Insan & Komuniti 20 Oct, 2023

Program Keusahawanan dan Pesta Kuih Bulan MACMA meriah! Platform bagi mualaf Cina Muslim berniaga!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil.

Share this

Sebahagian gerai jualan yang dibuka pada Program Keusahawanan dan Pesta Kuih Bulan anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia cawangan Negeri Sembilan di Seremban baru-baru ini. - Kredit foto: Mojo KitaReporters

Perniagaan merupakan antara punca rezeki yang sangat besar dalam kehidupan manusia. Malah, dalam Islam sendiri umatnya digalakkan mencari rezeki melalui perniagaan kerana Rasulullah SAW juga merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya.

Menyedari hakikat itu, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) cawangan Negeri Sembilan telah menganjurkan Program Keusahawanan dan Pesta Kuih Bulan baru-baru ini dalam usaha menyediakan platform buat para mualaf Cina Muslim berniaga.

Wakil penganjur, Shafiq Lee berkata, acara itu telah berlangsung di Kompleks Al-Saadah yang terletak di Jalan Mufti Ahmad, Seremban, Negeri Sembilan dengan matlamat menggalakkan mualaf khususnya Cina Muslim berdikari dan memulakan perniagaan sendiri.



Shafiq Lee berharap untuk mengumpulkan lebih ramai mualaf Cina Muslim dan menggalakkan mereka berniaga.


"Kami telah memanggil lebih ramai mualaf Cina Muslim atau peniaga-peniaga mualaf sedia ada di Negeri Sembilan untuk tampil memulakan perniagaan di atas platform MACMA. Sekarang ini, kami sedang berusaha untuk mengumpul para peniaga tersebut bagi mengadakan Bazar Ramadan pada tahun hadapan," ujar Shafiq kepada Kita Reporters.

Tambah beliau, pada program tersebut, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dengan penyertaan ramai peniaga mualaf Cina Muslim.

"Alhamdulillah, banyak gerai dibuka yang menjual pelbagai jenis makanan Cina Muslim seperti Nasi Ayam Hainan, Charles Kuew Teow, dimsum, air manisan Peach Gum dan dumplings. 

"Pengunjung juga berpeluang mengikuti kelas membuat kuih bulan selain menyaksikan persembahan Malam Pesta Kuih Bulan iaitu persembahan tukar muka," jelasnya.


Penulis bersama Amira Lee, seorang selebriti mualaf Cina Muslim yang teruja dapat menyertai program anjuran MACMA ini.


Sementara itu, salah seorang peserta yang turut membuka gerai jualan, Nur Amira Ann Lee Abdullah memberitahu seronok menyertai program tersebut kerana selain menambah pendapatan, beliau juga dapat berkenalan dengan ramai pengunjung yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Amira Lee merupakan salah seorang selebriti dan pempengaruh media sosial yang sering menerima undangan berkongsi pengalamannya memeluk Islam. 


Para pengunjung juga berpeluang mempelajari cara membuat kuih bulan melalui demonstrasi masakan yang disediakan oleh pihak penganjur.

Selain itu, turut diadakan demonstrasi menulis tulisan khat Cina buat pengunjung cilik dan dewasa.


Di samping itu, terdapat pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti demonstrasi menulis khat tulisan Cina, membuat tanglung dan persembahan kebudayaan di sebelah malamnya. 

Turut hadir pada program tersebut ialah TikTokers yang popular dengan content masakan, SoyaBelacan atau mesra disapa Aisyah. Beliau yang mempunyai lebih 473,000 pengikut TikTok itu hadir sambil menunjukkan demo beberapa jenis masakan. 

Menurut Aisyah, sebagai seorang mualaf beliau rasa gembira kerana dapat memenuhi permintaan penganjur untuk terlibat dalam program tersebut. Ditanya tentang content masakannya dalam Tik Tok, wanita yang fasih berbahasa Melayu ini berkata:

"Aisyah memang suka masak. Suami pula suka makan. Alhamdulillah, content yang dibawa diterima oleh khalayak sekali gus membuatkan Aisyah bersemangat untuk terus berkongsi menu masakan yang telah dipelajari," ujarnya sambil tersenyum. 


Aisyah yang popular dengan nama Soya Belacan dalam Tik Tok mempunyai lebih 473,000 pengikut dalam laman tersebut.


Kompleks Al-Saadah dirasmikan pada tahun 2012 oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir. 

Ia mula dibina pada tahun 2008 di kawasan tanah wakaf seluas 1.78 ekar dengan peruntukan daripada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji sebanyak RM4.5 juta, manakala sebanyak RM3.2 juta lagi diterima daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. 

Kompleks ini berkonsepkan reka bentuk seni bina Cina yang diinspirasikan daripada Masjid Besar Xian di wilayah Shaanxi, China. Bangunan yang tersergam indah ini menyediakan pelbagai kemudahan pengajaran dan pembelajaran kepada saudara baharu di Negeri Sembilan. - KitaReporters


Kompleks Al-Saadah diinspirasikan daripada Masjid Besar Xian di wilayah Shaanxi, China ini menyediakan pelbagai kemudahan pengajaran dan pembelajaran kepada saudara baharu di Negeri Sembilan.

11
10
0
16
0
You will be interested