Insan & Komuniti 12 Jun, 2023

Penantian 13 tahun! Rumah dah siap sejak 2010! Tapi tak dapat didiami! Tiada bekalan elektrik, air!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

ADUN Bekok, Tan Chong (kanan) dan Pengerusi JPKK Kampung Usaha Jaya, Tasri Talib (dua dari kiri) melihat pelan kawasan lot-lot kediaman yang masih belum terdapat kemudahan asas seperti jalan masuk serta bekalan elektrik dan air terawat. 


Mendiami rumah hasil titik peluh sendiri bersama keluarga tersayang merupakan impian setiap daripada kita, namun hakikatnya tidak semua bernasib baik dan berpeluang untuk menduduki rumah sendiri biar pun usaha ke arah itu telah dilakukan.

Ruslan Ithnin, 58, dari Kampung Usaha Jaya, Labis, Johor antara insan yang kurang bernasib baik kerana terpaksa menangguhkan hasrat untuk menduduki rumah sendiri walaupun rumah tersebut sudah siap dibina sejak tahun 2010 disebabkan tiada kemudahan bekalan air dan elektrik di kawasan tersebut.

"Sepanjang tempoh hampir 13 tahun sejak rumah di bawah Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) itu siap dibina sekitar tahun 2010, pelbagai usaha yang saya lakukan untuk mendapatkan bekalan elektrik dan air terawat bagi membolehkan kami sekeluarga menduduki rumah tersebut berbanding terpaksa menghuni rumah pusaka ketika ini.

"Maklum balas daripada pihak yang menyediakan kemudahan tersebut iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Ranhill SAJ, kedua-dua entiti tersebut tidak dapat melakukan penyambungkan bekalan ke kawasan lot kediaman tersebut disebabkan tiada sebarang kemudahan infrastruktur seperti jalan masuk," katanya ketika ditemui sewaktu menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok yang meninjau permasalahan tersebut pada11 Jun 2023.


Ruslan Ithnin


Rumah Mesra Rakyat (RMR) Ruslan yang telah siap dibina sejak tahun 2010 tetapi tidak dapat diduduki kerana tiada bekalan elektrik dan air terawat.

Menurut Ruslan, dia berasa begitu hairan bagaimana pihak berwajib khususnya kerajaan negeri mahu pun Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) selama ini terlepas pandang untuk menyediakan kemudahan infrastruktur di kawasan yang telah diwartakan sebagai lot kediaman dengan jumlah hampir 80 lot termasuk kawasan yang dirizabkan sebagai rizab jalan serta pembangunan kemudahan lain seperti surau sejak sebelum pembinaan rumahnya.

Sehubungan itu, dia berharap masalah yang dihadapinya serta pemilik lain yang berhasrat untuk membina rumah di kawasan tersebut diberi perhatian oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Zahari Sarip yang juga merupakan ADUN Buluh Kasap.

Ruslan yang bekerja di kilang papan sebelum ini tidak lagi mampu bekerja mencari nafkah menyara keluarga kerana menghidapi penyakit gaut yang teruk sejak 2014 berharap dapat menduduki rumah tersebut dalam masa terdekat kerana sudah terlalu lama menanti tanpa sebarang kepastian sebelum ini.

"Bayangkan apa yang kami sekeluarga rasakan apabila terpaksa membayar ansuran setiap bulan rumah tersebut selama ini tetapi dalam masa yang sama terpaksa tinggal di rumah pusaka peninggalan keluarga yang semakin uzur sedangkan kami mempunyai rumah yang sepatutnya lebih selesa untuk diduduki.

"Saya bimbang rumah tersebut juga akan menjadi rumah 'usang' ketika ia boleh diduduki nanti memandangkan saya sendiri tidak mampu untuk menjaga rumah itu tanpa mendudukinya memandangkan keadaan kesihatan saya yang semakin uzur ketika ini," kata bapa kepada lima anak berusia 17 hingga 29 tahun itu dimana dua daripada anaknya masih belajar itu.



ADUN Bekok, Tan Chong (tengah) menyampaikan sumbangan peribadi kepada Ruslan Ithnin yang tidak mampu bekerja sejak tahun 2014.

Sementara itu, ADUN Bekok, Tan Chong berkata, beliau akan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak berkaitan seperti exco kerajaan negeri dan pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar dengan memberi tumpuan menyelesaikan masalah tiada jalan masuk bagi membolehkan penyambungan bekalan elektrik serta bekalan air terawat ke kawasan tersebut.

"Melalui tinjauan yang saya lakukan bersama pemimpin setempat hari ini (11 Jun 2023) mendapati terdapat keperluan mendesak untuk membina kemudahan infrastruktur di kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan perumahan ini bagi memboleh pemilik membina rumah sendiri selari dengan hasrat kerajaan berhubung pemilikan rumah dalam kalangan rakyat sekali gus mampu menyelesaikan masalah penempatan selain penghijrahan golongan muda ke bandar.

"Saya maklum kos untuk melaksanakan projek ini agak besar, namun saya yakin jika usaha berSungguh-sungguh dilakukan ia tidak mustahil dapat dilaksanakan kerana setiap masalah rakyat tidak boleh dikesampingkan dan perlu diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan tiada golongan tercicir dalam menikmati kemudahan asas yang menjadi hak asasi mereka," katanya sebagai responS terhadap masalah yang dihadapi pemilik lot-lot kediaman tersebut.


Tan Chong (kiri) berbincang dengan Tasri Talib (kanan) bagi mencari jalan terbaik untuk membantu Ruslan mendapatkan bekalan elektrik dan air. 


Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Usaha Jaya, Tasri Talib mengakui telah memanjangkan permohonan untuk mendapatkan peruntukan membina kemudahan asas termasuk jalan masuk ke kawasan lot-lot kediaman yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari kawasan penenpatan utama sedia ada sebelum ini.

"Namun usaha tersebut menemui jalan buntu dan berharap campur tangan ADUN Bekok ini akan mampu membuat pihak-pihak berkaitan mendengar rintihan penduduk yang seakan tidak didengari selama ini.

"Jarak bagi saya bukan satu halangan dan jika projek dilaksanakan secara berperingkat-peringkat pun selama ini, saya percaya masalah ini sudah selesai kerana perlaksanaan projek tidak perlu terhadap usaha pengambilalihan tanah memandangkan rizab kemudahan asas seperti jalan masuk sudah diwartakan," katanya - KitaReporters


Pegawai Majlis Agama Islam menyampaikan sumbangan kepada Ruslan sambil diperhatikan oleh Tasri Talib.

14
8
0
15
0
You will be interested