Insan & Komuniti 24 Oct, 2020

Presiden PKBM terkilan! Abdullah Abu kembali ke rahmatullah!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

MANUSIA hanya mampu merancang tetapi perancangan Allah sentiasa merupakan yang terbaik. Begitulah jodoh pertemuan dan ajal maut. Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab agak terkilan apabila tidak kesampaian menunaikan hajat Allahyarham Abdullah Abu untuk bertemu dengannya. : KitaReporters


ABDULLAH Abu (kiri) bersama rakan seperjuangan dalam sukan berbasikal. - Kredit foto Zuraidah.


Lagi cerita-cerita berkaitan basikal:

https://kitareporters.com/search?search=basikal


Bekas pelumba basikal negara itu kembali ke rahmatullah kira-kira pukul 11.30 pagi semalam, Jumaat 23 Oktober 2020 kerana sakit tua di kediamannya, Kampung Melayu Tambahan, Subang, Selangor. 

Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 79 tahun, pernah beraksi pada Sukan Empayar Britain dan Komanwel di Perth, Australia dan Sukan Asia Jakarta, Indonesia pada 1962. 

“Pada bulan Oktober ini, Allahyarham pernah memberitahu Datuk Ng Joo Ngan (juga bekas pelumba basikal handalan negara dan Olahragawan Kebangsaan 1970) untuk kami bertemu. 

“Saya pun sudah berjanji dengan Joo Ngan menziarahi Allahyarham selepas tamat PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) 27 Oktober 2020 ini tetapi tidak kesampaian nampaknya. 

“Saya dan Allahyarham senegeri. Kampungnya, Ayer Molek, Melaka pun tidak jauh dengan tempat asal saya,” kata Abu Samah.


ABU Samah Abd. Wahab. - Kredit foto HubMedia.


"Allahyarham meninggalkan lima anak kesemuanya lelaki," kata menantunya, Zuraidah Ahmad, isteri kepada Raken Hemly Abdullah. 

Sukan Empayar Britain dan Komanwel 1962 kemudian hanya dipanggil Sukan Komanwel mulai 1978 dan pernah menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah pada 1998. 

Abdullah menduduki tempat ke-15 daripada 36 pelumba dalam acara lebuh raya Sukan Empayar Britain dan Komanwel 1962 di Kings Park, Perth yang dijuarai Wes Mason dari England dengan catatan lima jam 20 minit 26.2 saat. 

Pencapaiannya merupakan yang terbaik dalam kalangan empat pelumba Malaysia yang turut bersaing iaitu Allahyarham NA Rosli atau Rosli Abdul Kadir, Saharudin Jaffar dan Andrew Michael.


ABDULLAH (kanan) di samping Saharudin Jaffar (kiri), Andrew Michael, tukang urut Australia dan NA Rosli ketika Sukan Empayar Britain dan Komanwel 1962 di Perth. - Kredit foto Zuraidah. 


Anak jati Kampung Ayer Molek, Melaka ini juga seangkatan trio pemenang pingat gangsa acara lebuh raya berpasukan Sukan Asia Jakarta - Rosli, Ja’apar Bibon dan Mohamad Jaafar. 

“Kali terakhir saya bertemu Allahyarham ialah ketika Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan di Velodrom Cheras, Kuala Lumpur pada 80-an. Saya pun tidak ingat tahun tepatnya. 

“Dia hanya datang sebagai penonton dan saya pula tidak sempat berbual panjang kerana agak sibuk menyampaikan hadiah kepada atlet pemenang. Jadi begitu lamalah kami terpisah sejak itu,” kata Abu Samah yang menerajui PKBM sejak 1990. 

Abdullah katanya dikenali sebagai pelumba basikal yang gigih dan sanggup mengeluarkan wang saku sendiri semata-mata kerana minat dan cintanya kepada sukan beroda itu.


ABDULLAH Abu (kiri) dan adiknya. - Kredit foto Zuraidah.


“Waktu dulu, kami pelumba basikal tidak mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan seperti sekarang. Semua perbelanjaan menyertai perlumbaan kena pakai duit sendiri. 

“Sampai hendak pergi kejohanan pun hanya naik bas awam, bawa sekali dan simpan basikal masing-masing dalam perut bas (tempat letak beg penumpang),” kata Abu Samah.

Dalam Sukan Empayar Britain dan Komanwel itu, Abdullah juga menduduki tempat ke-15 dengan catatan 1 minit 22.1 saat dalam ujian masa 1 kilometer selain beraksi bagi tiga lagi acara trek di Velodrom Lake Monger, Leederville iaitu scratch, pecut 1,000 meter dan 4,000 m kejar-mengejar perseorangan.


SAHARUDIN JAFFAR. - Kredit foto Yakeb.


Sementara itu, Saharudin Jaffar, bekas Setiausaha Persatuan Lumba Basikal Malaysia berkata, “saya menerima berita pemergian Allahyarham menerusi mesej telefon. Kami berjumpa kali terakhir pun dalam enam atau tujuh tahun lalu. 

“Disebabkan PKPB di Selangor sekarang, saya tidak dapat pergi menziarahi atau menghadiri pengebumiannya,” kata pemenang pingat emas 800 meter individu lepas beramai-ramai Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965 ini. - KitaReporters


 

ABDULLAH Abu (dua dari kiri) menyertai Kayuhan Santai Mazda 2011 di Shah Alam bersama NA Rosli (kiri), Yahya Ahmad dan Saharudin Jaffar. - Kredit foto Saharudin.  

1
0
3
0
1
You will be interested