
Bersyukur bermaksud menzahirkan rasa penghargaan atau sesuatu nikmati. Ia adalah satu manifestasi sikap rendah diri dan latihan menjauhkan diri daripada sifat sombong.
Dalam Islam, syukur membawa maksud rasa terima kasih yang mendalam dan pengakuan terhadap segala nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Syukur tidak hanya terbatas pada ucapan lisan, tetapi juga membabitkan perasaan hati dan perbuatan yang mencerminkan rasa terima kasih itu.
Bersyukur merupakan sifat seorang hamba yang tunduk kepada Tuhannya. Ia menjadi benteng kepada sifat mazmumah yang lain seperti hasad dengki, mengadu domba, fitnah-menfitnah, riak dan takbur. Seseorang yang bersyukur akan sentiasa mengingatkan dirinya serta orang di sekeliling untuk berbuat baik sesama insan.
Dalam hal yang demikian itu menjadikan Yayasan Nur Inspirasi (YNI), mengetengahkan erti syukur dalam Program Bicara Dari Hati yang diadakan di beberapa lokasi seluruh negara membabitkan pelbagai komuniti dalam masyarakat seperti pelajar sekolah, universiti, kolej, pusat tahanan, rumah kebajikan, perkampung nelayan dan sebagainya.

Fauziah ketika menceritakan mengenai fungsi YNI dalam menyantuni pelbagai komuniti seluruh negara dengan mengetengahkan erti syukur.
Program secara santai itu diwarnai tiga ikon yayasan berkenaan iaitu Dinie Rashid sebagai Ikon YNI; Mahasiswa dan Penyanyi, Rashidi Abd (Ikon YNI, Penulis, Jurufoto); dan Khairulazreen (Ikon YNI, Mahasiswa, Gitaris) bagi membicarakan erti syukur dan nikmat ditakdirkan yang tidak berkemampuan akal kita sebagai hamba-Nya untuk mengetahuinya.
Pada mata kasar orang ramai yang kali pertama melihat tiga ikon berkenaan hanyalah pemuda biasa, namun selepas diperjelas oleh Pengerusi YNI, Datin Fauziah Mohd Ramly iaitu ibu kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, bahawa mereka itu sebenarnya insan istimewa yang hilang penglihatan sejak usia belasan tahun atau bukan buta sejak azali.
Penjelasan itu membuatkan tetamu, sukarelawan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) di Beranang, Selangor terkedu seketika yang menghadiri program berkenaan pada 26 Jun 2025 di PJMM dan 30 Jun 2025 di PJNH.

Tetamu yang hadir pada Program Bicara Dari Hati terkedu apabila Fauziah memberi penjelasan tiga Ikon YNI merupakan OKU cacat penglihatan walaupun kelihatan normal dari segi fizikal.
Dalam dua program itu, Dinie menceritakan dalam tempoh usianya sembilan tahun hingga 12 tahun ibu bapanya sudah habis beribu-ribu ringgit untuk memulihkan penglihatan selepas pakar mengesahkannya dia menghidap penyakit glaucoma iaitu kerosakan pada saraf mata.
Menurutnya, selepas dikategorikan Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan dia menghadapi tekanan perasaan dan kemurungan apabila berasakan takdir itu tidak menyebelahinya dan sering memberontak.
Tambahnya, namun begitu ibu dan bapanya tidak pernah berputus asa malah sentiasa berada di sisi memberi nasihat serta semangat untuk menghadapi ujian Allah itu kerana akhirnya menghadirkan nikmati lain kepada dirinya supaya bersyukur terutama apabila dapat menamatkan pengajian di tingkatan enam dan kini meneruskan pengajian di universiti di samping memiliki suara yang merdu ketika menyampaikan lagu.
“Saya dapat menerima keadaan diri sekarang malah berasa beruntung apabila menjadi Ikon YNI untuk berceritakan serta berkongsi penjalanan hidup daripada seorang remaja yang celik penglihatan kini hanya mampu melihat dalam 20 peratus sahaja sebagai pedoman berguna,” ujarnya.

Dinie Rashid berkongsi penjalanan hidupnya selepas hilang penglihatan yang terpaksa menempuh pelbagai cabaran serta kepayahan pada program diadakan di PJNH pada 30 Jun 2025.
Bagi Rashidi pula dia yang menghidap penyakit sama seperti Dinie hilang penghilang ketika usia belasan tahun terpaksa menerima takdir daripada Allah itu dan tidak mahu membandingkan kehidupan dengan orang lain kerana ada antara mereka lebih malang malah buta sejak dilahirkan.
Beliau berkata, dia turut mengalami kemurungan dan menyalahkan takdir apabila hanya mampu melihat dalam kesamaran sebanyak 20 peratus sahaja menyebabkan diri enggan bergaul kerana berasa kekurangan amat sangat sehingga gagal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, dia berasa bertuah serta bersyukur kerana ibu bapa saban hari memberi kata-kata semangat untuk meneruskan kehidupan kerana Allah itu maha adil apabila memberi kelebihan dan kemahiran kepada beliau dalam penulisan buku, sajak serta jurufoto.
“Perkara ini bukanlah suatu yang mustahil apabila bersama YNI dapat menjelajah seluruh negara untuk berbicara dari hati bagi menyuntik semangat serta memahami erti bersyukur dalam kalangan pelajar sekolah, kolej, universiti dan pusat tahanan,” jelas beliau.

Rashidi Abd (duduk tengah) mendeklamasikan sajak hasil nukilannya sambil diiringi petikan gitar Khairulazreen.
Sementara
Khairil yang hilang penglihatan100 peratus tetap berasa bersyukur dan dengan
nikmat diberikan Allah seketika kerana dia sempat melihat keadaan sekeliling,
mengenali sesuatu benda dan cara menggunakannya sebelum terpaksa meraba-raba
apabila pandangan menjadi gelap.
Menurutnya,
dia menerima suratan takdir itu malah menjadi pendorong untuk gigih berusaha
bermain alat muzik serta berkemahiran dalam bidang urutan sebelum menjadi Ikon
YNI bagi memberi suntikan semangat di samping menzahirkan erti syukur dan nikmat
yang ditakdirkan kepada mereka yang disantuni.
“Walaupun saya tidak nampak wajah ibu dan bapa yang menghuni pusat jagaan ini tetapi amat berharap mereka turut bersyukur terhadap nikmat diberikan Allah apabila dapat meneruskan kehidupan dengan sempurna di sini walaupun disisihkan ahli keluarga termasuk anak sendiri,” ujarnya.

Fauziah
berkata, sejak 13 tahun lalu dia sudah aktif bersama YNI dalam program
berkenaan untuk menyantuni mereka yang memerlukan pembelaan seperti hidup
melarat di bawah jambatan, dihimpit kemiskinan, remaja bermasalah dan sebagai dengan
mengetengahkan pengertian bersyukur.
Jelasnya,
semua itu ada terkandung dalam Surah Ar-Rahman yang mengingatkan manusia untuk
bersyukur atas segala nikmat yang Allah berikan, baik di dunia mahupun di
akhirat serta tidak mengingkari nikmat Allah sebaliknya sentiasa bersyukur atas
segala kurniaan-Nya.
“Bersama tiga Ikon YNI ini saya bawa mereka menjelajah seluruh negara bertemu pelbagai lapisan komuniti dan bercerita serta bersoal jawab mengenai cabaran, kepayahan atau kesukaran ditempuhi yang akhirnya bersyukur dengan takdir Allah,” ujarnya. - KitaReporters


Fauziah Mohd Ramly (duduk tengah) merakamkan kenangan bersama Ahli Jawatankuasa Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA'24), Ikon YNI dan pengurusan PJMM selepas Program Bicara Dari Hati.