Insan & Komuniti 14 Jan, 2021

Ambil peduli mangsa banjir Kuala Lipis! Sukarelawan madrasah redah pedalaman hantar bantuan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

MADRASAH Ehsaniah Taman Bukit Anggerik (METBA), Cheras, Kuala Lumpur meneruskan Misi Kemanusiaan Kami Prihatin dengan membantu mangsa banjir di sekitar Kampung Kerambit, Kuala Lipis. Misi yang dilaksanakan di bawah Program Prihatin Banjir dan Bencana Alam METBA itu mendapat sokongan pelbagai pihak khusus bagi mengumpul dana selepas mula dilaksanakan lebih enam tahun lalu. : KitaReporters


Sukarelawan METBA memunggah bungkusan barangan makanan asas ke dalam kenderaaan pacuan empat roda pada 11 Januari 2021.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan banjir:

https://kitareporters.com/search?search=banjir


Penasihat program itu, Datuk Hazreeq Putra Datuk Hasman, berkata METBA mengambil inisiatif mewujudkan program itu sebagai sokongan kepada usaha kerajaan dan semangat setiakawan atas dasar keprihatinan serta kemanusiaan membantu mereka ditimpa musibah.

Menurut beliau, bagi misi ke Kampung Kerambit itu METBA sudah membuat persiapan sejak awal Januari tahun ini dengan menyiapkan 100 bungkusan bekalan pelbagai barangan asas makanan seperti beras, gula, tepung gandum, maggi, susu, air mineral, teh dan sepertinya untuk di bawa ke kampung itu.


Sebahagian sukarelawan METBA yang bergerak selepas solat subuh ke Kampung Kerambit, Kuala Lipis, Pahang untuk mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir.



Katanya, pada awal pagi 12 Januari 2021, pasukan sukarelawan METBA bergerak ke kampung berkenaan menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk mengagihkan bantuan berkenaan kepada keluarga mangsa banjir dengan mendapat kerjasama pelbagai pihak di kampung itu khususnya ketua kampung.

“Dengan bantuan itu, kami akan turut mengumpulkan pelbagai maklumat yang terkini bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang perlu disalurkan terutama pada peringkat pemulihan nanti.



Sukarelawan METBA mengagihkan bantuan barangan makanan asas kepada mangsa banjir di Kampung Kerambit dan sekitarnya.


“Kami juga akan memastikan bekalan disalurkan itu termasuk dalam fasa bantuan berikutnya menepati sasaran iaitu sampaikan kepada mereka yang ditimpa musibah berikutan  banjir besar itu untuk dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

Pengelola program itu, Osman Ahmad, berkata berdasarkan maklumat daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ketua kampung yang diterima, 100 keluarga di kawasan pedalaman dikenal pasti untuk menerima bantuan bekalan makanan asas dalam fasa pertama berkenaan.



Keadaan rumah penduduk di Kampung Kerambit dan sekitarnya yang rosak akibat digenangi banjir besar baru-baru ini.


Menurutnya, METBA sudah merancang empat fasa bantuan ke kampung itu yang akan membabitkan bantuan pakaian, kain selimut, almari, katil dan pelbagai barangan asas perkakas serta peralatan rumah selain terbabit dalam kerja gotong-royong  pembersihan.

“Pada awal Januari lalu, METBA telah melancarkan tabung kutipan dana untuk membantu mangsa banjir dan bencana alam daripada penduduk sekitar dan tokoh korporat yang dijangka dapat mengumpulkan RM100,000 sebelum ditutup pada hujung bulan Januari 2021 ini.  

“Selain itu METBA akan memastikan pergerakan misi program berkenaan mendapat kelulusan pihak berkuasa berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dikuatkuasakan semula di samping mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya. - KitaReporters


Antara sukarelawan METBA meninjau sendiri rumah penduduk di Kampung Kerambit dan sekitarnya yang mengalami kerosakan selepas dilanda banjir besar.

19
4
1
0
1
You will be interested