Insan & Komuniti 22 Oct, 2025

Jadi Bandar Selamat! Polis, bomba, majlis daerah, AJK masjid turun padang! Buat gotong royong bersama!

Share this

Walaupun sibuk dengan tugas menjaga ketenteraman awam pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap turut serta bersama masyarakat dalam aktiviti mendekatkan diri dengan komuniti.


Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) turut bersama turun padang menjayakan gotong royong Bandar Selamat Daerah Perak Tengah.

Begitu juga dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bukan sahaja tertumpu pada usaha  memadam kebakaran tetapi juga turun padang dalam aktiviti sosial membantu masyarakat setempat.

Manakala konsep Bandar Selamat yang begitu popular kini sudah sememangnya menjadi idaman semua golongan masyarakat.

Apalagi sekiranya ia turut menjadi prioriti pihak polis sejajar dengan slogan 'Polis dan masyarakat berpisah tiada'.


Semak samun menjadi keutamaan yang perlu dibersihkan.
Ruang terbiar turut diberi perhatian agar ia tidak menyakitkan mata memandang.

Bagi merealisasikan aspirasi ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dengan kerjasama Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT), JBPM Seri Iskandar serta agensi kerajaan yang lain telah mengambil inisiatif mengadakan program gotong royong pada 18 Oktober 2025 di Astaka Taman Lakeville, Bandar Seri Iskandar, Perak.

Program awal pagi tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga keselamatan serta kebersihan kawasan kediaman dan ruang awam.

Inisiatif turut diambil dengan membersihkan kawasan terbiar, sampah sarap, semak samun, perparitan dan kawasan sekitar.


PDRM siap sedia menggembeling tenaga agar gotong royong yang dilaksanakan mencapai matlamat Bandar Selamat.

Program yang dirasmikan oleh Yang Dipertua (YDP) MDPT, Zarina Noordin bukan sahaja mampu memperkukuh lagi hubungan antara PDRM dan masyarakat, malah memperlihat komitmen bersama dalam menjayakan konsep Bandar Selamat yang dipraktikkan selama ini.

Selain Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah,  DSP Aizuddin Jamaludin serta Pegawai Bomba Kanan, JBPM Seri Iskandar, Suhardy Fazly Yahaya, turut hadir membersihkan kawasan terbabit ialah pegawai kanan dan rendah polis, jawatankuasa Masjid Bandar Universiti serta komuniti setempat. - KitaReporters


Kawasan parit dan longkang juga menjadi lokasi yang senantiasa diberi perhatian.
Tumbuhan liar dan ranting pokok yang kelihatan merbahaya dan mengancam keselamatan awam segera dicantas.

24
14
0
12
0
You will be interested