Insan & Komuniti 28 Jun, 2020

Covid-19: Pengantin lelaki meninggal sehari selepas kahwin!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

KEGHAIRAHAN mengadakan majlis perkahwinan walaupun pengantin lelaki tidak sihat, kerana disyaki dijangkiti virus Covid-19, membawa padah apabila pengantin lelaki itu meninggal dunia sehari selepas melangsungkan perkahwinan di Patna, Bihar, India. Patna ialah ibu negeri Bihar dan Orissa. : KitaReporters

GAMBAR hiasan... Dua mempelai pada majlis perkahwinan di India. - Kredit foto: The Indian Express.


KEDUDUKAN bandar Patna, ibu negeri Bihar dan Orissa.-Kredit Google Map


Malah, sejumlah 31 orang tetamu yang hadir pada majlis perkahwinan besar-besaran di sebuah kampung di Patna itu turut dijangkiti virus Covid-19 sehingga menimbulkan panik di kawasan tersebut.  

Kesemua mereka yang dijangkiti adalah antara penduduk kampung yang datang beramai-ramai ke majlis perkahwinan berkenaan pada 16 Jun 2020. 

Kegembiraan majlis tersebut bagaimana pun bertukar duka apabila keesokannya pada 17 Jun 2020, pengantin lelaki meninggal.

Memetik laporan Gulf News, pengantin lelaki itu memang berasal dari sebuah kampung di Patna tetapi bekerja di Gurgaon, atau nama rasminya Gurugram di Haryana, India. 

Bagaimana pun laporan itu tidak menyebut siapa nama pengantin lelaki itu atau pengantin perempuan.

Gurgaon terletak di bahagian utara negeri Haryana, berhampiran sempadan Haryana-Delhi, kira-kira 30 kilometer ke barat daya New Delhi dan 268 kilometer ke selatan Chandigarh, ibu negeri Haryana.

NEGERI Haryana dengan ibu negerinya Chandigarh. Di sini terletaknya bandar Gurgaon tempat pengantin lelaki bekerja. - Kredit foto: Google Map.


Berdasarkan laporan, pengantin lelaki itu balik ke kampung dari tempat kerjanya di Gurgaon pada 15 Jun 2020, menaiki kenderaan sendiri dan terus menuju ke lokasi majlis perkahwinan di Blok Naubatpur, Patna.

Menurut penduduk kampung, pengantin lelaki itu mula jatuh sakit ketika majlis keagamaan perkahwinan sedang berlangsung. Tetapi upacara itu dapat dijalankan sehingga selesai. 

Pada awal pagi, dia balik ke rumah bersama isterinya.

Pada sebelah petang, majlis perkahwinan besar-besaran diadakan dengan hampir kesemua penduduk kampung hadir untuk meraikan.

Namun keesokannya, keadaan kesihatan pengantin lelaki itu semakin buruk lalu dikejarkan ke sebuah pusat kesihatan kerajaan di Blok Paliganj.

Memandangkan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah semakin teruk, dia kemudian dipindahkan ke Institut Sains Perubatan India di Patna. 

Bagaimanapun dia meninggal dunia sebaik sahaja kenderaan yang membawanya sampai ka pintu pagar hospital.

Mayatnya kemudian dibawa pulang oleh keluarganya dan dibakar tanpa memaklumkan kepada pihak berkuasa perubatan dan tanpa menjalankan sebarang ujian untuk memastikan dia positif  Covid-19 atau tidak.

Penduduk kampung yang prihatin kemudian melaporkan perkara tersebut kepada para pegawai tempatan dan memaklumkan bagaimana pengantin lelaki itu mati sehari selepas majlis perkahwinan.

Mereka juga memaklumkan kepada pihak berkuasa, pengantin lelaki itu balik ke Patna dari Gurgaon, Haryana untuk berkahwin. 

Haryana ialah salah sebuah negeri yang paling teruk dilanda wabak Covid-19.

PEMANDANGAN bandar Gurgaon di Haryana tempat pengantin lelaki berkerja. - Kredit foto: RentoMojo. 


Apabila sahaja mendapat maklumat tersebut, satu pasukan perubatan daripada Pejabat Kesihatan Negeri terus berkejar ke kawasan berkenaan dan menjalankan ujian ke atas 125 penduduk kampung yang menghadiri majlis perkahwinan itu. 

Daripada jumlah itu, 15 orang daripadanya disahkan positif Covid-19.

Pada 20 Jun 2020, pasukan perubatan menjalankan ujian susulan ke atas 81 orang lagi yang hadir pada majlis perkahwinan berkenaan dan 16 orang daripadanya disahkan positif Covid-19.

Pegawai perubatan, Dr. Ramanujam pada 24 Jun 2020 mengesahkan mereka yang diuji positif adalah tetamu pada majlis perkahwinan. Pihak berkuasa kesihatan kini memantau dengan teliti situasi tersebut.

Untuk rekod, berdasarkan laporan terkini Jabatan Kesihatan Negeri, Covid-19 meragut 55 orang dan menjangkiti 8,180 penduduk di Bihar.

BANDAR Patna, Bihar di mana majlis perkahwinan diadakan tetapi pengantin lelaki meninggal dunia sehari selepas berkahwin. - Kredit foto: Youtube.


Ini satu pengajaran ke atas kita di Malaysia mengenai bahaya berkumpul beramai-ramai pada majlis seperti perkahwinan atau majlis-majlis lain yang menghimpunkan ramai dengan mengabaikan penjarakan sosial.

Inilah juga hikmah kerajaan Malaysia tidak membenarkan majlis seperti ini diadakan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berkuat kuasa sekarang. 

Patuhilah demi keselamatan kita sendiri. - KitaReporters

5
3
2
4
0
You will be interested