DISEBABKAN si bapa menikah di Thailand dengan seorang wanita, anak perempuannya telah menikahi abang kandungnya sendiri dan telah mempunyai zuriat.
Kisah ini telah dikongsikan dalam Facebook oleh seorang Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam iaitu Khairul Fahmi Ramli.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bernikah
- Menikah dengan abang kandung:
Menurut peguam ini, wanita ini dipercayai mula berkenalan dengan lelaki yang menyambung pelajaran di sebuah universiti. Mereka berdua dikatakan bercinta selama tiga tahun sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga selepas menamatkan pelajaran.
Dalam tempoh berkenalan, wanita itu tidak pernah bertemu dengan ayah lelaki tersebut. Katanya, sudah meninggal dunia. Bukan itu sahaja, wanita itu juga telah kehilangan ayah.
Pada mulanya tiada perkara yang dicurigai.
Selepas tamat belajar, wanita ini telah dinikahkan oleh abang kandungnya yang sulung sebagai walinya. Selepas dua tahun menikah mereka dikurniakan seorang cahaya mata.
- Ibu mertua nikah di Siam:
Sewaktu wanita ini bersembang kosong dengan ibu mertuanya, terungkitlah kisah yang dia dulu ada berkahwin dengan ayah kepada suaminya tersebut di sempadan Thailand tanpa pengetahuan sesiapa. Hinggalah selepas anak mereka dilahirkan iaitu suami wanita ini sekarang, suaminya menceraikannya.
Kemudian, tidak pernah ambil peduli tentang mereka berdua, dan ibu mertuanya ini pun tak pernah terfikir untuk membuat pengesahan nikah.
Keinginan wanita ini untuk melihat sijil pernikahan ibu mertuanya tersebut menjadi terbuak-buak sebab baru tahu tentang ibu mertuanya bernikah di sana.
Alangkah terkejutnya, apabila mertua itu menunjukkan nama ayah mertua yang telah meninggal itu adalah sama seperti nama ayah wanita tersebut.
Terkedu lidah, bahkan nombor kad pengenalan juga pasport sama. Dia tekad untuk soal, bagaimana ciri-ciri ayah mertuanya itu?
Orangnya tinggi, kulit hitam manis, rambutnya lurus. Dulu, dia ajak ibu mertuanya nikah di Siam kerana tidak dapat restu. Bahkan, katanya dia tidak ada sesiapa, duda katanya.
Apabila ditunjukkan gambar almarhum ayah mertua yang terselit di celah fail sijil nikah tersebut, terkejut beruk wanita itu.
- Menangis, air mata mengalir tak henti:
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, menjerit dia dan berlari keluar rumah dan terus pandu keretanya pulang ke rumah keluarganya. Menangis sepanjang perjalanan. Tiba di rumah ibunya, terus dia ceritakan segalanya.
Suami wanita ini tiba lebih kurang satu jam selepas balik daripada tempat kerja secara kecemasan. Bimbang apa-apa berlaku kepada isterinya.
Selepas diceritakan segalanya, biru pucat suaminya tersebut. Menangis air mata mengalir tak henti.
Inilah tujuan dia berjumpa saya, untuk ceritakan kisah ini.
- Apa kesan kepada pernikahan mereka?
Pertamanya si ibu mertua itu perlu membuat pengesahan nikah yang sepatutnya dibuat lama dahulu. Jika sememangnya sah nikah mereka, besar kemungkinan suami kepada wanita ini sememangnya anak sah taraf kepada ibu mertua dan bapa mertua atau bapanya sendiri.
Hubungan mereka boleh dianggap sebagai saudara sebapa, tapi berlainan ibu. Haram bernikah dengan saudara sebapa kerana dia juga adalah darah daging dari keturunan yang sama.
Pernikahan mereka ini perlu difaraqkan. Maksudnya, perlu memfailkan segera permohonan faraq nikah di Mahkamah Rendah Syariah atas sebab pernikahan tak sah tersebut.
- Apa status anak mereka?
Anak kepada hasil perkahwinan wanita ini, boleh dianggap sebagai anak persetubuhan syubhah. Disebabkan ibu dan bapa tersebut tidak mengetahui yang mereka adalah saudara, maka anak tersebut perlu dibuat Permohonan Pengesahan Nasab selepas perkahwinan mereka difaraqkan. Anak tersebut boleh terima nafkah daripada bapanya, boleh mewarisi dan boleh diwalikan oleh bapanya.
Kesimpulan, Janganlah senyap dan sembunyi. Kalau dah bernikah secara senyap, inilah kesan yang paling besar. Kasihan kepada anak cucu yang tidak bersalah.
Sebab itu, kita perlu menentang sekeras-kerasnya lelaki yang nak poligami secara senyap-senyap di Thailand. Ini punca kepada banyak masalah rumah tangga.
Wanita pula, beringat! Jangan mudah sangat termakan pujuk rayu jantan sebegini. Apa kata anda? Kasihan kan? - KitaReporters