Insan & Komuniti 15 Jan, 2024

Video| Terbaiklah BADIM, Mahmudah! Mangsa banjir Tumpat dapat bantuan! Terima barangan, sumbangan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


BADAN Didikan Islam (BADIM), UDA Holdings Berhad (UDA) menyambut baik saranan Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd Annuar Zaini supaya mengutamakan bantuan amal dan kerja-kerja kebajikan dalam negara kepada mereka yang masih susah serta memerlukan pembelaan termasuklah selepas ditimpa musibah dan sebagainya.

Timbalan Yang Dipertuanya, Azhar Yop, berkata BADIM ambil peduli saranan Mohd Annuar itu dan akan memastikan gerak kerja amal serta kebajikan yang disusun nanti tidak mengabaikan mereka dalam negara walaupun perkara berkenaan sentiasa diberi perhatian dan sudah dilakukan sebelum ini. 


Seorang mangsa banjir menerima sumbangan barangan makanan keperluan asas berserta wang sagu hati dan zakat wakalah daripada BADIM.


Menurutnya, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), BADIM sentiasa istiqomah dalam kerja amal dan kebajikan seperti menyalurkan bantuan mengikut kemampuan bagi memastikan amanah dalam mengagihkan sumbangan dan infak pelbagai pihak.

Tambahnya, saranan Mohd Annuar itu juga merupakan perangsang kepada semua ahli BADIM juntuk terus aktif membantu rakyat Malaysia khususnya yang ditimpa kesusahan terutama menjadi mangsa bencana alam seperti banjir setiap tahun.

“Dalam mengaktifkan kerja amal dan kebajikan inj BADIM akan terus meningkatkan kerjasama dengan pelbagai NGO lain untuk bersama turun kelapangan di seluruh negara bagi membantu rakyat atau mereka disatu-satu kawasan ditimpa musibah,” katanya pada majlis penyerahkan sumbangan Misi Bantuan Banjir 2024 kelolaan Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM), di Kampung Kajang Sebidang, Tumpat, Kelantan pada 8 Januari 2024.

Turut hadir pada majlis yang berlangsung di Kompleks Yayasan Pembangunan Ummah (YPU) itu ialah Pengarah YPU, Hoesni Husain; Pengerusi PKMM, Azman Rasman; Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor, Mohiadin Bahado; Pengerusi Kelab Usahawan Ikhtiar Tumpat, Che Noridawati Mahmud Kamaruddin; sukarelawan BADIM, Zainol Khalid; sukarelawan Sahabat Prihatin; dan sukarelawan hospital sekitar Selangor.


Pelajar tahfiz turut menerima sumbangan naskhah al-Quran dan wang sagu hati di samping pelbagai barangan untuk kegunaan harian.


Pada majlis yang mendapat kerjasama KKT itu, BADIM mengagihkan zakat wakalah kepada 30 mangsa banjir, naskhah al-Quran, telekung, cadar, kain pelikat, barangan makanan keperluan asas, pakaian terpakai dan wang sagu hati turut disumbangkan hasil infak pelbagai pihak kepada PKMM serta Persatuan Kebajikan Syumul (PERKAS). 

Turut menerima bantuan itu ialah 20 pelajar Maahad Tahfiz Al Quran Ar Raudhah YPU dan 20 warga emas yang mengikuti kelas pengajian al-Quran di tahfiz itu.

Azhar berkata, sejak beberapa tahun lalu BADIM berjaya mengumpul dana untuk pembinaan masjid di daerah Narathiwat, di Selatan Thailand di samping menginfak al-Quran, barangan makanan keperluan asas untuk keluarga fakir miskin dan mengagihkan zakat wakalah.

“Di Kemboja pula, BADIM mengadakan program ibadat korban dan aqiqah di samping menyalurkan bantuan barangan dapur untuk penduduk Islam serta pam air termasuk di kampung di Nepal,” ujarnya.


Sukarelawan bergambar bersama-sama pelajar tahfiz selepas mengagihkan sumbangan barangan makanan keperluan asas dan sebagainya kepada mangsa banjir pada Misi Bantuan Banjir 2024 kelolaan Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM) di Kompleks Yayasan Pembangunan Ummah (YPU), Kampung Kajang Sebidang, Tumpat, Kelantan pada 8 Januari 2024. 


Pada majlis itu juga, Hoesni menzahirkan rasa terharu kerana dikunjung pelbagai NGO dalam misi bantuan banjir bagi menghulurkan sumbangan yang tidak diduga sama sekali kerana usaha itu memberi banyak manfaat kepada mangsa banjir dan juga pelajar tahfiz.

Beliau berharap, usaha itu terus menjadi kolaborasi terbaik antara NGO dan YPU yang sentiasa mengharapkan bantuan daripada pelbagai pihak khususnya bagi meringankan bebanan pelajar tahfiz yang rata-rata adalah anak yatim piatu.

“Mereka ini gigih mendalami bidang pengajian agama dan al-Quran serta meneruskan pengajian di sekolah berdekatan supaya turut cemerlang dalam akademik untuk menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, misi bantuan banjir itu bukanlah kali pertama malah PKMM sudah mengadakan pelbagai program membantu mangsa banjir di Terengganu, Kelantan, Johor dan Selangor hasil sokongan dan infak orang ramai serta pelbagai pihak.

Menurutnya, bantuan itu walaupun tidak seberapa namun diharapkan dapat meringankan bebanan mangsa banjir meneruskan kehidupan selepas mengalami kesusahan apabila rumah digenangi air banjir selama beberapa hari.

“PKMM dan penginfak juga mahukan pelajar tahfiz serta warga emas yang mengikuti pengajian agama terus bersemangat dan tidak berasa tertekan  kerana sentiasa ada yang ambil peduli akan nasib mereka untuk dibantu,” ujarnya.


Hoesni Husain (depan) menceritakan keadaan banjir yang berlaku dua minggu lalu di samping menjelaskan peranan penubuhan YPU kepada sukarelawan Misi Bantuan Banjir 2024.


Che Noridawati pula berkata, pada 27 Disember 2023 kampung itu terputus hubungan apabila terkepung dengan air banjir paras dada selama seminggu, bagaimanapun sebahagian besar daripada 300 penduduk tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurutnya, akibat selalu mengalami situasi begitu kesan daripada limpahan air Sungai Golok dan Tok Uban penduduk tidak berasa cemas malah meneruskan kehidupan seperti biasa dengan bergantung kepada bekalan makanan yang sedia ada.

“Sesetengah yang memilik perahu akan membantu penduduk dan jiran tetangga mendapatkan keperluan harian di kedai runcit yang tidak digenangi banjir.

“Kami mangsa banjir amat berasa bertuah apabila PKMM serta BADIM datang menjenguk untuk mengagihkan barangan makanan keperluan asas disamping menghulurkan bantuan sagu hati serta wang zakat,” katanya. - KitaReporters


Che Noridawati Mahmud Kamaruddin (tengah) menjelaskan situasi banjir dan paras air kepada Azhar Yop sambil diperhatikan oleh Bendahari KKT, Wan Sawiah Abdullah (kanan).

31
14
2
16
0
You will be interested