Insan & Komuniti 05 Sep, 2020

Hati menjadi hiba! Warga emas sambut kemerdekaan, hari lahir

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

KEK majlis sambutan Bulan Kemerdekaan Negara ke-63 dan ulang tahun kelahiran di Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor, mengundangkan rasa sedih dan pilu hati warga emas yang menghuni pusat jagaan itu, yang sebahagian besarnya tersisih daripada keluarga sendiri. : KitaReporters


Lagi cerita-cerita berkaitan pusat jagaan:

https://kitareporters.com/search?search=pusat+jagaan


Rata-rata mereka yang berumur antara 60 tahun dan 85 tahun itu tersentuh hati dan perasaan apabila sukarelawan yang turut hadir menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi untuk beberapa penghuni dalam majlis yang diadakan pada 31 Ogos 2020 lalu.

Walaupun pada mulanya mereka begitu bersemangat menyanyikan lagu Negaraku apabila Jalur Gemilang dinaikkan pada tiang bendera dan berapa lagu patriotik bersama-sama sukarelawan, namun kemudiannya tunduk sedih serta bergenang air mata apabila mengalunkan lagu Selamat Hari Jadi untuk rakan mereka.

Beberapa warga emas sayu menunggu untuk menikmati kek hari kelahiran rakan mereka yang disambut bersama-sama sukarelawan.


Pengerusi pusat jagaan itu, Mohiadin Bahado, berkata situasi berlaku secara spontan itu mengambarkan betapa rindunya warga emas berkenaan kepada ahli keluarga mereka yang sudah lama berpisah dan mungkin sebelum ini mereka sering meraikan sambutan hari kelahiran bersama-sama isteri serta anak-anak.

Menurutnya, dia sendiri tidak menjangkakan beberapa sukarelawan membuat kejutan dengan membeli kek hari jadi untuk beberapa penghuni pusat itu yang hari kelahiran mereka bersamaan dengan hari kemerdekaan negara.

Antara kek hari kelahiran dan sambutan Bulan Kemerdekaan Negara di Pusat Jagaan Nur Hasanah yang disumbang sukarelawan NGO bagi meraikan warga emas di pusat itu. 


Antara ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir bagi meraikan majlis di pusat jagaan itu ialah Sukarelawan Hospital Kajang, Kasih; Perkumpulan Perempuan (WI) Kampung Sesapan Kelubi, Beranang; Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia; dan sukarelawan di beberapa kampung berdekatan.

Warga emas Zuljadan Yeop Abd Talip, 75, gembira bercampur sedih apabila sukarelawan NGO menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi kepadanya.


Mohiadin berkata, pada majlis itu juga sebuah organisasi menawarkan rawatan terapi percuma kepada penghuni pusat berkenaan dengan merendam kaki dalam air garam, manakala wakil farmasi Hospital Kajang memberi penerangan mengenai ubat-ubatan.

Katanya, sukarelawan WI Kampung Sesapan Kelubi dan Hospital Kajang memeriahkan sambutan bulan Kemerdekaan itu dengan menyampaikan beberapa lagu patriotik dan nasyid kerana majlis berkenaan juga diadakan bersempena Maal Hijrah.

Sebahagian warga emas sedang mendapatkan terapi air garam bersempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Negara ke-63.


“Sambutan bulan Kemerdekaan itu walaupun diadakan secara ringkas, namun yang penting dapat menyemaikan semangat cintakan negara kepada penghuni pusat ini selain menghiburkan kesunyian hati mereka.

“Kepada pelbagai pihak yang ingin menghulurkan bantuan atau ingin mengadakan program khidmat masyarakat di pusat ini boleh menghubungi nombor telefon pejabat 03-87668100 dan sumbangan boleh disalurkan ke dalam akauan CIMB-8002 260491 – Pusat Jagaan Nur Hasanah,” kata Mohiadin. - KitaReporters

WI Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Selangor yang diketuai, Norsam Abd Manap (tengah) menyampaikan lagu nasyid bagi meraikan warga emas bersempena Sambutan Bulan Kemerdekaan.

18
1
2
0
1
You will be interested