Konvensyen Kebajikan Negeri Selangor yang bertemakan ‘Revolusi Penjagaan Untuk Kesejahteraan Sejagat’ yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Seksyen 15, Shah Alam, Selangor merupakan sandaran dalam memperkukuh ekosistem kebajikan negeri.

Perwakilan pelbagai agensi kerajaan, NGO dan wakil masyarakat mendaftar sebelum bermula konvensyen berkenaan.
Program
berkenaan menghimpunkan perwakilan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) serta wakil masyarakat bagi membincangkan pendekatan atau
formula baharu dalam memastikan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh, yang diadakan pada 7 Oktober 2025.
Konvensyen itu
secara tidak langsung juga menyediakan peluang untuk berbincang masa depan sistem
kebajikan dan penjagaan di Selangor, bagaimana dasar serta inovasi boleh
digerakkan untuk memastikan tiada kelompok masyarakat yang tercicir daripada
arus pembangunan sosial.
Sebelum melakukan majlis perasmian konvensyen berkenaan, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, dalam sesi libat urus, beliau menjelaskan kerajaan negeri sudah merangka satu dasar dalam usaha memartabatkan mereka yang terbabit dalam tugas mengurus dan penjagaan rumah kebajikan.

Anfaal Saari menjadi tumpuan perwakilan untuk beramah mesra pada konvensyen itu sambil diiringi Azmir Kassim.
Tambahnya,
hal itu demikian kerana mereka yang melakukan tugas penjagaan warga emas dan
sebagainya itu adalah diibaratkan barisan hadapan dalam menjayakan tugas sosial
malah usaha turut dilakukan bagi memberi kursus penjagaan kepada mereka yang
bertugas di pusat berkenaan.
Jelasnya,
dengan diberikan kursus berkenaan bukan sahaja dapat mengubah gaji mereka juga
akan menghasilkan pelaksanaan tugas yang berkualiti, sekali gus memberi gambaran
sebenar tugas penjagaan dilakukan supaya dapat mengelak salah faham.
Menurutnya,
di samping itu seperti difahamkan Perbadanan Wakaf Selangor akan melaksanakan
wakaf tunai kepada pusat jagaan yang memenuhi kriteria dicadangkan dalam usaha
meringankan bebanan operasi dan sebagainya.
“Dengan kerjasama pelbagai agensi, NGO, wakil masyarakat kerajaan negeri yakin usaha yang akan dilaksanakan itu dapat membantu meningkatkan ekosistem kebajikan, kredibiliti serta kualiti khusus pusat jagaan membela nasib warga emas.
“Beberapa cadangan yang disuarakan perwakilan dalam konvensyen ini seperti penyelesaian bayaran elaun akan dibincangkan bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya nasib warga emas dapat terus disantuni dan dibela dengan sebaiknya,” ujar beliau.

Gerai produk makanan hasilan pelbagai NGO turut menjadi tumpuan perwakilan pada waktu rehat konvensyen.
Pengarah JKM Negeri Selangor, Azmir Kassim, pula berkata konvensyen itu juga membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh sistem kebajikan yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berperikemanusiaan.
Tambahnya, perkara
itu menekankan keperluan perubahan menyeluruh kepada pendekatan penjagaan iaitu
daripada model tradisional kepada pendekatan berasaskan komuniti, teknologi dan
kolaboratif banyak pihak.
“Ia juga menonjolkan komitmen tinggi dan sikap mengambil berat kerajaan negeri dalam memperkukuhkan gerak kerja kebajikan sebagaimana menjadi hasrat Kerajaan Madani,” katanya.

Muhammad Syafiq Mohiadin mewakili Pakar pada Sesi Perkongsian: Pemain digital yang berintergriti pada era media sosial yang menarik perhatian perwakilan.
Pada
konvensyen itu beberapa tetamu dijemput khas berkongsi pengalaman dan maklumat
yang bermanfaat membabitkan topik antaranya Sesi Inspirasi: Memperkasa tadbir
urus untuk kemandirian yang lestari disampaikan oleh Pengerusi Pusat Pemilihan
Dalam Komuniti (PPDK) Damansara Damia, Izhar Moslim; Wacana Integriti:
Pemerkasaan NGO – Membangun amanah kewangan lestari dan tadbir urus berkesan
dengan tiga ahli panel iaitu wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM), Ahmad Syamil Ahmad Shuhaimi, Group Executive Chairman Woodrose Senior
Residence, Abdul Rashid Bernard Lawrance dan wakil Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP), Mohd Yazid Ramli untuk slot pada sebelah pagi.
Manakala pada sebelah petang pula, Sesi Perkongsian: Perkhidmatan alternative service delivery (ASD); Isu dan cabaran ASD dalam penjagaan warga emas disampaikan oleh Pengasas Restu Villa Care & NGO Pelaksana ASD RSK Seri Iskandar, Dr Nurhaniza Hamiri; dan Sesi Perkongsian: Pemain digital yang berintergriti pada era media sosial bersama Penolong Setiusaha Kehormat Pertubuhan Gabungan Rumah Kebajikan Negeri Selangor (Pakar), Muhammad Syafiq Mohiadin.

Perwakilan memberi tumpuan dalam Sesi Libat Urus bersama Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari.
Sementara itu, Muhammad Syafiq, berkata konvensyen berkenaan membuktikan JKM sudah bergerak ke depan malah semakin cakna dalam mengambil tahu mengenai dunia digital sebagai platform untuk urusan kebajikan serta mengambil peluang menggunakan digital untuk meningkatkan pusat jagaan di Selangor.
Menurutnya,
dia turut berasa berbangga JKM mengiktiraf idea menggunakan dunia digital yang
dikongsikan beliau pada konvensyen berkenaan untuk dibawa ke dalam industri kebajikan
kerana sebaran maklumat menerusi media sosial lebih meluas.
“Saya juga amat
menghargai penghargaan diberikan kepada Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM)
untuk menjadi contoh serta sumber rujukan dunia digital dalam bahagian media
sosial disamping berharap kerajaan khusus JKM dapat mewujudkan geran digital bagi
pusat jagaan bergerak aktif dalam platform itu.
“Saya juga ingin mengingatkan mengenai etika dalam dunia digital ini menjadi perkara pokok serta amat penting diberi perhatian kepada semua pengguna media sosial terutamanya kerana sudah banyak penipu atau pengelat wujud dalam indusrtri kebajikan yang mengelirukan masyarakat bagi kepentingan peribadi,” tegasnya yang juga Setiausaha PJMM.

Gerai pelbagai agensi kerajaan turut menarik perhatian perwakilan untuk mendapat maklumat terkini.
Pengurus
Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang Selangor, Kairul Ahmad, berkata melalui sesi
pembentangan dan forum yang dijalankan, peserta memperoleh pengetahuan baharu
berkaitan isu serta cabaran semasa dalam sektor ekonomi penjagaan (care
economy) di Malaysia.
Tambahnya, penceramah
daripada pelbagai latar belakang profesional turut berkongsi pandangan dan
pengalaman yang mereka lalui membuka ruang kepada pemikiran dan idea baharu
dalam meningkatkan mutu perkhidmatan penjagaan warga emas.
Menurutnya, melalui sesi perbincangan panel dan perkongsian pengalaman, peserta juga berpeluang untuk membangunkan rangkaian (networking) profesional dengan individu dan organisasi yang terbabit secara langsung dalam bidang kebajikan, penjagaan warga emas, serta pembangunan komuniti kerana jaringan itu amat berguna untuk kerjasama strategik dan pelaksanaan program sosial pada masa akan datang.
“Secara keseluruhannya, penyertaan dalam konvensyen ini telah memberikan pendedahan yang luas, inspirasi baharu dan motivasi kepada peserta untuk terus komited dalam memperkukuh sistem penjagaan yang lebih inklusif, berintegriti dan berdaya tahan demi kesejahteraan masyarakat,” ujarnya. - KitaReporters

Anfaal dan Azmir (kanan) merakamkan kenangan bersama-sama Pengerusi dan Penasihat PJMM, Azman Rasman serta Mohiadin Bahado.