rindu kenangan ini. Daulat Tuanku." - KitaReporters