Insan & Komuniti 08 Oct, 2021

Neelofa buka Quran Centre! Pertubuhan Kasih Neelofa pula jayakan Program Kasih Prihatin-Maiwp!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this


TERSENYUM lebar pelakon dan pengacara Noor Neelofa Mohd. Noor apabila Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kelolaannya dapat berkolaborasi dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) bagi menjayakan Program Kasih Prihatin-Maiwp, baru-baru ini.

Selaku Pengerusi PKN, Neelofa berkata, beliau terpaksa menunggu sehingga setahun lebih baru berpeluang menganjurkan program berskala besar itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Neelofa

Neelofa dan Haris sering turun padang menjayakan program kebajikan anjuran Pertubuhan Kasih Neelofa.


“Alhamdulillah, selepas setahun lebih, akhirnya Pertubuhan Kasih Neelofa dapat berkolaborasi dengan Maiwp dan juga Yayasan Prihatin untuk satu projek yang agak besar. 

"Ini hanyalah permulaan, kita sasar untuk agihkan 100,000 bakul makanan tapi untuk hari ini sempena pelancaran, kita mulakan dengan PPR Bukit Jalil 2 dengan pengagihan 2,000 bakul makanan kepada mereka yang memerlukan.

“Kita dah buat program begini di beberapa PPR sepanjang Covid-19, sejak awal tahun (2021). Cuma kali ini dengan skala yang agak besar dan network yang lebih berkesan. 

"Kita dapat dana, bantuan dan data siapa yang layak menerima. Alhamdulillah, syukur sangat dan hari ini seperti baru nak warm up, banyak lagi yang akan dilakukan,” katanya yang ditemani suami, Muhammad Haris Mohd. Ismail, sewaktu hadir Program Pengagihan Bakul Kasih Prihatin-Maiwp di PPR Pinggiran Bukit Jalil 2, Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2021.


Sempat berkunjung ke rumah salah seorang penerima bantuan Bakul Kasih Prihatin-Maiwp di Pinggiran Bukit Jalil 2,  Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2021.


Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Idris Ahmad; Pengerusi Maiwp, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar; dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Prihatin, Prof. Emeritus Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar.

Selain menerima sumbangan Bakul Kasih Prihatin-Maiwp, seramai 1,000 orang penerima yang layak telah menerima zakat dari Bank Rakyat

Program ini bertujuan untuk mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat wabak pandemik Covid-19. Selain itu, program ini dilaksanakan bagi menyahut seruan kerajaan dalam mendepani cabaran bersama-sama dan hidup sebagai Keluarga Malaysia yang membantu antara satu sama lain.


Kerjasama strategik antara Pertubuhan Kasih Neelofa, Prihatin-Maiwp (Idris Ahmad, tiga dari kiri) dapat meringankan beban banyak pihak.


Jelas Neelofa, menerusi kerjasama tersebut, pihaknya juga sedang berusaha untuk mewujudkan Quran Centre bagi membantu mereka yang tidak berkemampuan untuk membayar yuran pembelajaran al-Quran.

“Menerusi kerjasama ini juga, kita nak buat Quran Centre dan aplikasi The Noor by Neelofa yang akan dilancarkan di bawah Pertubuhan Kasih Neelofa. Next projek kita sedang dapatkan sokongan untuk buat Quran Centre secara percuma di bandar Kuala Lumpur untuk mereka atau Asnaf yang tidak dapat membayar yuran mengaji, boleh datang untuk dapatkan khidmat pengajian al-Quran.

“Di Quran Centre kita ada 200 orang tenaga pengajar, akan ada bangunan yang bakal disediakan oleh Maiwp. Kita mahu membantu mereka yang mahu mendalami bacaan al-Quran. Apa-apa pun kena daftar dulu untuk kita buat saringan. Sebelum ini kita sudah ada platform mengaji online tapi untuk Quran Centre ini kita bersemuka dengan guru.  

“Alhamdulillah sehingga kini aplikasi The Noor yang diperkenalkan sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan. Menerusi The Noor, bukan saja ada azan, bacaan al-Quran, tunjuk arah kiblat, kita juga ada untuk orang buat wasiat, bayar zakat, pengurup wang, e-commerce dan bersedekah, semua ada. Percuma dan sentiasa ada penambahbaikan,” jelasnya yang sering bergilr dengan suami turun padang setiap kali ada program anjuran PKN. 


Idris Ahmad menghulur sumbangan kepada salah seorang penerima dari PPR Pinggiran Bukit Jalil 2


Sementara itu, Idris Ahmad berkata, Maiwp telah memperuntukkan RM3.5 juta dana bagi inisiatif strategik dan hasil sumbangan itu dilihat mampu menjadi pendorong dan pemangkin semangat bagi penerima sumbangan untuk mendepani cabaran Covid-19.

“Program kebajikan Kasih Prihatin-Maiwp ini dapat diperkasakan dengan penglibatan bersama pucuk pimpinan negara, peranan agensi awam dan sokongan badan swasta dalam mendukung pendekatan whole of society. Saya melihat kerjasama Prihatin-Maiwp ini dapat memastikan keberkesanan program dengan membuat pengagihan sumbangan berdasarkan teknik pencapaian objektif dan memastikan pencapaian semasa akan dipaparkan untuk rujukan semua phak yang terlibat,” katanya. 

Bagi Prof. Emeritus Sahol Hamid pula, pemberian sumbangan Bakul Kasih Prihatin-Maiwp di sekitar Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur yang bermula sejak 16 September 2021 lalu bersempena Hari Malaysia akan berlangsung selama tiga bulan. Dalam tempoh tersebut, sebanyak 35,000 warga kota yang terkesan akibat wabak pandemik dapat dibantu.

“Prihatin melihat hasil hubungan strategik ini mampu diperkasa melalui program yang akan dilaksanakan melalui kerjasama bersama agensi kerajaan mahupun badan pertubuhan bukan kerajaan. Di samping itu, Kasih Prihatin-Maiwp juga boleh memanfaatkan masyarakat yang terkesan dan penerima yang layak,” ujarnya. - KitaReporters


Neelofa tidak akan berhenti menjayakan program kebajikan selagi terdaya.

11
17
0
6
0
You will be interested