Insan & Komuniti 29 Jan, 2024

Kini pakaian lama, lusuh dan rosak boleh dikitar semula! Usaha Lipan bantu lestarikan alam sekitar!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Pengurus Felda Chemplak Barat, Wan Muzzami Wan Junus (tengah) menyerahkan bungkusan pakaian yang didermakan oleh penduduk kepada Muhammad Nurzakuan (kanan) sebagai simbolik penutupan Program Kitar Semula Pakaian di Gelanggang Gasing Felda Chemplak Barat, Labis, Johor pada 17 Januari 2024 lalu,


Tidak seperti sisa logam, kertas serta kaca yang sering diberi tumpuan setiap kali penganjuran program kitar semula, sebaliknya sisa fabrik khususnya pakaian lusuh tidak termasuk dalam senarai barangan popular apatah lagi berharga untuk  dikitar semula.

Hakikatnya, sisa fabrik juga merupakan salah satu punca pencemaran alam kerana bahan fabrik pakaian lama yang dibuang dan dibawa ke pusat pelupusan sampah memerlukan tempoh yang agak lama untuk mereput.

Menyedari hakikat tersebut, Lipan Integrated Recyling Technologies (Lipan) yang pusat operasinya di Skudai, Johor mengorak langkah menganjurkan Program Kitar Semula Pakaian bagi membantu orang ramai yang berdepan masalah untuk melupuskan pakaian lusuh.

Pegawai Operasi Lipan Daerah Segamat, Muhammad Nurzakuan Ahmad Khairan berkata, Lipan memulakan operasi pada tahun 2019 berpusat di Skudai, Johor sebagai entiti tidak berasas kepada keuntungan yang memberi tumpuan terhadap pengumpulan sisa fabrik khususnya pakaian lama daripada orang ramai.

Muhammad Nurzakuan Ahmad Khairan (kiri) menyusun bungkusan pakaian yang didermakan penduduk ketika Program Kitar Semula Pakaian di Balai Islam, Masjid Pekan Ayer Panas, Labis, Johor.


"Pihak kami menerima semua sisa fabrik termasuk pakaian rosak, lusuh dan langsir yang tidak lagi digunakan kecuali pakaian basah untuk tujuan dikitar semula. 

"Kami akan mengasingkan pakaian yang diterima kepada beberapa kategori di mana pakaian yang masih dalam keadaan baik dan boleh dipakai semula kami akan serahkan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan termasuk mangsa bencana seperti mangsa banjir dan golongan kurang berkemampuan," katanya ketika Program Kitar Semula Pakaian di Balai Islam, Masjid Pekan Ayer Panas, Labis, Johor.

Menurutnya, pakaian rosak atau lusuh yang tidak boleh digunakan pula akan diproses untuk menghasilkan cloth fiber (fiber fabrik) yang boleh digunakan dalam pelbagai industri lain termasuk pembuatan kusyen dan tilam sebagai ganti kepada kapas serta kekabu yang semakin berkurangan selain harga pasaran yang tinggi.

Muhammad Nurzakuan menerima bungkusan pakaian terpakai daripada Pengerusi Masjid Nurul Hidayah, Felda Chemplak, Mazlan Sidi (kiri) ketika program Kitar Semula Pakaian di Felda Chemplak, Labis, johor.


Katanya, program kali ini bermula 26 hingga 31 Januari 2024 yang diadakan di Masjid Jamek Labis dan Balai Islam, Masjid Pekan Ayer Panas, Labis merupakan penganjuran kali kedua di daerah Segamat pada tahun ini (2024) di mana program pertama diadakan di Masjid Felda Chemplak dan Gelanggang Gasing Felda Chemplak Barat selama lima hari pada pertengahan Januari 2024 lalu. 

"Awal Januari (2024) lalu kami menganjurkan program serupa di Masjid Felda Chemplak dan Gelanggang  Gasing Felda Chemplak Barat dan sambutan orang ramai begitu menggalakkan di mana kami berjaya mengumpul hampir 5,000 kilogram pakaian lama.

"Berdasarkan pengalaman kami sebelum ini, hanya sekitar 20 peratus sahaja pakaian yang dikumpul daripada orang ramai masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan semula," katanya.

Tambahnya lagi, pakaian yang masih dalam keadaan baik selalunya akan diserahkan kepada lebih 30 NGO di seluruh Johor yang bekerjasama dengan pihaknya untuk diagih semula kepada golongan memerlukan.

Sementara pakaian rosak pula akan diproses menjadi cloth fiber untuk dijual semula kepada industri yang memerlukan bahan tersebut di mana hasil jualan akan digunakan untuk kos operasi serta disumbangkan kembali kepada badan komuniti setempat di lokasi penganjuran program.

Sebahagian pakaian terpakai yang didermakan oleh penduduk Felda Chemplak Barat, Labis, Johor.


Menurutnya, program seumpama setakat ini dianjurkan secara aktif di negeri Johor, Perak serta Kelantan dan pihaknya dalam perancangan untuk menganjurkan program seumpama di seluruh negara dalam tempoh terdekat ini.

"Walaupun program ini telah bermula sejak tahun 2019, namun di daerah Segamat hanya bermula pada tahun 2024 atas beberapa faktor termasuk perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan pergerakan kami.

"Di negeri Johor, kami menempatkan seorang pegawai operasi di setiap daerah dan mana-mana pihak yang ingin menjalin kerjasama dengan kami untuk menganjurkan program kitar semula pakaian lama atau sisa fabrik boleh melayari laman sesawang www.mylipan.com atau menghubungi talian 019-3695823 untuk mendapatkan keterangan lanjut," katanya. -KitaReporters


Pakai terpakai yang disumbangkan orang ramai ketika Program Taklimat Bersama Pelajar Tingkatan Enam, SMK Dato' Penggawa Timur. Masai, Johor dipunggah ke dalam lori untuk dibawa ke stor di Skudai, Johor.


Antara pelajar Tingkatan Enam SMK Dato' Penggawa Timur, Masai, Johor yang menyertai program taklimat dan Kempen Pengurangan Sisa Fabrik di sekolah tersebut.

14
12
0
16
0
You will be interested