Insan & Komuniti 08 Jul, 2025

Video| Jangan cepat menghukum! Dikecam pakai kalung bunga malai masa konvo! Ada kata haram! Betul ke?

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: akmar_mm@yahoo.com

Share this


Malaysia adalah negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum. Walaupun berbilang kaum dan agama, namun secara umumnya rakyat hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Islam adalah agama persekutuan buat Malaysia, dan pada masa sama, masing-masing berhak mengamalkan agama yang dianuti.

Oleh kerana rakyat mempunyai pelbagai anutan, kepercayaan dan budaya, ada beberapa perkara yang sering disalah erti. 

Dalam Islam, apa-apa perbuatan yang menyerupai kepercayaan agama lain adalah dilarang sama sekali terutama berkaitan dengan akidah dan syariat. 

Ini termasuk dalam larangan menyerupai agama lain (tasyabbuh) yang boleh membawa kepada kekufuran atau terkeluar dari Islam.


Bunga malai sering digunakan oleh kaum India sebagai tanda penghormatan dan meraikan tetamu.


Larangan ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.”

Namun, adakah agama dan budaya itu mempunyai maksud atau konsep yang sama? Jawapannya ialah tidak! 

Agama dan budaya adalah dua konsep yang berbeza tetapi sering kali berkait rapat. Agama merujuk kepada kepercayaan dan sistem kepercayaan tentang tuhan atau kuasa tertinggi serta amalan dan ritual yang berkaitan dengannya. 

Manakala budaya adalah cara hidup sesuatu kumpulan masyarakat, termasuk nilai-nilai, norma, adat resam, bahasa, seni, dan kepercayaan yang dikongsi bersama.



Justeru, adakalanya rakyat Malaysia yang beragama Islam terkeliru antara agama dan budaya. Apabila terjadinya begitu, maka mereka mudah menjatuhkan hukum. 

Pantang ada sesuatu yang tidak kena pada pandangan mata, mereka dengan mudahnya meletakkan hukum haram!

Begitulah yang terjadi atas seorang pemuda dikenali Zz atau Zulzakier. Dia berkongsi momen indah ketika menghadiri majlis konvokesyen. Namun momen indah itu sedikit terjejas dengan komen-komen yang diterima daripada netizen.

Dalam video yang dikongsi, kelihatan dirinya menerima kalungan bunga atau dipanggil bunga malai. 

Kalungan bunga malai biasanya dikaitkan dengan budaya dan tradisi masyarakat Hindu, di mana ia digunakan sebagai simbol kesucian, kebersihan, dan penghormatan.



“Tak pelah asal bunga kan,” tulisnya ringkas.

Oleh kerana bunga malai berkait rapat dengan kaum India, maka ramailah netizen yang mula membuat hukum-hakam sendiri. Di sinilah dapat dilihat masih ramai yang tidak dapat membezakan atara agama dan budaya.



“Ini dah kira haram. Bunga itu tradisi orang India,” tulis salah seorang netizen.

Namun, ramai juga netizen yang dapat membezakan antara agama dan budaya.



“Salah ke bertukar-tukar budaya, contoh kalung bunga (malai). Tak nampak pun di mana dosa dan salahnya. 

"Yang penting niat hati sebenar, menghargai dan menghormati budaya orang lain. Saya pun nk beli bunga malai ni nanti untuk konvoi anak saya,” tegas seorang netizen.



Sebenarnya hukum memakai kalung bunga (malai) dalam Islam tidaklah haram secara mutlak, tetapi bergantung kepada niat dan tujuan pemakaiannya. 

Jika dipakai sebagai tanda penghormatan, meraikan tetamu, atau sebagai hiasan semata-mata, ia tidak menjadi masalah. Namun, jika ia dipakai dengan niat menyerupai atau mengamalkan upacara keagamaan lain yang bertentangan dengan Islam, maka ia tidak dibenarkan.

Dalam kes ini, jelas kelihatan dalam video pemuda ini dipakaikan kalung bunga sebagai meraikan kejayaannya di majlis konvokesyen. - KitaReporters


14
11
0
12
0
You will be interested