HATI mana yang mampu bertahan apabila hanya dapat melihat ahli keluarga dari jauh tanpa dapat menyentuh mereka walaupun hanya berada di depan mata. Sudah pasti bukan kepalang pilu rasa di hati apabila keadaan yang terlalu mendesak sehingga situasi sedemikian terjadi. : KitaReporters
Tangkap layar jururawat yang menangis kerana tidak dapat menghampiri ahli keluarganya yang tular dalam media sosial.
Bagi
wargamaya yang telah menonton video tular yang memaparkan seorang jururawat
wanita menangis di hadapan pagar rumah sambil meminta ibu dan bapanya
menjaga diri, sudah pasti tangisan wanita itu meruntun hati setiap
daripada kita.
Ini
kerana, bagaimana cekalnya barisan frontliners (petugas barisan
hadapan) negara bertungkus-lumus bekerja sepanjang usaha mengekang penularan wabak
Covid-19 dilakukan, begitu jugalah tabahnya hati mereka dalam
menjarakkan diri demi menjaga keselamatan ahli keluarga lain.
Menerusi
video berdurasi satu minit 43 saat itu, seorang wanita yang tidak
kelihatan dipercayai ibu jururawat terbabit bertanyakan sama ada anaknya
itu boleh bersalaman dengannya atau pun tidak.
Wanita
itu juga menitipkan pesanan kepada anaknya yang menangis di luar pagar
agar menjaga diri dan sentiasa memohon doa dan perlindungan daripada
Allah S.W.T.
Malah wanita itu juga beberapa kali memujuk anaknya itu agar jangan menangis.
"Jaga diri baik-baik. Minta pada Allah, setiap kali keluar rumah cakap kerana Allah Taala cari rezeki.
"Jangan nangis nak, jangan nangis," katanya.
Dalam rakaman tersebut, jururawat berkenaan turut menyatakan kekesalan kerana tidak dapat memeluk ibunya, namun kesedihan wanita itu cuba ditenangkan oleh wanita itu.
"Tidak apa,
ini sudah tugas awak. Insya-Allah, Allah ada dan mohon pada Allah.
"Tentang mak jangan risau, Allah ada. Niat (bekerja) kerana Allah Taala.
"Tak pakai stoking ke pergi kerja? Pakai sarung tangan, jangan tinggal. Insya-Allah Allah Taala ada," ujar wanita itu.
Rata-rata
wargamaya yang menonton video itu mengakui cukup terkesan sehingga
mereka bukan sahaja sebak malah ada yang turut menangis melihat adegan
dua beranak itu.
Bagaimanapun,
apalah gunanya jika hanya sebak dan bersimpati jika kita tetap tegar
keluar dari rumah dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang
dikuatkuasakan kerajaan.
Marilah
kita bantu barisan frontliners ini dengan cara duduk di rumah.
Ayuh Malaysia!! Bantu mereka demi membantu anda! - KitaReporters
Tags: