SEORANG lagi artis tanah air mengadap Illahi. Penyanyi 1980-an, Aman Shah Abu Kassim, menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 2.20 petang, Khamis, 14 September 2022 di Institut Jantung Negara (IJN), akibat serangan jantung pada usia 68 tahun setelah dirawat selama beberapa hari.
Alahyarham telah menjalani pembedahan di IJN semalam (Selasa, 13 September 2022 ) tetapi kemudian ada komplikasi pada jantungnya.
Lagi cerita-cerita sedih berkaitan mereka yang meninggal dunia
Aman yang lahir di Johor Bahru pada 1954, bergelar anak seni sejak 1979 sebaik mengikat kontrak dengan syarikat rakaman EMI pada1979 hingga 1988.
Antara lagu popular ialah ‘Adikku Pandai Menari’, ‘Bungaku’, ‘Cinta Tak Seindah Yang Diucap’, ‘Insan Permata’, ‘Jasa Ayah Dan Ibu’, ‘Kepulangan Yang Dinanti’,‘Mencari’, ‘Musim Cinta’ dan ‘Kepulangan Yang Di Nanti’.
Ketika namanya sedang popular, Aman berkahwin dengan anggota kumpulan duo adik beradik The Queen, Farah Diba Abdul Aziz, namun akhirnya berpisah.
Dalam lakonan pertamanya, Aman diberi peranan penting sebagai Leftenan Ariff dalam filem ‘Darah Satria’ pada 1983. Dia turut berlakon dalam filem popular ‘Azura’. Dia kemudian banyak berlakon dalam drama TV.
Selain berlakon, Aman turut mengarah beberapa drama TV. Dan dalam bidang filem, tugas terakhirnya mengarahkan filem ‘Dato' Ai La Beau’ yang masih belum ditayang.
Selepas 29 tahun setia dengan irama pop, Aman Shah berubah selera kepada ‘grindcore’ dan ‘trash-metal’ ala-ala kumpulan Megadeth dan Slayer.
Aman dijangka mengadakan konsert online tidak lama lagi sebagai satu usaha untuk membuat kemunculan semula.
Sebanyak 11 lagu sudah siap dirakam bersama kumpulan barunya Deathism.
Aman adalah abang kepada Nasser Abu Kassim iaitu bekas pengurus A&R syarikat rakaman WEA dan bekas pegawai kanan Air Asia.
Jenazah Aman selmat dikebumikan di Tanah Perkuburan Alam Damai, Cheras, Selangor. - KitaReporters