Insan & Komuniti 18 Dec, 2025

Semua percuma! Dari but kereta ke tangan penerima! Free Market BBBC berjaya tarik ribuan pengunjung!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

LEBIH 1,000 pengunjung menyerbu program Free Market Bandar Baru Bangi Community (BBBC) - Back To School & Raya seawal jam 7.30 pagi walaupun acara itu hanya bermula jam 8 pagi hingga 11 pagi di tempat letak kereta Open University Malaysia (OUM), Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 14 Disember lalu.



Program berkonsepkan perkongsian komuniti itu menyaksikan penduduk setempat membawa pelbagai barangan termasuk pakaian harian, pakaian sekolah, kasut serta makanan dan minuman sehingga semuanya habis diagihkan secara percuma kepada pengunjung.

Penyelaras Program Free Market BBBC, Kelana Putra Muhamad, berkata penganjur hanya menyediakan tapak parkir bagi membolehkan penyumbang mempamerkan barangan mereka di but kenderaan tanpa sebarang urusan jual beli.



Kelana Putra Muhamad (dua dari kiri) dan Sukarelawan BBBC bergambar kenangan bersama Ahmad Yani (tiga dari kiri) selepas perasmian Free Market BBBC - Back To School & Raya.


“Tiada konsep ‘drop off’, tiada jual beli, semuanya percuma. Pengunjung hanya perlu memberi salam kepada penyumbang sebelum mengambil barangan yang diperlukan.

“Namun, syaratnya barangan yang diambil bukan untuk dijual semula, sebaliknya digunakan sendiri,” katanya ketika ditemui di.Free Market BBBC - Back To School & Raya.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Ahli Majlis Zon 16 MPKj, Bukhari Bachok serta sukarelawan BBBC dan dirasmikan oleh Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Yani Ahmad Aziz.



Anak-anak membantu keluarga mereka mempamerkan pakaian dan mainan untuk diberikan secara percuma kepada orang ramai.


Menurutnya, sambutan luar biasa itu membuktikan komuniti Bandar Baru Bangi sememangnya terkenal dengan sikap pemurah dan suka berkongsi rezeki.

“Free Market kali ini memang meriah. Kebanyakan pengunjung datang dari sekitar Bandar Baru Bangi. Mereka bukan saja menyumbang pakaian dan kasut sekolah, malah makanan serta minuman percuma.

“Komuniti Bangi ini bukan sekadar pemurah, tetapi terlalu pemurah. Jika ada kesusahan, mereka spontan bergerak membantu. Itu memang budaya di sini,” katanya lagi.



Sandwich diberikan percuma kepada pengunjung yang hadir di Free Market BBBC - Back To School & Raya.


Beliau berkata, penganjuran Free Market itu bertujuan membantu sesiapa sahaja termasuk golongan B40 serta individu terjejas, di samping menggalakkan budaya memberi, semangat komuniti dan mengurangkan pembaziran.

“Kami mahu meringankan beban golongan memerlukan, menggalakkan budaya berkongsi serta memupuk empati dan tanggungjawab sosial dalam masyarakat.

“Menerusi Free Market, orang ramai menyumbang barangan masih elok seperti pakaian, kasut, mainan, buku dan makanan kering, manakala penerima boleh mengambilnya secara percuma,” katanya.



Walaupun sedikit, ramai penyumbang tetap mahu mengambil bahagian bagi memberi barangan mereka secara percuma kepada orang ramai.


Menurutnya, kira-kira 30 kenderaan membuka bonet masing-masing dengan pelbagai barangan termasuk baju, kasut, beg serta pinggan mangkuk, dan semuanya habis diagihkan kepada pengunjung.

Mengulas perancangan seterusnya, Kelana Putra berkata sukarelawan BBBC merancang menganjurkan Free Market Ramadan-Raya pada 8 Februari 2025 sempena ketibaan bulan Ramadan.

“Ini hasil perbincangan bersama pasukan saya termasuk Khansa’ Zulkiflee dan Rashdan Rohani. Insya-Allah penganjuran akan lebih teratur dan kami berharap lebih ramai pihak menyertai supaya impaknya lebih besar.

“Terima kasih kepada penduduk Bandar Baru Bangi, OUM, penaja, peniaga, MPKj, Ahli Majlis Zon 16 serta semua pihak yang terbabit. Jumpa lagi pada 8 Februari nanti, insya-Allah,” katanya.



Komuniti Bangi ini bukan sekadar pemurah, tetapi terlalu pemurah. Jika ada kesusahan, mereka spontan bergerak membantu.

17
13
0
12
0
You will be interested