Insan & Komuniti 16 Apr, 2020

COVID-19 TAUTKAN HUBUNGAN YAHUDI-ISLAM?

@mohd. hazli hassan
A Mobile Journalist (Mojo) trainer by profession but force to be a scuba diver for food. Have more than 28 years experience in the media industry. Get more info on mobile journalism and mobilegraphy at www.mymojo.my

Share this

BERCERITA mengenai konflik Palestin-Israel pasti akan membawa kita kepada gambaran peperangan yang tiada kesudahan sejak rejim Zionis merampas hak dan kedaulatan penduduk negara kelahiran para ambia itu pada tahun 1948. : KitaReporters


Gambaran mengenai tembok tinggi di Tebing Barat yang memisahkan penduduk Palestin dan Israel, kemusnahan masjid, hospital dan rumah penduduk di Gaza; bagaimana rejim Zionis menembak kanak-kanak serta wanita di Tebing Barat; bagaimana penduduk di Gaza dikepung tanpa mendapat kebebasan dan hak sebagai manusia serta banyak lagi insiden jenayah perang yang rejim Zionis lakukan, namun masih bebas merampas tanah rakyat Palestin sehingga ke saat ini.

Namun kehadiran pandemik penyakit baharu Novel Coronavirus (Covid-19) di seluruh dunia yang bermula di Wuhan, China seolah-olah petanda Allah sedang memberikan isyarat untuk semua berdamai.

Pada kala pandemik Covid-19 ini berlaku, seluruh dunia seolah-olah sepi daripada sebarang keganasan harian termasuklah di Palestin.

Lebih unik, pandemik ini seolah-olah isyarat daripada Allah yang mahukan semua makhluknya menghentikan perbalahan dan peperangan.

Ekoran pandemik Covid-19 ini, seluruh dunia mengerahkan seluruh tenaga dan usaha untuk menghalang ia daripada terus menular dan Palestin juga tidak terkecuali.

Di bandar Be'er Sheva, di selatan negara yang dijajah oleh Israel, dua insan Avraham Mintz dan Zoher Abu Jama menjadi perhatian dunia apabila kedua-duanya yang bertugas sebagai penyelamat dilihat bersembahyang mengikut kepercayaan masing-masing, tanpa gangguan.


Avraham Mintz seorang Yahudi yang taat pada agamanya dan Zoher Abu Jama, seorang Islam, bersembahyang menghadap kiblat masing-masing pada waktu yang sama sebaik sahaja selesai menghantar seorang wanita yang mempunyai masalah pernafasan.

Malah menurut laporan CNN, sebelum itu, kedua-dua insan itu baru sahaja memeriksa seorang tua berusia 77 tahun yang mempunyai masalah kesihatan.

Melihat jam menghampiri pukul 6 petang, kedua-dua mereka tahu bahawa masa mencemburui mereka dalam situasi wabak Covid-19 yang akhirnya membuatkan Avraham dan Zoher berhenti seketika untuk sembahyang.

Mintz menghadap ke  Baitulmaqdis, manakala Zoher menghadap ke Mekah kusyuk dengan solat masing-masing selama 15 minit tanpa gangguan dari sesiapa di sebelah ambulans mereka.

Kedua-dua paramedik sukarela yang bertugas dengan pasukan respons kecemasan Magen David Adom (MDA) itu kadangkala akan bertugas bersama dua atau tiga kali dalam seminggu jadi, bersembahyang dalam waktu yang sama bukan baru bagi mereka.


Aksi kedua-dua ini memberikan satu inspirasi kepada mereka yang melihatnya dan mungkin memberikan satu harapan kepada perbalahan antara Palestin-Israel.

Gambar dua paramedik ini dirakamkan oleh rakan setugas mereka menjadi tular ke seluruh dunia sehingga mendapat pujian dan ribuan 'Likes' di media sosial.

Malah komen seorang pengguna di laman Instagram mengatakan: "Saya berbangga dengan semua petugas penyelamat, tidak kisah dari komuniti atau agama mana mereka datang. (I'm proud of all of the rescue services, it doesn't matter from what community or religion)"

Sementara di Twitter pula, seorang pengguna berkata: "Satu lawan, satu kejayaan, mari kita bersatu. (One fight! One victory! Let's unite)"

Zoher seorang ayah kepada tujuh anak yang menetap di Bedouin city, Rahat ketika ditemuramah CNN berkata, dia meninggalkan kerjaya sebagai jurulatih memandu untuk membantu sesiapa sahaja ketika serangan wabak Covid-19 ini.

"Dari segi kepercayaan dan personaliti, kami percaya pasti ada persamaan antara kami berdua.

"Dia (Avraham) mempunyai sifat belas kasihan dan mampu berkompromi dalam apa juga keadaan selain menghormati kepercayaan masing-masing, itu yang penting.

"Kami bedua perlu berdoa kepada Tuhan agar Dia boleh membantu kita melepasi kesukaran ini sehingga krisis ini dapat diselesaikan," katanya yang berusia 39 tahun.


Anggota Sukarela MDA di seluruh Israel terpaksa melayan sekitar 100,000 panggilan pada hari-hari kemuncak, iaitu 10 kali ganda berbanding pada hari-hari biasa.

Paramedik MDA selain melakukan tugas-tugas paramedik, mereka juga perlu membawa pesakit Covid-19 ke hospital atau ke lokasi kuarantin yang ditetapkan, melakukan ujian saringan Covid-19 dan membawa darah yang diderma ke hospital.

MDA mempunyai sekitar 2,500 petugas sepenuh masa dan 25,000 anggota sukarela ketika krisis Covid-19 ini. - KitaReporters

4
3
0
0
0
You will be interested