Insan & Komuniti 06 Jul, 2024

Video| Tangan goncang buaian, bisa juga tangkap ular sawa! Itulah kehebatan anggota wirawati JPAM!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this


Empat anggota wanita JPAM berjaya menangkap ular sawa.


Wanita memang hebat, selain menjadi ibu, isteri, anak dan pelbagai tugas yang disandang dan digalas, mereka tetap sabar dan komited terhadap tugas yang mereka lakukan. Benarlah kata pepatah, tangan yang menghayun buaian dapat menggoncang dunia.

Secara fitrah wanita mempunyai sifat yang lemah lembut dan ada antaranya takut berhadapan dengan hidupan liar seperti ular, buaya, biawak dan lain-lain lagi.

Namun bagi wanita-wanita dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mereka adalah wirawati yang sama pentingnya dengan anggota JPAM lelaki. Tugas mereka juga sama mencabar dan mereka tetap memikul tanggungjawab yang sama seperti anggota JPAM lelaki yang lain. 

Terkini, sebuah rumah di TTDI Jaya, Shah Alam,  dimasuki ular sawa sepanjang 7 hingga 8 kaki, berat lebih kurang 40 kilo. Ular berkenaan dapat ditangkap oleh empat anggota wanita JPAM yang ditugaskan menyelesaikan masalah berkenaan. 


Ular yang melingkar dibawah sangkar kucing.



Menurut Shamsiah Ariffin, rumahnya dimasuki ular sawa pagi Jumaat, 5 Julai 2024 kira kira jam 7 pagi. Kehadiran ular sawa itu disedari pembantu rumahnya ketika mahu membersihkan sangkar kucing. 

Kelihatan ular sawa yang agak besar melingkar di bawah sangkar kucing dan beberapa kucing sedang dalam ketakutan. Anak perempuan Shamsiah sempat membawa keluar seekor kucingnya dan cedera pada tangan kerana terkena jaring besi pada sangkar berkenaan. 

Dalam keadaan yang takut dan risau, beliau menyuruh menantu lelakinya menelefon 999 untuk mendapatkan bantuan menangkap ular berkenaan. Setengah jam kemudian pihak JPAM datang dan beliau terperanjat kerana semua anggota JPAM yang datang adalah wanita seramai 4 orang. 

Apapun Shamsiah rasa bersyukur dan kagum dengan kehebatan wanita-wanita daripada JPAM ini yang sangat tenang menjalankan tugas menangkap ular berkenaan dengan cara yang lemah lembut tetapi cekap dan sangat berkesan dengan tenaga mereka yang nampak kuat. 

Dalam masa 20 minit sahaja tugas menangkap ular berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik oleh anggota wanita JPAM yang sangat cekap menjalankan tugas itu.


Shamsiah Ariffin.


Shamsiah ingin mengucapkan ribuan terima kasih pada pihak JPAM yang cepat bertindak menangkap ular sawa berkenaan. 

Beliau juga  mengucapkan syabas kepada empat anggota wanita JPAM yang sangat pantas menjalankan tugas menangkap ular sawa di rumahnya itu. 

Semoga anggota JPAM sentiasa dalam keadaan selamat dan dapat berkhidmat dengan cemerlang untuk membantu masyarakat yang menghadapi apa juga masalah dan musibah yang  kecil mahupun yang besar. - KitaReporters




Hebat, dan sangat berani anggota wanita JPAM ini 

13
9
0
16
0
You will be interested