Insan & Komuniti 10 Sep, 2024

Video| Walao wei! Gadis Indonesia fasih cakap utara! Orang Malaysia pula tak pandai cakap Melayu!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Isu rakyat Malaysia tidak pandai berbahasa Melayu (kebangsaan) sudah lama menjadi isu. 

Bayangkan, lahir, membesar, bersekolah dan bekerja di Malaysia tetapi tidak pandai berbahasa kebangsaan! Tidakkah ia sesuatu yang pelik dan memalukan? 

Lebih memalukan, warga asing yang datang bekerja di Malaysia pun fasih berbahasa Melayu walaupun baru tiga bulan menetap di Malaysia. Contohnya, pekerja dari Bangladesh.

Itu belum lagi warga asing yang pandai berbahasa Melayu dengan dialek negeri seperti penyampai radio Molek FM, Mat Dan yang terkenal dengan loghat Terengganunya. Padahal dia mat saleh yang datang melancong ke Malaysia pada mulanya sebelum berkahwin dan bekerja di sini.



Justeru, jangan jadikan alasan tidak pandai berbahasa Melayu kerana itu bukan bahasa ibunda. Sebagai rakyat Malaysia, wajib pandai bertutur dalam bahasa kebangsaan. 

Jangan nanti, apabila berurusan dengan pejabat atau perkhidmatan milik kerajaan dan tidak dilayan seperti yang sepatutnya, anda mengamuk dan tidak puas hati. Padahal salah sendiri sebab tidak pandai berbahasa Melayu.

Cuba lihat perkongsian seorang pengguna TikTok dari Indonesia yang dikenali sebagai Queen Vie yang begitu fasih berbahasa Melayu dengan loghat utara. 

Ya, sememangnya bahasa Melayu dan Indonesia tidak jauh beza terutama yang tinggal di kepulauan Sumatera. Namun, tidak ramai orang Indonesia yang mampu bertutur dalam dialek Melayu Malaysia apatah lagi loghat negeri-negeri yang ada di Malaysia.



Namun, bakat serta kebolehan yang ada pada Queen Vie ini sangat mengagumkan sehingga memuatkan netizen dari Malaysia kagum. 

Kebolehannya bercakap dalam bahasa Melayu loghat utara sedikitpun tidak canggung. Malah, kalau tidak diberitahu, pasti ramai menyangka dia rakyat Malaysia.

Menurut Queen Vie, ramai yang tidak percaya dia orang Indonesia. Tegasnya lagi, dia lahir dan membesar di Indonesia dan sememangnya warga Indonesia. 

“Contohlah kalau aku jadi orang Malaysia, tiap-tiap hari aku makan nasi kandar dan makanan-makanan yang lain sebab aku dah rindu gila nak makan kat Malaysia. Aku betul-betul orang Indonesia. Aku boleh cakap tapi tidaklah sefasih mana yang kau orang harap,” jelasnya.


Queen Vie menunjukkan pasportnya sebagai bukti dia orang Indonesia.


Sementara itu, ada juga segelintir netizen seakan-akan tidak percaya walaupun telah diberi penjelasan. Ini jelas menunjukkan dialek Melayu terutama loghat utara semenanjung Malaysia yang dituturkannya itu benar-benar fasih.

“Macam tak percayalah,” tulis salah seorang netizen.



Sementara itu, ada juga yang bertanya di manakah Queen Vie belajar cakap Melayu loghat utara semenanjung Malaysia. Ia dijawab oleh seorang netizen yang pernah mendengar penjelasan Queen Vie tentang hal tersebut. 

“Dia pernah cerita, dia rajin tengok drama, filem dan kartun Melayu. Kemudian dia juga suka tengok cerita anak mami, cerita orang utara,” jawab salah seorang netizen.


 


Oleh kerana ramai yang ragu-ragu dan tidak percaya, Queen Vie telah memuat naik beberapa video yang membuktikan dia adalah orang Indonesia. Malah, ada video menunjukkan dia mempamerkan kad pengenalan dan pasport Indonesia sebagai bukti. - KitaReporters


16
11
0
16
0
You will be interested