Insan & Komuniti 30 Aug, 2024

Terima kasih Pos Malaysia! UPSI hargai misi hantar pulang barangan arwah Nur Farah Kartini ke Sarawak!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


BERSIMPATI dan prihatin dengan tragedi kematian pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, pada Julai 2024 lalu, Pos Malaysia menjayakan misi kemanusiaannya untuk membawa pulang barangan milik arwah ke kampungnya di Sarawak.

Dalam satu majlis ringkas penyerahan barangan Allahyarham di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Pengurus Besar Negeri, Pos Malaysia Negeri Perak, Noorzuriha Haron Noh Rashid melahirkan rasa sedih dengan apa yang berlaku kepada graduan UPSI itu. 

Justeru, katanya, Pos Malaysia berusaha untuk membawa pulang barangan Allahyarham dan proses digerakkan terus ke Shah Alam seterusnya dijangka sampai di rumah ibunya, Siti Salmah Abdullah di Kampung Lereng Bukit, Miri, Sarawak pada 3 September 2024.



“Bagi Pos Malaysia, kami bersimpati dengan nasib yang menimpa Allahyarham dan keluarganya. Justeru, ini adalah sumbangan kemanusiaan Pos Malaysia buat keluarga Allahyarham,” ujarnya.  

Satu majlis ringkas penyerahan barangan Allahyarham berupa pakaian, bag, buku dan pelbagai barangan peribadi berlangsung di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, pada 29 Ogos 2024.

Turut hadir sama Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman dan Dekan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Prof Madya Dr Maizatul Hayati Mohamad Yatim.

Alahyarham adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) dengan Kepujian UPSI dan bekerja di bahagian pemasaran digital sebuah kedai percetakan di Tanjung Malim, Perak.


 

Prof Md Amin Md Taff berbual dengan Noorzuriha (dua dari kiri) sebelum menyerahkan barangan milik Allahyarham Nur Farah Kartini kepada kakitangan Pos Malaysia.


Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff yang terharu dengan keprihatinan pihak Pos Malaysia itu menganggap usaha murni berkenaan sebagai satu rahmat dan mencerminkan nilai kasih sayang rakyat Malaysia. 

“Pemergian Allahyarham mengundang simpati dan kasih sayang pelbagai pihak di seluruh Malaysia sehingga jenazahnya dibawa ke Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang untuk dikebumikan,” katanya.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Pos Malaysia yang menggerakkan misi ihsan itu dan sudi membantu membawa pulang ke pangkuan keluarga barangan peribadi milik Allahyarham.

Menurutnya, UPSI sendiri berusaha menanamkan nilai-nilai kasih sayang dan mementingkan kebajikan pelajar dan kakitangan tanpa mengira pangkat untuk dibantu sekiranya ditimpa musibah.  

Minggu lalu, Prof Md Amin ketika menghadiri Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak meluangkan masa bertemu ibu dan keluarga Allahyarham di kampungnya. 

“Saya sendiri sukar menahan sebak sewaktu ketika ibu Allahyarham yang dilihat tenang dan reda dengan pemergian Allahyarham,” katanya lagi. - KitaReporters


 

Noorzuriha (lima dari kiri) menerima barangan milik Allahyarham Nur Farah Kartini daripada Prof Md Amin di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah untuk diuruskan penghantaran pulang ke Kampung Lereng Bukit, Miri, Sarawak. 

___________________________

13
8
0
15
0
You will be interested