Insan & Komuniti 23 Jul, 2021

Kami relakan pemergianmu! Cuma terkilan mama tak sempat jamah nasi minyak, ayam masak merah!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


TANGGAL 10 Zulhijjah, 1442 Hijrah bersamaan Selasa, 20 Julai, 2021 akan kekal sebagai tarikh yang menyedihkan kepada tiga adik-beradik, Nurul Adlina Soa’ed, 25; Nurul Aqilah, 23; dan Nurul Najwa, 19 apabila kehilangan ibu tercinta, Norasida Mohamad Yasin, 56, akibat Covid-19.

Ketika umat Islam meraikan kedatangan Hari Raya Korban pada tarikh itu, mereka pula meratapi pemergian ibu yang tewas selepas kira-kira dua minggu bertarung dengan Covid-19.

Kematian Norasida atau lebih mesra disapa Shida dalam kalangan rakan-rakan, juga menjadikan ketiga-tiga adik-beradik itu sebagai yatim piatu. Pada tahun 2009, bapa mereka, Soa’ed Ibrahim meninggal dunia.

Episod sedih ini bermula apabila Shida dan dua anaknya, Adlina dan Najwa disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian calitan pada 3 Julai 2021 ekoran si ibu mengalami demam dan batuk.

Menurut Aqilah, pada awalnya dia yang mengalami demam, namun menganggap ia perkara biasa kerana dia memang kerap demam terutama apabila diserang asma.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan wartawan

Allahyarham Shida (serba hitam) bersama anak-anaknya, Adlina (kiri sekali), Aqilah (dua dari kanan) dan Najwa. - Foto: FB Allahyarham Shida Yasin.


Kami sudah menjangka sesuatu yang buruk akan berlaku namun tidak sangka, mama pergi secepat ini apatah lagi pada Hari Raya Haji.


“Sejak kecil saya memang ada penyakit asma dan kerap demam. Jadi, masa mula-mula demam, saya anggap biasa. Saya tak syak apa-apa sebab saya tidak pernah keluar rumah kecuali bila perlu kerana banyak menumpukan masa kepada pembelajaran secara online (dalam talian),” katanya.

Aqilah adalah pelajar tahun akhir jurusan akaun di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam, Shah Alam.

“Tapi, selepas itu mama pula demam dan kemudian batuk-batuk. Jadi, kami bawa mama buat swab test. Terkejut apabila mama disahkan positif Covid.

“Sebagaimana saya, mama memang jarang keluar rumah sejak bersara pada 2020. Begitu juga adik (Najwa), cuma kakak (Adlina) yang keluar bekerja.

“Kemudian, kami tiga beradik pula jalani ujian. Keputusannya, saya negatif tapi kakak dan adik disahkan positif walaupun tidak bergejala.

“Mama dan Wawa (Najwa) dihantar ke MAEPS sementara kakak diarah melakukan kuarantin di rumah. Menurut doktor, mama menghadapi masalah paru-paru sementara Wawa mula batuk-batuk,” cerita Aqilah.

Walaupun adiknya, Wawa disahkan pulih dan dibenarkan pulang selepas seminggu menerima rawatan di MAEPS, namun keadaan kesihatan ibu mereka terus merosot sehingga terpaksa dipindahkan ke Hospital Ampang pada 10 Julai 2021 lalu.

“Mama terpaksa bergantung pada alat penafasan kerana tahap oksigen dalam tubuhnya tidak stabil. Tapi, mama tidak kritikal atau ditidurkan. Dia masih boleh bercakap dan kami saling berhubung melalui panggilan video atau WhatsApp.

“Begitu pun daripada maklumat yang kami dapat melalui seorang kenalan yang kebetulan bertugas di hospital berkenaan, keadaan mama sebenarnya tidak stabil kerana mula berlaku jangkitan kuman pada paru-parunya dan peluang untuk pulih amat tipis.

“Kami sudah menjangka sesuatu yang buruk akan berlaku namun tidak sangka, mama pergi secepat ini apatah lagi pada Hari Raya Haji.


Shida menyambut ulang tahun kelahiran ke-56 pada 24 Februari 2021. - Foto: FB Allahyarham Shida Yasin


Nasi minyak dan ayam masak merah itu tidak terusik pun, maknanya mama tak sempat makan sebelum dia meninggal. 


“Kami sedih tapi reda kerana itu memang sudah ketentuan Allah. Namun, pada masa sama agak terkilan kerana mama tidak sempat menjamah makanan yang dimintanya pada pagi hari raya itu,” ungkap Aqilah.

Menurut Aqilah, dua hari sebelum meninggal, mereka sempat berbual-bual melalui panggilan video.

“Mama nampak ceria walaupun masih bergantung pada alat penafasan. Dia tanya mengenai persiapan raya kami adik-beradik. Saya cakap kami tak masak apa-apa tapi jiran kami, yang kami panggil Cik Ida berjanji nak beri kami nasi minyak lauk ayam masak merah.

“Mama cakap dia teringin sangat nak makan nasi minyak lauk ayam masak merah tu. Saya agak pelik kerana setahu saya mama tak suka ayam masak merah. Tapi, saya janji akan hantar kepadanya pada pagi raya.

“Jadi, pagi raya, lebih kurang pukul 11, saya dan kakak hantar makanan itu ke hospital. Sampai di lobi, saya WhatsApp mama beritahu kami dah sampai, tapi ringkas saja mama jawab ‘tak boleh naik’.

“Jadi, kami hanya tinggalkan saja makanan itu dengan petugas hospital untuk disampaikan kepada mama dan kami pulang.

“Tapi, lima minit selepas sampai di rumah, kami menerima panggilan daripada hospital memaklumkan mama meninggal dunia.

“Nasi minyak dan ayam masak merah itu tidak terusik pun, maknanya mama tak sempat makan sebelum dia meninggal, inilah yang buat kami sedikit terkilan,” cerita Aqilah.


Si bongsu, Wawa, memang manja dengan ibunya. - Foto: FB Allahyarham Shida Yasin.


Menceritakan keperibadian ibunya, Aqilah berkata, Allahyarham Shida adalah seorang ibu yang sangat penyayang dan sentiasa bekerja kuat demi memastikan dapat memenuhi keperluan anak-anak terutama dalam bab pelajaran.

“Sejak ayah meninggal pada 2009, mamalah ibu dan ayah kami. Satu hal yang saya kagum, mama tidak pernah menangis walaupun kami tahu betapa sukarnya kehidupan dilaluinya untuk membesarkan kami.

“Dia akan berusaha sedaya upaya untuk keperluan kami terutama  dalam pelajaran kerana mahu kami berjaya. Malah, pesan mama yang selalu saya ingat adalah ‘jangan meminta-minta sebaliknya usaha sendiri untuk dapatkan apa yang kita mahu.’

“Mama juga seorang kawan yang sentiasa bersedia mendengar masalah, berkongsi cerita malah selalu memberi dorongan bila saya berasa ‘down’ apabila keputusan peperiksaan saya kurang memuaskan.

“Dan sudah tentulah kami akan merindui masakan mama terutama ayam masak merah dan ikan keli berlada. Inilah keistimewaan mama, walaupun dia sendiri tidak suka makan kedua-dua masakan itu tapi dia sanggup memasak demi memenuhi selera anak-anak.

"Malah, bukan kami sahaja, ramai kawan-kawan mama yang memberitahu, mereka akan merindui air tangan mama. Arwah mama memang pandai memasak pelbagai jenis makanan, sesuai dengan tugasnya sebagai wartawan majalah masakan.


Shida diraikan oleh rakan-rakan sepejabatnya pada hari terakhir bertugas sebelum bersara pada awal tahun 2020 lalu. - Foto: FB Allahyarham Shida Yasin.


“Sesuatu yang kami lega, mama dapat menyempurnakan beberapa hajatnya selepas bersara pada tahun lalu. Antaranya, mama sudah melangsaikan pinjaman perumahan, membina sebuah rumah untuk didiami nenek di Jerantut (Pahang) dan belajar mengaji serta mendalami ilmu agama.

“Kami akan merinduinya tapi kehidupan perlu diteruskan,” ungkap Aqilah.

Aqilah akan menduduki peperiksaan akhir pada minggu depan sementara adiknya, Najwa yang baru menamatkan pengajian asasi sedang menanti tawaran untuk melanjutkan pelajaran peringkat ijazah dalam bidang undang-undang.

Kakak sulung mereka, Adlina pula sudah bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat dan kini akan menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan oleh ibu mereka.

Allahyarham Norasida adalah mantan wartawan yang bertugas dengan pelbagai penerbitan, jawatan terakhirnya adalah sebagai wartawan kanan majalah Rasa, terbitan Kumpulan Media Karangkraf sebelum bersara pada awal tahun 2020 lalu. 

Jenazahnya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara, pada Rabu, 21 Julai, 2021. 

Al-Fatihah. - KitaReporters


Perjalanan terakhir. Allahyarham Norasida Mohamad Yasin disemadikan di Tanah 

Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara pada 21 Julai, 2021. 

        

2
1
98
1
2
You will be interested